Sebaik sahaja pesawat British Airways melintasi ruang udara Toulouse, Perancis, kelihatan deretan kapal terbang tersusun rapi seluas mata memandang.

Ibu kota ini secara dasarnya tenang tanpa bangunan pencakar langit menghiasi bandar utamanya. Namun Toulouse adalah gedung pengeluar kapal terbang terbesar Eropah, Airbus.

Airbus yang menempatkan ibu pejabatnya di Blagnac, Toulouse mempunyai lebih 21,000 kakitangan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat tetapi juga tenaga pakar dari seluruh dunia.

Media Malaysia baru-baru ini dibawa mengunjungi fasiliti Airbus itu bagi meninjau kerja-kerja akhir pemasangan pesawat terbaharu Malaysia Airlines, A350-900.

Malaysia Airlines Berhad (MAB) akan menerima pesawat pertama pada minggu pertama Disember ini dan kemudian diikuti lima lagi pesawat secara berperingkat mulai Januari, Februari dan Jun 2018.

Dengan peranan sebagai Pusat Airbus, ia merangkumi pelbagai fungsi termasuk perkhidmatan dan sokongan pelanggan, pemasaran, hal ehwal pengguna, pusat latihan, pusat penghantaran pesawat dan pusat contoh pesawat yang menempatkan rekaan dalaman bagi sesebuah model pesawat.

Bagaimanapun, yang lebih penting di Toulouse ini adalah kilang pemasangan akhir bagi rangkaian pesawat A320, A330, A380 dan terbaharu, A350 XWB (A350-900 dan A350-1,000).

Menurut Naib Presiden Pemasaran Airbus Asia dan Amerika Utara, Joost Van Der Heijden, Airbus menerima 858 tempahan bagi pesawat A350 XWB daripada 45 pelanggan dan telah menghantar 114 pesawat A350-900 sejak Disember 2014. Bagi A350-1,000 pula, ia merekodkan 169 tempahan daripada 11 pelanggan.

Beliau memberitahu, Airbus dijangka mengeluarkan 10 unit A350 XWB sebulan menjelang akhir 2018 berbanding ketika ini, tujuh buah sahaja.

“Dibina dengan lebih 70 peratus material serba canggih, ia juga berupaya mengurangkan 25 peratus pembebasan karbon dioksida dan penggunaan bahan api,” jelasnya dalam sesi taklimat kepada media.

Bagi Airbus, kerja-kerja pemasangan A350 XWB dianggap paling istimewa kerana pemasangan kabin penumpang dibuat secara selari dengan bahagian fusage, sayap dan ekor pesawat.

Kilang pemasangan akhir itu mula dibina pada Januari 2009 dan mengambil masa 29 bulan untuk disiapkan sepenuhnya, terdiri daripada dua bangunan termasuk kemudahan landasan kapal terbang, jalan raya dan rangkaian.

Dibina berbentuk L, bangunan utama mempunyai lebar 400 meter, 125 meter panjang dan 35 meter tinggi di kawasan seluas 7.2 hektar, merangkumi ruang pesawat, perkhidmatan rantaian bekalan, stor, bengkel, pejabat dan landasan kapal terbang.

Bangunan kedua pula meliputi kawasan seluas 3.8 hektar, menempatkan ruang pesawat menjalani ujian lapangan, kabin pra-penyesuaian, ruang logistik,pejabat, restoran dan pusat teknikal.

Malah, lokasi tersebut merupakan kawasan paling hijau pernah dibangunkan setakat ini kerana menggunakan bahan binaan dikitar semula, pencahayaan semula jadi dan bumbung fotovoltaik yang mampu menjana 55 peratus tenaga kepada bangunan tersebut.

Setiap bahagian pesawat A350 XWB itu tiba dari pelbagai tapak Airbus di seluruh Eropah yang telah dipasang dan diuji terlebih dahulu termasuk kokpit berupaya mengurangkan beban kerja yang diperlukan di kilang pemasangan akhir itu.

Antaranya, sayap pesawat A350-900 dibuat di kilang Airbus di Broughton, Wales Utara, United Kingdom, manakala bahagian pesawat di bahagian tengah dan hadapan dipasang di Saint Nazaire, Perancis.

Selain itu, bahagian belakang badan pesawat dan ekor menegak pula dibuat Hamburg, Jerman dan bahagian ekor melintang di Getafe, Sepanyol.

Di Toulouse, kerja-kerja pemasangan pesawat dibuat mengikut stesen tertentu. Misalnya monumen kabin besar seperti galley, ruang istirahat krew dan tandas pertama kali dipasang dalam setiap tiga bahagian badan pesawat di Stesen 59, sebelum 
pemasangan akhir bermula 
di Stesen 50.

Apabila pemasangan pesawat mencapai kadar pengeluaran penuh, jumlah kakitangan yang bekerja di tapak juga semakin berkurangan iaitu sekitar 1,800 pekerja. Secara keseluruhan, sebuah pesawat mengambil masa dua setengah bulan bagi kerja-kerja pemasangan akhir sehingga diserahkan kepada syarikat penerbangan.

Info