Namanya mula meniti di bibir rakyat Malaysia terutama umat Islam selepas gambarnya berbuka puasa bersama seorang ibu dengan lapan orang anak di Puncak Jalil, menjadi viral dan mendapat 30,000 like dan dikongsi lebih 15,000 kali.

Wanita itu telah ditinggalkan suami tanpa diberi nafkah dan kerana kesempitan wang, bil air dan elektrik rumahnya juga telah dipotong. Malah, wanita itu sudah diminta keluar oleh tuan rumah kerana bayaran sewa yang tertunggak.

Sebenarnya itu bukanlah kali pertama Chee Heng membantu orang tetapi beliau akan menghulurkan bantuan setiap kali terserempak dengan orang yang memerlukan. Bagi Chee Heng, membantu orang yang dalam kesusahan menginsafkan dirinya dan memberikannya satu kepuasan yang tidak dapat dinilai dengan harta benda dan wang ringgit.

Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa lelaki berketurunan Cina itu begitu pemurah dan amat suka membantu orang dalam kesempitan. Ketika ditemui di sebuah restoran di Taman Puchong Utama, Khamis lalu, Chee Heng berkongsi kisah hidup di zaman kanak-kanaknya dan bagaimana ia membentuk jati dirinya sekarang.

Kisahnya bermula kira-kira lebih 40 tahun lalu di sebuah kampung di Batu Pahat, Johor. Chee Heng dilahirkan pada 16 Februari 1963 di Kampung Bukit Cermai, Batu Pahat. Beliau merupakan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik.

Bapanya cuma seorang tukang emas manakala ibunya bekerja sebagai penoreh getah. Mereka tinggal di dalam estet getah. Dengan adik-beradik yang ramai, keluarga tersebut hidup dalam serba kekurangan. Disebabkan kesempitan hidup, mereka sekeluarga terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian.

Kadang-kadang mereka sekeluarga hanya makan sekali sehari. Namun, sikap prihatin masyarakat Melayu berketurunan Jawa yang tinggal di kampung tersebut memastikan Chee Heng dan adik-beradiknya tidak kelaparan. Walaupun berbeza bangsa dan agama, ia bukanlah alasan untuk tidak membantu jiran tetangga yang dalam kesusahan.

“Kita semua susah pada waktu itu tetapi persaudaraan antara masyarakat Melayu Jawa dan Cina di kampung saya sangat kuat. Orang Melayu Jawa selalu beri saya dan adik-beradik makan nasi berlaukkan ikan masin masak tepung. Mereka pun bukan orang senang kerana pada masa itu semua orang susah tetapi mereka tidak membiarkan jiran kelaparan,” katanya.

Menurut Chee Heng, semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Limpoon, dia berkawan baik dengan anak seorang pegawai polis di situ. “Kalau saya balik ke rumah tidak ada makanan, saya akan pergi ke rumah kawan di berek polis untuk makan tengah hari. Saya pergi untuk berjumpa dengan kawan saya dengan harapan keluarganya akan menjemput saya untuk makan. Biasanya mereka akan mengajak saya untuk makan sekali dengan mereka.

“Pada sebelah petang pula, saya akan berjalan kaki sejauh kira-kira lima kilometer ke rumah rakan saya di Bakau Condong untuk makan petang. Keluarganya selalu menyediakan jemput-jemput (cekodok pisang) pada sebelah petang. Kalau ada makanan, dapatlah saya makan tetapi kalau tidak ada, saya terpaksa pulang ke rumah dengan keadaan berlapar,” katanya.

Menurut Chee Heng,sampai sekarang dia amat menghormati polis kerana banyak membantu dia dan adik-beradik semasa zaman kanak-kanaknya. Itu juga merupakan antara sebab beliau menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia yang mana beliau bertindak selaku presiden.

Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Chee Heng ialah ketika peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan satu titik hitam dalam sejarah hubungan antara kaum di negara ini apabila tercetus pergaduhan antara orang Melayu dan Cina.

Kata Chee Heng, meskipun di tempat lain orang Melayu dan Cina bergaduh tetapi di kampungnya, mereka bersatu mempertahankan keselamatan seluruh anggota masyarakat kampung. “Saya masih ingat ketika itu, orang Cina membawa lembing manakala orang Melayu memegang keris berkawal di beting kampung supaya orang luar tidak masuk. Ada juga yang membawa rantai basikal. Sebab itu, saya percaya hubungan antara orang Melayu dan Cina sebenarnya sangat rapat,” katanya.

Pengalaman di zaman lampau itu banyak mematangkan Chee Heng dan menjadikan beliau seorang yang bersyukur dengan kehidupan. “Kekayaan sebenar bukan terletak dalam kocek tetapi pada hati. Sebab itulah, orang yang banyak wang belum tentu akan membantu orang lain kerana dia miskin hati. Tetapi orang yang kaya di hati meskipun tidak punya wang yang banyak, mereka akan membantu orang yang memerlukan bantuan.

“Dalam hidup ini, kita tidak akan selama-lamanya berada di atas. Ada masanya kita jatuh ke bawah. Kalau orang duduk di bawah, kita hulurkan tangan angkat dia naik ke atas. Jangan kita pijak dia,” katanya.

Semasa belajar di Vento Academy di Petaling Jaya, Selangor, kehidupan keluarganya sudah agak baik kerana adik-beradiknya ramai sudah bekerja. Di situ, beliau mula membantu orang. “Seorang rakan saya bernama Jaafar tidak ada wang untuk balik berhari raya di kampung. Saya hulurkan RM300 kepadanya,” katanya mengimbau kenangan pertama dia membantu orang.

Selepas tamat pengajian di Vento Academy, Chee Heng melakukan pelbagai pekerjaan termasuk pernah menjadi pemandu lori dan jentolak. Meskipun pendapatan tidak seberapa, dia tetap membantu orang jika ada kesempatan sama ada dalam bentuk wang tunai, barangan atau tenaga. “Bagi saya, nikmat kekayaan ialah apabila saya masih dapat bernafas apabila bangun tidur. Setiap hari adalah hari kekayaan. Semasa kita masih sihatlah kita mahu membantu orang,” tambahnya.

Menurut beliau, dalam melakukan perbuatan baik, seseorang itu perlu melakukannya dengan ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang balasan.”Kalau kita memberi dengan tangan, kita akan minta balik pemberian itu. Tetapi kalau kita memberi dengan hati, kita akan gembira kalau bantuan itu dapat mengembalikan senyuman kepada orang tersebut,” katanya.

Sejak menjadi ahli perniagaan empat tahun lalu, rezeki Chee Heng bertambah baik dan dia gembira kerana ia membolehkannya membantu lebih ramai orang yang memerlukan. Beliau yang banyak belajar tentang agama Islam dan ajaran-ajaran lain, percaya amalan bersedekah tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya Tuhan akan menambahkan rezeki baginya. “Mungkin rezeki itu bukan daripada orang yang dibantu, tetapi Tuhan menggerakkan orang lain untuk memberikan peluang perniagaan kepada saya,” ujarnya.

Meskipun pernah dituduh sebagai pendakwah Kristian yang cuba mengkristiankan orang Islam dan mencari populariti, Chee Heng tidak pernah mempedulikan kata-kata negatif itu. Baginya, apa yang dilakukannya itu adalah untuk saham di akhirat. “Apabila mati nanti, mereka tidak akan menjawab bagi pihak saya kepada Tuhan tetapi saya akan menjawab atas segala perbuatan saya. Jadi, buat apa perlu saya pedulikan cakap-cakap orang,” katanya.