Media di seluruh dunia khasnya di India memaparkan banyak gambar pembukaan bangunan itu di muka hadapan akhbar mereka.

Ironinya, Rajinikanth tidak pernah sekalipun melayan mana-mana pihak yang mahu beliau melakukan acara pembukaan, pelancaran, perasmian kedai, bangunan atau jauh sekali mengiktiraf mana-mana parti politik. Bahkan, Perdana Menteri India, Narendra Modi sendiri pernah bertemu dengan Rajinikanth sebelum ini untuk berbuat demikian. Namun beliau tidak memberikan keistimewaan seumpama itu seperti yang diberikan kepada Abdul Malik, rakyat Malaysia berasal dari Kg. Datuk Keramat Kuala Lumpur.

Ketika penulis bertemu dengan Abdul Malik di Hotel Concorde di ibu negara baru-baru ini, penulis melontarkan soalan yang masih menjadi tanda tanya rakyat Malaysia iaitu, bagaimana bintang yang menjadi kegilaan jutaan peminat seluruh dunia boleh berminat untuk bekerjasama dengan beliau. Abdul Malik hanya tersenyum dan sekadar mengatakan hubungan akrab antara beliau dan Rajinikanth hanya terjalin dalam tempoh kurang daripada tiga bulan.

Namun selepas itu respons yang diterimanya daripada Rajinikanth begitu mengejutkan. Sebagai contoh, selain daripada melakukan pembukaan rasmi Wisma Malik, Rajinikanth juga bersetuju untuk tinggal lebih daripada 50 hari di negara ini bagi menghabiskan penggambaran filem Kabali yang hampir 80 peratus pembikinan filem itu dilakukan di Malaysia. “Semasa beliau hendak menyempurnakan pembukaan bangunan saya, Rajinikanth sendiri yang menawarkan diri untuk melakukan perkara tersebut. Beliau kemudian membisikkan kepada saya.

“Malik, ini adalah sejarah dalam hidup saya. Ini kali pertama dan mungkin terakhir untuk saya berbuat demikian. Saya sangat menyukai kamu kerana keikhlasan serta dedikasi yang anda pamerkan selama penggambaran ini. Ini yang saya dapat berikan kepada anda dan rakyat Malaysia," bisik beliau kepada Malik.

Abdul Malik menambah: “Rajinikanth tidak pernah tinggal di sesebuah negara lebih daripada beberapa hari. Ini kerana faktor utamanya adalah keselamatan diri. Namun, saya tidak percaya apabila lelaki biasa seperti saya mampu memberikan jaminan kepadanya bahawa semua akan berjalan lancar.

Saya meyakinkan beliau syarikat saya Malik Streams Corporation akan dapat melancarkan setiap proses filem itu.

“Saya amat mencintai negara ini, tanah tumpah darah saya sendiri. Bagi saya, Malaysia tidak kurang hebatnya, kita bukan sahaja memiliki tempat-tempat yang menarik malah pelakon tempatan kita juga hebat.

“Apabila saya mendapat tahu filem terbaharu Rajinikanth Kabali yang merupakan filem ke-159 aktor tersebut telah memilih Singapura sebagai lokasi, saya terus terbang ke India untuk mencuba nasib. Pada awalnya, saya bertemu dengan penerbit filem. Setelah mendapat jawapan daripada pengarah serta penerbit, baru saya bertemu dengan Rajinikanth”.

“Dari situ, hubungan saya dengan beliau menjadi rapat kerana saya sentiasa bersamanya 24 jam, saya tidak pulang ke rumah hampir 48 hari. Saya juga tidak menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan sebaliknya fokus utama saya adalah filem itu dan Rajinikanth. Pada masa sama, saya juga berjaya meyakinkan pengarah filem berkenaan supaya menggunakan pelakon tempatan.

“Dari situlah, saya berpeluang untuk mencadangkan sendiri nama Datuk Rosyam Noor, Norman Hakim, Jack Taipan serta pelakon sampingan yang lain,” ujarnya yang juga bekas pelajar sekolah St. John.

Menurut Malik, Rosyam menjadi kegemaran pengarahnya dalam sekali take sahaja manakala pengarah, penerbit serta kru yang lain turut mengagumi bakat semula jadi Rosyam. “Saya tidak hairan sekiranya selepas ini Rosyam menerima tawaran berlakon filem antarabangsa yang lain.

