Hubungan Malaysia dengan China sudah bermula sewaktu lawatan Yi Qing ke Melaka pada tahun 1403. Daripada situ, Melaka dan China terus mengadakan hubungan dalam bentuk perdagangan dan juga pertahanan. 

Pada tahun 1409, Maharaja Ming mengutuskan Laksamana Cheng Ho ke Melaka dengan armada tentera yang besar bagi memberi amaran bahawa Kerajaan China tidak teragak-agak untuk memberi bantuan ketenteraan kepada Melaka. Dengan bantuan itu, Melaka terus maju menjadi pelabuhan yang menghubungkan Eropah dan Asia serta menjadi sebuah pusat tamadun baharu. Pada masa yang sama, Islam yang sudah menjadi agama rasmi Melaka turut berkembang bukan sahaja di seluruh Tanah Melayu malahan di rantau Asia Tenggara.

Hubungan Malaysia dan China menjadi sedikit dingin apabila China menjadi negara komunis. Sokongan secara tidak langsung China kepada pengganas komunis pada waktu itu juga membuatkan kerajaan Malaysia tidak berasa selesa dengan negara China.

Namun setelah lawatan Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein pada tahun 1974, hubungan Malaysia dan China telah memasuki fasa yang baru.

Hubungan Malaysia dan China pada zaman  Hussein Onn, Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi terus dipereratkan. Pada era Najib  Razak pula nilai pelaburan dengan China meningkat sebanyak RM144 bilion dan 14 memorandum persefahaman ditandatangani ketika lawatannya ke China tahun 2016 yang merupakan kemuncak hubungan China-Malaysia.

China bukan sahaja menawarkan pinjaman tetapi juga membeli minyak sawit dan durian dari Malaysia. Apa pun hubungan Malaysia-China ini tidak disenangi oleh Pakatan Harapan (PH). Dr. Mahathir dan pemimpin PH secara terang-terangan membawa persepsi seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Industri Malaysia-China Kuantan, dan Forest City di Johor seolah-olah menjual kedaulatan negara kepada China hingga ia menjadi igauan kepada rakyat.

Walaupun sudah lebih 100 hari menjadi kerajaan dan sentiasa memberi kenyataan tentang keperluan untuk melihat semula cadangan ECRL, namun sehingga hari ini kerajaan PH masih gagal untuk memaklumkan kepada rakyat jumlah kos sebenar projek tersebut.

Awang amat hairan sehingga Dr. Mahathir pulang dari China pun, fakta ini masih belum lagi dapat diperhalusi. Jadi, apakah sebenarnya tujuan utama lawatan beliau ke China baru-baru ini?

Sememangnya lawatan itu diggu-ggu oleh rakyat Malaysia dan juga pemimpin China. Apakah benar kerajaan Barisan Nasional dahulu telah menggadai kedaulatan negara kepada China?

 Awang juga tertarik dengan kenyataan Dr. Mahathir  bahawa projek ECRL dilihat tidak perlu, namun soal pembatalannya mestilah diambil kira. Awang rasa tidak sukar untuk kerajaan mendedahkan kos sebenar serta bentuk pembayaran balik kerana terma-terma tersebut termaktub dalam perjanjian kedua-dua negara. Apa pun yang penting rakyat Malaysia berhak mendapatkan maklumat dan fakta yang betul dan tepat berhubung cadangan masa depan projek ECRL ini.

Awang berharap kerajaan PH dapat menjelaskan kepada rakyat apakah sebenarnya isu ECRL. Adakah isu harga kontrak yang terlalu tinggi? Adakah projek ini tidak berdaya maju? Adakah kerana kontrak ini hanya dibuat oleh kontraktor China tanpa pembabitan syarikat tempatan? Adakah terdapat rasuah atau komisyen yang dibayar kepada pemimpin BN atau pihak tertentu yang terlibat? 

Awang amat berharap kerajaan PH dapat menjelaskan isu ini supaya pembangunan negara dapat terus bergerak maju ke hadapan.

Awang masih ingat ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat dahulu, semua projek mega beliau ditentang termasuklah Jambatan Pulau Pinang, Kereta Nasional Proton Saga, Lebuh Raya Utara-Selatan, loji penjana kuasa bebas dan bangunan Dayabumi. Semua ini ditentang oleh musuh politiknya ketika itu termasuklah Tengku Razaleigh Hamzah, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim. 

Namun kerajaan ketika itu tetap meneruskan projek-projek ini walaupun ditentang kerana ia adalah pemangkin kepada pembangunan negara untuk jangka panjang. Dalam isu ECRL ini, kita sedar kemarahan Dr. Mahathir kepada Najib sehinggakan dalam kempen pilihan raya umum lalu beliau mengancam akan membatalkan projek ECRL.

