Dengan lagak menyerupai Tom Cruise dalam Mission Impossible, anda berdiri tegak dan memberi ucapan, "saya menyokong segala yang telah anda bincangkan." Anda tidak tahu topik perbincangan ialah usul mendenda ahli yang datang lambat ke mesyuarat, seperti anda dan usul itu anda sendiri mengundi menyokongnya.

Detik itu. Saat itu. Anda masih belum duduk. Mungkin ada dalam kalangan hadirin akan tergelak. Oleh sebab orang masih memandang anda, dan gelak tersebut pantas menghidupkan isyarat darurat pada diri anda... sekilas itu anda terfikir, "aduh, aku sudah tersalah cakap!’’

Komputer kepala anda pun tidak membantu menenangkan perasaan. Yang timbul pada carian Google kepala anda hanya satu: dungu. Cadangan ayat: "percakapan aku bunyinya dungu".

Pernahkah anda lalui situasi canggung sebegini dungu? Memang ada. Jangan malu mengaku. Kalau baru berlaku minggu lepas, ambillah masa untuk bermuhasabah. Kalau sudah berkurun berlaku, bolehlah anda senyum dan ketawakan diri sendiri.

Berikut adalah contoh-contoh ayat yang lazim anda tuturkan dalam kehidupan harian, tanpa menyedari betapa dungu bunyinya anda pada orang lain. Pembentangan contoh ini dikemukakan mengikut gaya Merrepak, jadi anda diminta jangan terlalu serius atau meng­hubungi peguam.

1 Saya tidak mahu bunyi macam orang biadap tetapi awak ini tidak ada hak mengatakan saya biadab terhadap awak.

Ayat ini suka disebut kononnya, untuk mengurangkan rasa bersalah anda memperkatakan dengan sengaja sesuatu yang sensitif, peribadi dan emosi. Contoh lain: "Saya bukan hendak berlagak tetapi anak saya dapat 29A... semua subjek anak saya ambil seperti Bahasa Tamil dan Mandarin".

2 Saya tidak mahu menghadiri majlis pengebumian Ali. Tidak ada faedah. Nanti giliran saya mati, Ali bukannya nak datang.

Pendirian individu sebegini ada logiknya. Buat apa menghadiri majlis kenduri orang itu, sedangkan kenduri anda tidak pernah dia hadiri. Jadi, menggunakan perlambangan kematian, individu ini amat yakin mesejnya sampai. Tidak kiralah apa persepsi masyarakat yang tercengang mendengar ungkapan tersebut.

3 Salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia 'serta Sabah dan Sarawak’.

Malaysia terdiri daripada 14 negeri merangkumi Sabah dan Sarawak. Jadi, memadailah disebut sahaja sebagai 'Malaysia’. Tidak perlu 'serta Sabah dan Sarawak’ yang sememangnya negeri di dalam Malaysia. Tidak pernah pula kita jumpa 'Malaysia serta Perlis dan Kelantan yang bersempadanan dengan Thailand’. Yang mungkin dibolehkan ialah 'Malaysia serta pulau yang dikuasainya seperti Terumbu Layang-Layang dan Sipadan’.

4 Saya cukup meluat dengan kesesakan di Kuala Lumpur. Saya akan berhijrah ke Cheras.

Ini bukan rekaan. Ini benar-benar berlaku. Ya, ada orang yang sangat lemah dalam subjek Geografi. Belum lagi titik kelakar bila mereka keliru antara Segamat dan Segambut, Pantai Baru dengan Kampung Baru, Batu Kurau dengan Kuala Kurau.

5 Mengikut analisis imperikal yang kami jalankan, daripada 100 peratus yang kami kaji, sebanyak 30 peratus adalah di bawah paras beku dan 75 peratus terus tepu.

Perkataan 'analisis imperikal’ digunakan untuk menegaskan betapa seriusnya benda yang anda lakukan. Anda mahu analisis ini jadi rujukan, jadi panduan. Cuma anda tidak ambil perhatian sangat kepada aspek matematik asas.

6 Saya ada soalan kuiz yang sangat susah untuk anda fikirkan jawapannya dan ia begitu susah sehingga saya pun susah hendak nyatakan soalannya.

Orang ramai yang terkesima dan hampir melopong mendengar butir pertuturan anda, kemudiannya bertukar dengan kerut di dahi yang diterjemahkan sebagai 'menyam­pah’. Jika anda hendak buat soalan kuiz, berikan sahajalah. Kenapa perlu ditekankan soal 'susah’ dan 'amat susah’ tetapi kemudian rupa-rupanya tidak ada soalan. Ia tidak menampakkan anda seorang cendekiawan, sama sekali.

7 Jangan kerja rajin, syarikat bukan ingat pun anda atas kerja keras. Kalau syarikat bankrap, itu takdir.

Ayat baris pertama jelas berbaur slogan kesatuan. Ayat baris kedua, sungguh ironi. Ayat pertama mengajak anda menjadi realistik, kononnya. Buat kerja biar berpada-pada, ponteng kerja sekali-sekala? Jadi bila dikaitkan dengan ayat kedua yang berbentuk spiritual, anda melepaskan beban kesalahan tidak bekerja rajin hingga akibatkan syarikat rugi itu kepada Tuhan?

8 Awak tidak kenal saya? Awak tahu dengan siapa yang awak bercakap ini? Apa kelulusan awak hendak pertikaikan hujah saya?

Perkara paling pokok di sini, memang tiada siapa kenal anda. Anda mungkin mahsyur di Facebook. Beratus ribu LIKE. Tetapi anda kena terima hakikat, anda bukan sepopular Fatah Amin. Jadi bila kakitangan kaunter pandu lalu McDonald’s pun awak hendak maki hamun sedemikian rupa, ketahuilah betapa dungunya rupa anda pada pandangan orang, walau bagaimana mahsyur sekali pun anda rasa diri anda di Facebook.