Bagaimanapun dalam ke­ghairahan itu ahli politik berusia 93 tahun itu semakin terlupa bahawa dalam mengerjakan sesuatu perbuatan, ia bergantung kepada niat. Kalau niat kita baik sudah pasti Allah SWT akan memberkatinya tetapi jika niat itu semata-mata mahu memuaskan nafsu politik sudah tentu ia tidak akan diredai.

Berdasarkan tindak tanduk beliau terbukti Dr. Mahathir sudah tenggelam punca untuk memikirkan secara rasional keputusannya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan sete­rusnya bersekongkol dengan DAP yang berpegang teguh kepada konsep Malaysian Malaysia - satu konsep yang ditentang keras oleh bekas Perdana Menteri itu ketika beliau berkuasa selama 22 tahun.

Dr. Mahathir sudah tidak peduli apa lagi. Beliau begitu kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri boneka sementara jika Pakatan Harapan yang DAP paling dominan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Beliau mengeluarkan pelbagai hujah bagi menghalalkan tindakannya menentang Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang pernah menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri.

Dalam usaha itu, Dr. Mahathir yang satu ketika dahulu cukup teliti dalam tindakan dan berhati-hati dalam percakapan sudah menjadi ahli politik yang sudah tumpul dalam pemikiran stra­tegis serta ‘kacau bilau’ apabila bertindak.

Dendam peribadi terhadap Perdana Menteri telah menyebabkan beliau tidak mahu mendengar apa-apa lagi perkara baik mengenai kerajaan BN dan UMNO. Sebaliknya beliau telah mentransformasikan diri menjadi ahli politik pembangkang yang jauh lebih tegar daripada semua ahli politik pembangkang sedia ada.

Dr. Mahathir kini sedang meniru semua perwatakan dan tindakan politik yang dilakukan oleh musuh-musuh politiknya ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Kerajaan BN dilihat seburuk-buruknya kelompok, penuh rasuah, zalim dan melakukan salah guna kuasa. Inilah juga senjata yang digunakan oleh pembangkang semasa beliau berkuasa dahulu.

Tetapi Dr. Mahathir sudah lupa. Dr. Mahathir seolah-olah ‘hilang memori’ mengenai apa yang berlaku dan beliau lakukan ketika menjadi Perdana Menteri dahulu. Sebab itulah beliau begitu mudah menyerap segala pendekatan politik parti pembangkang.

Lebih malang lagi Dr. Mahathir sanggup melupakan petaka yang menanti orang Melayu jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya. Sememangnya kita faham apa sebenarnya ada dalam kepala Dr. Mahathir.

Selama ini beliau yang me­ngingatkan bahayanya politik DAP, beliau yang mengecam corak politik pembangkang dan beliaulah yang bertanggungjawab menggambarkan beberapa pe­mimpin pembangkang seburuk-buruknya manusia termasuk tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Namun begitu penulis percaya Dr. Mahathir tahu bahana yang menanti jika Pakatan Harapan memerintah, tetapi beliau peduli apa kerana yang penting misinya hanyalah untuk menjatuhkan Najib, seolah-olah apa mahu berlaku kepada negara itu bukan soal beliau.

Sebab itulah Dr. Mahathir sanggup memburuk-burukkan kerajaan kepada media asing, menolak segala kebenaran dan fakta berhubung sesuatu isu dan melemparkan pelbagai fitnah serta tohmahan dalam ceramah-ceramahnya.

Melalui tindakan itu kita boleh mentafsirkan Dr. Mahathir bukanlah benar-benar berjuang untuk kesejahteraan bangsa, agama mahupun negara, tetapi semata-mata agenda politik peribadinya sahaja. Jika dakwaan itu tidak benar Dr. Mahathir perlu membuktikannya dengan menjadi seorang politik seperti mana beliau disanjung pemimpin hebat suatu ketika dahulu.

Janganlah kerana berada dalam pakatan pembangkang, apa juga perkara yang dilakukan oleh kerajaan dianggap tidak be­tul, kebenaran dinafikan manakala kepincangan dalam kalangan sekutu didiamkan. Dr. Mahathir benar-benar perlu kembali menjadi negarawan.

Namun Dr. Mahathir sudah pasti tidak akan berbuat demikian dan tidak mungkin mampu melakukannya kerana selain daripada dendam politik yang membara, Dr. Mahathir bukan lagi mengepalai satu parti politik yang dominan dan berkuasa dalam sebuah gabungan seperti mana ketika beliau berada dalam BN dahulu.

Sebaliknya beliau hanya me­mimpin sebuah parti serpihan atau lebih tepat lagi parti picisan yang sama sekali tidak menggerunkan sekutunya seperti PKR dan DAP. Walaupun memegang jawatan Pengerusi untuk PPBM dan Pakatan Harapan tetapi Dr. Mahathir sekadar mempunyai kuasa penuh dalam PPBM sahaja sehingga mampu ‘menutupi’ ku­asa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam Pakatan Harapan, Dr. Mahathir tiada kuasa pemutus, apatah lagi mempunyai cengkaman politik se­perti mana beliau menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi BN dahulu.

Segala-galanya perlu mendapat restu DAP yang disokong kuat oleh PKR. Dr. Mahathir hanyalah ‘alat’, manakala Muhyiddin adalah ‘kuli’. Bukan mana-mana pihak yang meletakkan mereka dalam kedudukan itu, mereka yang me­ngatakan demikian sebelum ini.

Atas kedudukan itulah DAP tanpa rasa bimbang dengan ang­kuh menyatakan mereka berpegang teguh kepada konsep Malaysian Malaysia. Mereka tahu Dr. Mahathir menentang konsep itu satu ketika dahulu tetapi sekarang Dr. Mahathir bersama mereka dan berada pada kedudukan sekadar menjadi ‘pak turut’.

Oleh itu corak politik yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir sudah pastikan tidak akan me­nguntungkan negara dan rakyat khususnya orang Melayu. Yang tetap akan untung ialah DAP. Yang tetap akan berkuasa adalah DAP dan pastinya yang tetap akan dominan ialah DAP?

Bagaimana dengan Dr. Mahathir, PPBM dan PAN? Perca­yalah mereka hanyalah ‘alat’, ‘kuli’ dan ‘pak turut’ untuk orang lain meraih kuasa. Siapa orang lain itu? Semua orang tahu!