“Ramai yang kagum, malah memuji saya juga kerana berjaya memilih bakat sebenar. Rajinikanth sendiri menyukai beliau. Rosyam juga memegang watak penting dalam filem tersebut, cuma saya tidak mahu umumnya dahulu.

“Filem Kabali ini akan ditayangkan serentak di 6,000 pawagam seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Asia Tenggara dan bayangkan Malaysia menjadi tumpuan, pelakon tempatan kita juga beraksi di arena antarabangsa” tegasnya.

Berjasa

Selain menempa sejarah membawa masuk Rajinikanth masuk ke negara ini untuk tempoh yang panjang, Abdul Malik juga dianggap berjasa kepada negara kerana mampu membawa nama negara ke peringkat antarabangsa, Antaranya, dengan meyakinkan Rajinikanth dan penerbit Kabali supaya filem itu dialih suara ke bahasa Melayu bagi pasaran negara ini. Ia juga akan dialih suara ke bahasa Indonesia untuk jutaan peminat di republik itu buat kali pertama dalam sejarah.

“Ketika ini pihak kami merancang untuk menawarkan imbuhan lumayan kepada mana-mana artis Malaysia yang mempunyai suara mirip mirip suara Rajinikanth bagi proses dubbing tersebut di India dalam masa terdekat,” kata Abdul Malik.

Sebelum ini, Abdul Malik yang merupakan penerbit bersama dan pengedar rasmi filem Kabali lebih banyak terlibat dengan urusan import eksport barangan am, hartanah dan penggurup wang. Beliau mula berjinak-jinak dengan dunia perfileman kerana mahu memartabatkan industri tersebut di negara ini. Kelebihan Abdul Malik mendekati Rajinikanth menyebabkan beliau menjadi buah mulut industri perfileman di India.

Kata mereka, seandainya anda berjaya "memegang" superstar ini bermakna anda adalah "raja" selepas ini. Berdasarkan itu, Abdul Malik kini menjadi lebih aktif, malah bercadang untuk membuka pawagamnya sendiri selain membawa masuk lebih banyak filem Tamil untuk ditayangkan di negara ini.

“Saya juga mahu dunia mengenali Malaysia, beberapa filem besar kini dalam proses perbincangan dengan saya untuk menjadikan negara ini sebagai lokasi dalam filem mereka. Ini adalah perkara besar, sudah tentunya saya akan menggalakkan perkara ini. Malaysia patut menjadi destinasi pelancongan hebat kepada negara luar. Industri pelancongan juga akan meningkat dengan pembikinan filem-filem di negara ini. Kita bukan sahaja hidup dalam masyarakat majmuk, malah makanan, agama serta cara hidup juga menjadi tumpuan.

"Dalam filem Kabali, Rajinikanth akan memainkan watak sebagai rakyat Malaysia dalam era 80-an. Syarikat saya yang terlibat dengan penyediaan props berjaya membawa anda kembali ke era itu,” katanya.

Tambah Abdul Malik, beliau akan terus komited dalam industri filem walaupun percaya akan berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk menanggung kerugian berjuta-juta ringgit. “Apabila saya menjalankan perniagaan lain, saya dapat mengagak apakah jenis keuntungan yang akan saya adapat, tetapi untuk industri ini semuanya sesuatu yang tidak pasti. Namun saya anggap apa yang saya lakukan ini untuk negara dan rakyat di negara ini.

“Seandainya saya dapat melakukan sesuatu yang luar biasa, mengapa tidak. Saat ini sahaja, sudah ada beberapa pihak yang mahu membeli Wisma Malik yang telah dirasmikan oleh Rajinikanth tempoh hari dengan kos berjuta-juta ringgit,” katanya.

“Pada masa sama, ramai juga penerbit dan pengarah filem yang besar dan hebat mula memanggil saya untuk membantu mereka dalam filem mereka. Mungkin selepas selatan India, saya akan membesarkan perniagaan ini ke Bollywood pula. Sudah tentu ini dilakukan dengan membawa masuk bakat tempatan kita sekali. Niat saya hanya satu - untuk membawa nama besar industri perfileman dan pelancongan Malaysia ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.