Nama penulis pojoknya ialah Awang Bongsu. Selain nama Awang Bongsu, penulis pojok ada menggunakan nama Awang Sulong dan Awang Selamat. Penulis pojok baru ini memilih untuk mengekalkan nama Awang Selamat.  

Setelah dua minggu ‘bertapa’ kolum pojok ini kembali dengan membawa suara hati nurani rakyat di akhbar yang berusia lapan dekad ini.

Tidak dapat tidak, dalam kita menganalisis sesuatu perkara, kita juga meraikan kepelbagaian pendapat yang bermacam ragam dengan hasrat untuk terus membangunkan Malaysia. 

Dalam kita bersuara, akan ada yang bersetuju, tidak kurang yang akan membangkang namun inilah demokrasi sebenar yang kita ingin semai dalam diri semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan, pada masa sama menerima pandangan orang lain.

Akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada hari ini berada dalam persekitaran berbeza dengan 'Wajah Baharu, Orang Baharu dan Cara Baharu.' Kelainan yang dibawa ini bagi meneruskan aspirasi perjuangan media dalam konteks lebih segar dan berinformasi semasa.

Namun demikian, asas perjuangan akhbar Utusan sejak tarikh penubuhannya pada 18 Jun 1938 oleh Yusof Ishak dan rakan serta sokongan orang Melayu tidak pernah hilang iaitu membangunkan Bangsa Melayu, Bahasa Melayu dan Budaya Melayu. 

Awang berharap kolum Ada-ada Saja bukan sekadar untuk dibaca, bukan picisan bahan dicerca tetapi lebih kepada wacana dan rencana untuk ditatapi bersama. Selamat membaca.


100 HARI KERAJAAN PH

Tanggal 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, rakyat Tanah Melayu menyaksikan peristiwa bersejarah apabila secara rasminya penjajah British menyerahkan kuasa pemerintahan kepada warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh penuh bermakna itu membuktikan bahawa rakyat Tanah Melayu sudah merdeka.

Pada detik 9 Mei 2018, satu lagi peristiwa bersejarah berlaku apabila setelah 60 tahun berada di bawah pentadbiran Parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN) akhirnya rakyat melakukan perubahan dalam tampuk kepimpinan negara. 

Ramai beranggapan bahawa tarikh ini merupakan Hari Liberalisasi Negara apabila rakyat membuat keputusan untuk memilih Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk membina negara Malaysia baharu yang lebih baik menerusi manifesto 'Membina Negara, Memenuhi Harapan'.

Sehingga hari ini, Awang mendengar suara rakyat bawahan yang menuntut janji Kerajaan PH yang meletakkan indikator 10 janji dalam 100 hari pentadbirannya. 

Awang sedar bukan mudah untuk PH melaksanakan janji-janji ini. Kerajaan baharu ini sendiri tidak menyangka majoriti rakyat akan memilih mereka, dan Awang percaya banyak janji yang disenaraikan itu tidak dilakukan kajian dan  dibekalkan maklumat  yang terperinci. 

Namun demikian, Awang berharap kerajaan PH tidak mengecewakan rakyat dan tidak akan memperjudikan masa depan negara melalui janji-janji yang telah ditabur dengan sekadar hanya untuk menjadi kerajaan populis semata-mata.

Kenyataan Perdana Menteri bahawa manifesto bukan kitab suci menunjukkan petanda awal-awal lagi kerajaan PH sendiri kurang yakin bahawa segala janji dalam manifesto mereka dapat ditunaikan.

Kerajaan PH perlu bertindak sebagai kerajaan satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia, yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat sama iaitu membina sebuah negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia.

Awang juga ingin memuji beberapa kepimpinan baharu PH seperti Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan) dan juga Saifuddin Nasution (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) yang mengambil pendekatan untuk menerima dan meneruskan beberapa dasar kerajaan terdahulu yang dirasakan baik untuk rakyat.

Dasar keterbukaan dan kematangan dalam politik seperti ini amat ditagih bukan sahaja dalam kalangan mana-mana pemimpin malah dalam kalangan penyokong parti dan rakyat sendiri. 

Awang bimbang sekiranya tempias peribahasa “menang sorak, kampung tergadai” berjangkit kepada kepimpinan kerajaan baharu ini.

Sepertimana rakyat Malaysia, Awang juga berharap dan terus berharap, menanti dan terus menanti janji 100 hari ini akan dapat ditepati kerana Awang diajar bahawa janji tetap janji dan perlu dipenuhi.


100 HARI TAHLIL UMNO

Bagi UMNO pula, rakyat telah membuat pilihan dan keputusan untuk menukar wajah kepimpinan negara pada PRU-14 yang lalu. Keputusan telah dibuat dan rakyat sudah menentukan kerajaan yang berhak mewakili mereka dalam tempoh lima tahun akan datang. Mahu atau tidak, UMNO perlu mengakui akan kelemahan dan kekalahan yang boleh dianggap sebagai penolakan rakyat kepada UMNO. 

Dalam tempoh lebih 60 tahun UMNO dan BN memerintah negara, akhirnya tarikh 9 Mei 2018 merupakan detik hitam kepada UMNO seperti menuju pengakhiran dalam sebuah perjuangan. 

Namun demikian, tidak dinafikan parti yang berusia lebih tujuh dekad ini mempunyai aura dan nostalgianya yang tersendiri dan telah berhadapan dengan pelbagai onak dan ranjau serta sepak terajang dalam politik. Cumanya liku kali ini lebih berduri. 

Awang masih mengharapkan UMNO sebagai sebuah parti keramat orang Melayu bermuhasabah diri dan menjadikan majlis tahlil mereka sebagai satu titik permulaan UMNO yang baharu. UMNO perlu berubah secara total bagi meyakinkan semula rakyat waima ahli UMNO sendiri untuk terus mempunyai harapan kepada parti ini.

