Penyanyi yang pernah popular dengan lagu berirama Hindustan ‘Ku Tak Ingin Menangis Lagi’ ini begitu seronok sekali apabila diajak berbual-bual mengenai dunia sukan terutama permainan badminton yang menjadi sukan nombor satu dalam hidupnya sejak dahulu sampai sekarang.

“Badminton tetap sukan nombor satu saya!” katanya sambil tersenyum mengakui idolanya dalam sukan badminton ialah Datuk Lee Chong Wei.

Mungkin ramai peminat beliau yang tidak tahu bahawa selain bidang nyanyian, Dave sebenarnya pernah memenangi pelbagai kejuaraan badminton di dalam dan luar negara bagi tempoh lima tahun lalu.

Beliau pernah memenangi dua pingat perak di World Morning Cup Badminton di Taipei dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2014 dan 2015 dalam kategori perseorangan lelaki dan kategori beregu lelaki.

Pada tahun 2016, Dave sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila beliau menyertai kejohanan Badminton All England Senior sehingga melayakkan diri melangkah ke peringkat suku akhir.

Beliau mengakui amalan bersenam yang diamalkannya setiap hari banyak membantu mengekalkan kesihatan yang baik sehingga hari ini selain membantu memberikan saingan sengit terhadap pihak lawan yang hebat-hebat belaka dalam kesemua kejohanan tersebut.

“Kejayaan saya dapat masuk peringkat suku akhir Badminton All England Senior membuktikan amalan bersenam menjadi faktor utama ketahanan diri dan membuktikan saya sentiasa fit dan lasak menghadapi saingan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Baru-baru ini, dalam kejohanan World Morning Cup Badminton 2017 yang berlangsung di Taipei, Dave sekali lagi memenangi dua pingat gangsa di dalam kategori lelaki perseorangan bagi usia 65 tahun ke atas dan bergu lelaki campuran untuk pemain berumur sehingga 140 tahun ke atas.

Selepas ini, Dave akan bersaing pula untuk kejohanan World Senior Badminton Championships yang akan diadakan di Kochi India pada bulan September 2017.

Pada kejohanan itu seramai lebih 3,800 peserta dari seluruh dunia bakal mengambil bahagian. Namun, persaingan hebat ini langsung tidak melemahkan semangat juang Dave untuk membuktikan bahawa peserta dari Malaysia juga mampu memberikan saingan sengit.

“Sorakan dan pekikan para peserta setiap kejohanan tidak pernah menakutkan atau melemahkan diri saya tetapi menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang sekali gus menumpaskan lawan,” katanya penuh bersemangat.


Disiplin

Biarpun usia beliau sudah menghampiri 70 tahun namun semangat kental yang ditunjukkan oleh Dave wajar menjadi contoh kepada golongan muda di negara ini bahawa faktor usia bukanlah penghalang dalam mencipta apa saja kejayaan yang diidamkan.

Pemain badminton paling muda dalam kalangan rakan-rakan Dave ialah G. Subramaniam, 58, yang merasakan dirinya tercabar dengan pemain-pemain veteran ini.

Meskipun ketika usia meningkat, risiko mendapat kecederaan juga begitu tinggi namun situasi ini tidak melemahkan Dave dan rakan-rakannya untuk beraksi di dalam kejohanan berprestij seperti World Master, World Chinese dan Kejohanan All England Senior.

Siapa kata orang veteran tidak hebat. Chan Wan Seong, bekas Timbalan Presiden Eksekutif AmBank, 63, membuktikan hakikat ini kerana pernah memenangi pingat emas dalam kategori badminton perseorangan lelaki berusia 60 tahun ke atas.

Datuk Venugopal Menon, 74, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Kanser Nasional Malaysia dan rakan beregu beliau Goh Kim Chuan bekas pesara Universiti Teknologi Nanyang Singapura turut membawa pulang pingat emas dalam kejohanan Badminton ‘46’ World Morning Cup di Taipei yang berlangsung dari 7 April hingga 9 April 2017 lalu.

Loong Chee Meng berusia, 67, misalnya menjadi pemenang pingat emas dalam kategori 140 tahun ke atas (campuran umur) cukup mendisiplinkan dirinya dengan melakukan diet yang mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran selain sentiasa menjaga berat badan ideal.

Malah, Dave sendiri turut mengilhamkan kejohanan badminton Piala Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) yang kini sudah memasuki edisi ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 bagi hadiah pertama, RM3,000 (hadiah kedua) dan 2,000 (hadiah ketiga) bagi menyokong hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai aktiviti dan kegiatan berfaedah kepada masyarakat.

“Walaupun sibuk saya ambil peluang berlatih dua kali atau tiga kali seminggu di dewan Kampung Attap atau di Dewan Badminton Selangor,” katanya penuh ceria.

Sebenarnya sesiapa saja yang berpeluang bertemu Dave pastinya kagum dengan wajah beliau yang tidak dimakan usia. Aura positif terpancar dari dalam dirinya yang sentiasa tersenyum, berwajah bersih dan jauh lebih muda daripada wajah sebenar.

Malah, apabila jurugambar Izwan Zainal meminta digandingkan dengan anak perempuannya, Davina Farhana Dave, 30, bagaikan tidak ternampak jurang usia antara seorang bapa dan anak itu yang berjarak hampir setengah abad.

Wajah Dave yang masih kacak dan bergaya seperti dulu itu seolah-olah masih berada di puncak kegemilangan pada era 1970-an dan 1980-an ketika beliau muncul dengan lagu hitnya ‘Ingin Bersua’.

Apabila ditanya apakah rahsia awet muda yang diamalkannya, Dave hanya tersenyum sambil memberitahu: “Bersenamlah. Jangan duduk diam. Keluarkan peluh. Pergilah aktifkan diri supaya sentiasa bergerak dan bergaul dengan masyarakat di luar sana!”.

Mengenai Yayasan Artis 1Malaysia yang diterajuinya, Dave gembira kerana dapat membantu artis-artis tanah air dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, sokongan moral, bimbingan dan mengeratkan tali silaturrahim. Pada 2016 YA1M telah melancar program khairat untuk semua penggiat yang terlibat dalam dunia hiburan tanah air.

“Yuran tahunan hanya RM100 meliputi pengurusan dan pengebumian jenazah serta badal haji bernilai RM3,000 untuk waris,” katanya. Menurut Dave setakat ini YA1M telah membantu lebih 800 orang artis di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kes seperti sahara Yaakub dan Ben Nathan menguatkan azam saya nak bantu artis-artis yang pernah jatuh supaya bangun balik, bantu mereka mulakan hidup baru.

Dave turut mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Khas bagi membantu penyanyi yang popular dengan lagu ‘Stanza Sepi Sekeping Hati’ itu selain mengadakan ‘Konsert Amal Kasih Harapan’ anjuran YA1M dan Jojo Events di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada 21 Mei ini bagi mengisi tabung bagi membantu penyanyi itu menjalani kehidupan lebih baik.