Khalayak program terlalu ingin mendapatkan penjelasan daripada mulut bekas Perdana Menteri itu sendiri adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi sekutu politik baharunya, menjadi mangsa kerakusan politiknya. Atau benar-benar seorang pesalah liwat?

Malangnya, Dr. Mahathir berdolak-dalik.

“Itu perkara lama. Ketika saya jumpa dia (Anwar), dia tak tanya pun soalan macam tu,” itu sahaja komen beliau.

Sebenarnya, isu jenayah liwat melibatkan Anwar bukan peristiwa kecil. Akibat daripada itu, negara kacau-bilau. Masyarakat Melayu berpecah-belah termasuklah adik beradik tidak bertegur sapa.

Maka tepat sekali pertanyaan seorang peserta program:

“Adakah Anwar benar-benar pesalah liwat negara atau mangsa kerakusan politik Tun?

“Kalau Anwar benar-benar pesalah, Tun baharu saja me­ngangkat banduan sebagai bakal perdana menteri, sedangkan banduan awam susah untuk mendapatkan pekerjaan.”

Hakikatnya tindak-tanduk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang gemar mengikut ‘kepala sendiri’ dan ‘melanggar’ sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya bukanlah isu baharu.

Kalau gelagat itu menjadi perhatian hari ini, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa buat bekas Perdana Menteri itu.

Ia sudah berlaku awal lagi selepas pilihan raya umum 1969 yang kali pertama menyaksikan parti Perikatan (yang kini Barisan Nasional) hilang majoriti dua pertiga.

Ketika itu nasib sememangnya tidak menyebelahi UMNO yang menjadi tunjang parti campuran itu.

Berkongsi gabungan dengan MCA dan MIC, UMNO semasa itu gagal mengekang kemaraan parti-parti pembangkang terutama DAP yang berkempen atas manifesto yang menentang hak istimewa bumiputera yang ditetapkan oleh Artikel 153.

Jumlah kerusi yang dimenangi Perikatan dalam Dewan Rakyat menurun daripada 89 kerusi pada 1964 kepada 66 kerusi pada 1969. Pembangkang menang 25 kerusi manakala Pas 12 kerusi Parlimen.

Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian besar dalam pilihan raya kemudian meraikan kemenangan itu, yang disusuli perarakan di Kuala Lumpur yang mengundang provokasi sensitif menerbitkan akhirnya rusuhan berdarah 13 Mei 1969.

Dr. Mahathir sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Setar Selatan yang ditandinginya setelah kalah dengan 989 undi kepada calon Pas, Yusoff Rawa. Kekalahan itu dikaitkan dengan pendiriannya tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk memenangi kerusinya.

Sejarah tidak berbohong. Kerana melihat Tunku Abdul Rahman yang memimpin Perikatan dalam keadaan tersepit, Dr. Mahathir muncul lantang mengkritik cara Tunku mengendalikan pentadbiran negara yang didakwanya lebih menguntungkan kaum tertentu.

Kemelut hubungan antara Tunku dan Dr. Mahathir terdedah meluas apabila surat yang ditulisnya kepada Tunku tersebar dalam kalangan rakyat. Surat menyentuh sikap Tunku dalam menghadapi peristiwa 13 Mei.

Bagi Tunku, surat tersebut te­lah memusnahkan seluruh pe­ngorbanannya terhadap bangsa dan negara sejak 17 tahun lalu.

Antara luahan Tunku:

“Seorang daripada itu ialah Mahathir sendiri, dia buat satu surat kepada saya. Tapi diedar beratus ribu salinannya kepada semua orang. Er... tentera-tentera, polis, orang kebanyakan ni, diedarkan. Dan dimaki saya dalam itu de­ngan berbagai-bagai perkataan.

Saya ini dibenci oleh semua orang Melayu, dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan, dibenci oleh askar Melayu, dibenci oleh polis dan sebagainya. Di sini nampak caranya, tujuannya nak bagi orang semua benci kepada saya. Buang saya dan ubahkan peme­rintahan Malaya ini.

Dia kata saya ini pro-Cina, saya berjuang begitu lama, begitu susah, dan begitu payah, susah-payah, adakah dengan untuk mengangkatkan Cina? Ini semua untuk nak bagi tempat dalam negeri ini kepada orang Melayu. Itu tujuan saya yang berjuang ini. Dia kata saya pro-Cina, saya buat itu bagi Cina, macam-macamlah dia kata. Jadi ditunjuk di situ khia­natnya.

Dr. Ismail masa itu dia jadi Pengerusi Guthrie. Dia berhenti. Tapi apabila dia dengar kejadian itu, dia letakkan jawatan Guthrie, pengerusi. Masuk balik dan saya angkat dia jadi, apa nama... Menteri Dalam Negeri. Jadi dialah ambil tindakan atas Mahathir ni.

Tapi tak adalah buat apa-apa, Cuma pecat daripada UMNO sahaja. Kalau dia (Mahathir) sendiri, tentu dia buat macam sekarang ini, bubuh dalam penjara. Masuk tahan orang itu, tahan orang ini. Tahan suratkhabar-suratkhabar.”

Ini menyebabkan Tunku memberi kata dua kepada UMNO iaitu, pilih “saya atau Dr. Mahathir.”

Majlis Tertinggi (MT) UMNO kemudian mengambil keputusan memecat Dr. Mahathir pada 12 Julai 1969. Sehari selepas pemecatannya, kerajaan mengambil tindakan mengharamkan surat Dr. Mahathir kepada Perdana Menteri.

Hidup seperti roda. Perbuatan serta muslihat yang dilakukan Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sebenarnya sama sahaja seperti yang pernah diperlakukannya terhadap Almarhum Tunku.

Ia mirip seperti mana dihadapi Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pernah ‘dibuli’ oleh beliau.

Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam benar-benar mendedahkan ‘wajah sebenar’ Dr. Mahathir.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.