Selain mudah, cepat, efektif dari segi kos dan sangat luas jangkauan sasaran pelanggan, perniagaan sedemikian dari aspek keselamatan diri, dilihat sebagai ‘selamat’ dan tidak begitu ‘beri­siko.’

Peniaga berada di alam maya, tidak diketahui di mana pejabat operasi dan segala komunikasi hanya menggunakan gajet mudah alih dan media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram.

Bagaimanapun apa yang me­nimpa seorang peniaga dalam talian di Kelantan akhir bulan lalu amat mengejutkan. Usahawan kosmetik dan barang kemas itu dirompak, ditembak dan dikunci oleh sekumpulan perompak di premis perniagaannya.

Mangsa ditemukan dalam ke­a­daan lemah dan berlumuran darah di tingkat atas premis tersebut.

Apabila kes itu disiarkan di dalam media massa, maka keluarlah pelbagai cerita mengenai usahawan tersebut. Mangsa sebelum ini dikatakan kerapkali mengadakan promosi secara langsung atau live di media sosial bagi mempromosikan produk kecantikan dan barang kemas yang dijual.

Dia bukan sahaja mempamerkan produk kosmetik dan barang kemas tetapi turut menunjukkan ‘berkepuk-kepuk’ wang tunai bagi menarik perhatian pelanggan. Khabarnya pendekatan seumpama itu sudah lama digunakan.

Strategi sedemikian benar-benar menjadi. Dia berjaya menarik pelbagai jenis ‘pelanggan’ termasuk pencuri yang menyamar sebagai pelanggan! Sekumpulan perompak yang berpura-pura mahu membeli produk telah ke kedai mangsa. Mangsa dirompak, ditembak dan dikurung sehingga lemah sebelum diselamatkan. Mujurlah mangsa ditembak di bahagian betis sahaja.

Bayangkanlah jika dia ditembak di bahagian sensitif lain sehingga menyebabkan kematian dan kecacatan kekal, satu sen duit pun sudah tidak bermakna lagi!

Kebanyakan netizen seperti tidak bersimpati dengan mangsa. Rata-rata menyalahkan mangsa sendiri kerana dikatakan berlagak dan suka menunjuk-nunjuk secara live terutama apabila tidak serik-serik menayangkan wang tunai yang berkepuk-kepuk itu. Gambar-gambar mangsa bersama wang ringgit turut tular di media sosial. Apa yang dipertontonkan itu dikatakan menjadi ‘umpan’ untuk menarik pelanggan dan pada masa yang sama juga memikat perompak dan pencuri. Kerja-kerja perompak dipercayai menjadi lebih mudah apabila disertakan sekali lokasi tontonan secara langsung itu.

Bercerita mengenai kecende­rungan menayangkan kemewahan hidup terutama timbunan wang ringgit mengingatkan penulis kepada juara tinju dunia Floyd ‘Money’ Mayweather Jr. Pemegang pelbagai tali pinggang kejuaraan dalam lima kategori berasingan itu merupakan ahli sukan terkaya di dunia. Setiap kali selepas menang dalam satu-satu perlawanan tinju, dia akan bergambar atau mengepos klip video dengan timbunan wang yang dijadikan tilam, bantal atau selimut tidur­nya.

Petinju itu turut menayangkan segala koleksi barang kemas serta harta benda lain yang menjadi simbol kemewahan hidup. Walaupun kadang kala lagak tersebut tidak disenangi ramai dan sedikit menjengkelkan, dia memang berhak berbuat demikian kerana Mayweather memang super kaya! Barangkali kerana dia seorang petinju hebat, tidak ada pula orang yang berani merompaknya.

Usahawan kosmetik dan barang kemas yang menjadi mang­sa rompakan itu bukanlah satu-satunya peniaga online yang suka ‘mempamerkan’ kekayaan diri sewaktu siaran langsung. Hampir kebanyakan peniaga dalam talian suka berbuat demikian.

Ada ramai lagi yang menayangkan kemewahan hidup dari segi wang ringgit berkepuk-kepuk, koleksi barang kemas dan aksesori lain sewaktu bersiaran langsung di Facebook atau Instagram.

Inilah pendekatan dan strategi perniagaan yang dikatakan pa­ling efektif untuk menarik pe­langgan. Mereka yang menonton juga dibuai impian mahu menjadi kaya seperti usahawan tersebut.

Sebahagian mereka sangat berhati-hati dan tidak sampai ke tahap share location. Sebahagian yang lain pula dibuai dengan keseronokan sehingga lupa keselamatan diri. Itulah yang berlaku kepada mangsa di Rantau Panjang itu.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang bergerak pantas sehingga tak terkejar ini, semua orang sudah menjadi celik ICT termasuk pencuri atau perompak. Kalau tidak masakan wujud pelbagai jenis scam yang berjaya menipu berjuta-juta ringgit duit dan harta benda mangsa.

Hanya dengan menggunakan papan kekunci telefon bimbit atau komputer peribadi sahaja orang ramai boleh termakan dan terpedaya. Barangkali rompakan yang berlaku di Rantau Panjang itu pun sama. Perompak sudah lama mengikuti siaran langsung promosi produk kecantikan dan barang kemas yang turut diumpan dengan timbunan wang tunai.

Kerja-kerja perompak menjadi lebih mudah apabila mereka mengetahui di mana sasaran tinggal. Senjata yang digunakan pula sudah cukup untuk membuatkan mangsa terkencing ketakutan.

Strategi perniagaan secara menayangkan kemewahan me­lampau terutama wang ringgit walaupun kepada sesetengah usahawan sangat berkesan tetapi bukanlah pendekatan terbaik.

Strategi sedemikian kadang-kala menimbulkan rasa me­nyampah dan benci orang ramai lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru sahaja bergelar usahawan. Mereka seringkali dituduh suka menunjuk-nunjuk sedangkan perniagaan yang dijalankan bukanlah hebat sangat pun.

Apa yang berlaku ke atas mang­sa perlu menjadi pengajaran kepada para peniaga dalam talian lain yang gemar menggunakan pendekatan promosi secara langsung produk-produk mereka.

Mereka perlu lebih berhati-hati dan sentiasa beringat bahawa penyangak dan perompak alam maya ini ada di mana-mana, sedang memerhatikan dengan tekun dan menunggu masa yang sesuai sahaja untuk merompak.