Selain daripada 100 hari kepimpinan kerajaan baharu, sebenarnya rakyat juga melihat bagaimana majlis tahlil UMNO dapat menjadi pemangkin untuk melakukan bedah siasat secara ikhlas, berani dan lebih terbuka.

Banyak faktor yang mengundang kepada kekalahan UMNO/BN dalam PRU-14 yang lalu. 

Antaranya ialah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan harga barang naik, wajah pemimpin UMNO yang dikaitkan dengan isu rasuah, kenyataan yang tidak sensitif dikeluarkan oleh beberapa menteri dan isu kredibiliti dan integriti bekas perdana menteri yang terpalit dengan pelbagai isu dan tohmahan.

Ada suara yang menyampaikan kepada Awang bahawa rakyat boleh menerima GST namun menentangnya kerana dipercayai bahawa kutipan cukai ini diguna untuk melangsaikan hutang-hutang negara akibat daripada penyelewengan bekas Perdana Menteri dan barisan kepimpinannya yang salah urus tadbir syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tabung Haji, 1MDB, KWAP, dan FELDA.

Sedar atau tidak, rakyat terutamanya penjawat awam memerhati dan mengambil peduli perihal yang berlaku di sekeliling. Segala isu yang timbul menyebabkan penjawat awam hilang keyakinan dan hilang sokongan kepada kepimpinan negara. 

Ramai juga yang mengatakan bahawa mereka bukan menolak UMNO tetapi mereka menolak kepimpinan Najib. Awang rasa Najib dan kepimpinan baharu UMNO yang dipilih Jun lalu saling memahami dan sedar suasana politik hari ini. Alangkah moleknya jika Najib sendiri menjarakkan diri daripada saf hadapan UMNO supaya kepimpinan baharu dapat meneruskan perjuangan parti dengan wajah baharu. 

Dalam hal ini, terlintas dalam fikiran Awang tentang kisah Skandal Watergate yang berlaku dalam politik pentadbiran Amerika Syarikat pada tahun 1970-an. Presiden Richard Nixon daripada Parti Republikan yang dikaitkan dengan skandal ini telah mengambil keputusan meletak jawatan presiden pada 1974.

Skandal ini telah menyebabkan Republikan mengalami kekalahan kepada Demokrat pada pilihan raya 1977. Nixon mengambil keputusan mengundur diri daripada terlibat dalam hal Republikan dan ternyata tindakan ini memberi impak dengan parti kembali memenangi pilihan raya berikutnya pada  1981.

Rakyat terutamanya orang Melayu mahukan perubahan dalam UMNO bukan sahaja dari segi kepimpinan malahan intipati perjuangan, integriti perseorangan serta kematangan UMNO sebagai pembangkang kini turut diharapkan. 

Kalaulah 51 Ahli Parlimen UMNO yang masih ada di dalam Dewan Rakyat benar-benar menjadi pembangkang yang berfungsi sebagai check and balance untuk kerajaan, Awang percaya rakyat yang bijak memerhati akan buat penilaian.

Pada Awang, 100 hari tahlil perlu digunakan sepenuhnya oleh UMNO untuk mewujudkan satu semangat baharu, iltizam baharu, perjuangan baharu dan bukan berterusan meratapi kekalahan.

Berbalah biar agah, beraksi biar berisi, berdebat biar hebat, berentap biar mantap.


MAHATHIR-ANWAR BERGANDINGAN?

Tarikh 2 September 1998 mengejutkan negara apabila Anwar Ibrahim dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selepas lebih 16 tahun berada dalam kerajaan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Kini Anwar ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti yang mempunyai kerusi paling banyak dalam PH. 

Awang tidak akan lupa, matlamat PKR ditubuhkan adalah untuk membebaskan Anwar dari penjara dan menjatuhkan Mahathir sebagai perdana menteri ketika itu. Kini, parti yang menjadikan Dr. Mahathir sebagai musuh nombor satu 20 tahun lalu, juga mengangkat semula Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Inilah lumrah kehidupan yang perlu dihadam apabila kita sendiri tidak tahu apa yang akan  berlaku pada masa hadapan. Kisah PKR dan Dr. Mahathir ini ibarat pepatah orang dulu-dulu, “jangan terlalu benci dan marah, lama-lama akan jadi sayang”. 

Dengan memenangi jawatan Presiden PKR tanpa bertanding, secara tidak langsung Anwar berada di landasan yang tepat untuk menjawat semula jawatan Timbalan Perdana Menteri yang ditinggalkan 20 tahun dahulu.

Ada juga cakap-cakap akan ada kerusi Parlimen bakal dikosongkan untuk Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil atau beliau terus dilantik sebagai Senator. Hanya langkah ini yang akan menempatkan Anwar dalam Kabinet Malaysia.

Selepas dua dekad juga, apakah tarikh 2 September 2018 akan dipilih untuk menjadi saksi gandingan semula Dr. Mahathir dan Anwar dalam tam­puk Kerajaan Persekutuan? Apabila diimbau kembali, Dr. Mahathir sendiri yang membawa Anwar masuk UMNO pada 1982, melantiknya menganggotai Kabinet pada 1993, memecatnya pada 1998 dan kini, adakah beliau akan melantik semula Anwar pada 2018?

Rakyat pasti ternanti-nanti detik bersejarah ini. Dengan terjalinnya semula gandingan yang dikatakan saling melengkapi itu diharap dapat memacu Malaysia ke arah lebih gemilang dan menjadi 'mercu tanda' baharu politik Malaysia.