Awang berharap janganlah kerana marahkan Najib, kepentingan rakyat diabaikan. Dr. Mahathir perlulah bertimbang rasa. Jangan kerana seekor nyamuk, habis kelambu dibakar. Ada bahayanya seperti orang Melayu kata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. 

Oleh itu, Awang amat mengharapkan projek mega yang penting kepada penduduk Pantai Timur itu tidaklah dikorbankan, lebih-lebih lagi majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Janganlah  projek-projek infrastruktur berskala besar yang baik untuk rakyat dan negara ini dijadikan mangsa persengketaan peribadi. Awang berharap, ketika kita menilai antara perdagangan dengan penjajahan, janganlah kita berburuk sangka dengan menuduh orang lain bodoh dan kita sahaja yang cerdik. Sebenarnya memetik kata-kata Einstein, perbezaan antara orang bodoh dengan orang cerdik hanyalah dipisahkan dengan satu lapisan yang amat nipis di dalam otak. 

Teringat Awang kepada kata-kata guru, janganlah kita membuat keputusan dalam tiga keadaan iaitu ketika sedang marah, sedih, dan gembira kerana ia dipengaruhi oleh nafsu.

NASIONALISME & PENDERHAKAAN

Lawatan Dr. Mahathir ke China  baru-baru ini sekali lagi membuktikan bahawa hak, kepentingan dan kedaulatan Malaysia tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

Sikap berterus terang beliau kepada pemimpin China tentang dua projek mega iaitu ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah yang diluluskan kerajaan dahulu dirasakan amat membebankan negara dan rakyat dengan hutang yang besar, dan Malaysia mungkin terpaksa membatalkannya.

Awang masih ingat pada awal tahun 1980-an, Dr. Mahathir membawa rakyat Malaysia beralih kepada Dasar Pandang Ke Timur dan sanggup membelakangi Britain. Malaysia ketika itu telah menjadikan Jepun sebagai negara contoh malahan menggemparkan hubungan baik diplomatik Malaysia British dengan mengamalkan dasar Buy British Lasts.

Awang mendengar cerita bahawa selain sikap  Dr. Mahathir yang sememangnya menentang dasar penjajahan British sejak usia mudanya, sebenarnya beliau berkecil hati dengan sikap Perdana Menteri Britain pada waktu itu yang tidak memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia di London. 

Dasar Pandang Ke Timur itu juga  bertujuan untuk meniru budaya dan etika kerja  masyarakat Jepun dan Korea Selatan yang terbukti berjaya membangunkan negara mereka.

Semangat nasionalisme dan cintakan kepada negara sekali lagi dijukkan oleh Dr. Mahathir sewaktu negara berhadapan krisis kewangan Asia pada 1997 akibat permainan penyangak mata wang George Soros. Ketika itu banyak negara Asia mengikut telunjuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengambil kesempatan untuk memaksa negara-negara di Asia menerima juk ajar mereka.

Dr. Mahathir dengan berani bangkit dan menolak cadangan dan juga bantuan daripada IMF yang disifatkan beliau akan memburukkan lagi krisis dan menyebabkan negara kembali mundur.  

Malaysia di bawah Dr. Mahathir mengambil jalan penyelesaian ikut acuan sendiri seperti menambat nilai mata wang. Walaupun ditentang IMF, kerajaan Amerika Syarikat dan Australia, akhirnya terbukti rancangan Dr. Mahathir berjaya menyekat Malaysia daripada jatuh muflis hinggakan dunia menggelar beliau sebagai an extraordinary visionary global leader of our time.

Dalam konteks kedaulatan ini juga, Awang hairan di manakah Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Kewangan Kedua; Abdul Rahman Dahlan Menteri yang menjaga Unit Perancangan Ekonomi; Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara; dan Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dalam pentadbiran dahulu yang dikatakan membiarkan perjanjian berat sebelah dengan China sebagaimana dakwaan  Dr. Mahathir?

Kenapa membenarkan perkara ini berlaku yang sepatutnya mereka memberi nasihat untuk memastikan kepentingan dan kedaulatan negara tidak dikompromi dalam mana-mana perjanjian. Ini adalah pengkhianatan kepada negara sebenar-benarnya. Mereka perlu tampil memberi hujah menafikannya dan bukan terus membisu.

Bagi Awang, penderhakaan bukan sahaja mengangkat senjata melawan negara tetapi juga pembelotan dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan yang tidak mengambil langkah menyelamat dan mempertahankan kedaulatan negara. Kita tidak mahu pada akhirnya perjanjian yang melibatkan hutang berbilion-bilion ringgit akan menyebabkan negara terpaksa berkompromi dengan negara asing. Sudah tentu tiada siapa yang mahu ini berlaku.

Awang amat berharap keberanian Dr. Mahathir mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara ini dapat dicontohi oleh semua ahli politik dan penjawat awam.