TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

Kalau nak diikutkan, Tajuddin sendiri tiada apa-apa untuk membuktikan sesuatu kerana beliau adalah calon Naib Presiden UMNO yang kalah tempoh hari.

Tapi sejak dua bulan lalu beliau telah bekerja keras untuk menjayakan suatu perhimpunan orang Melayu yang dipanggil Himpunan Melayu Bangkit di Pasir Salak esok.

Kenapa? Kata Tajuddin kepada Utusan Malaysia petang semalam:

“Sepatutnya bukan kerja saya anjurkan himpunan seumpama ini kerana saya bukan pemimpin besar. Saya hanya ketua bahagian, ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pun yang dilantik selepas kalah Naib Presiden.

Tapi saya terpanggil bila lihat tidak ada tanda-tanda kepimpinan di semua peringkat mengusahakan sesuatu tindakan yang boleh bangkitkan semangat Melayu.

“Saya haraplah walaupun saya pemimpin kecil, dengan usaha ini akan buka mata, fikiran dan pintu hati setiap orang daripada orang Melayu...sedarlah, insaflah, apa nasib apa yang berlaku atas dirimu. Jangan kamu diam mem­bisu. Kalau diam bisu, kamu akan diinjak-injak, dimalukan dan dihina.”

Jelas Tajuddin, matlamat himpunan hanya untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu serta menyuntik semangat kepada mereka kerana pada masa ini keadaan ‘tampak begitu tercabar dan terancam’.

“Ada tokoh tertentu sama ada dari badan bukan kerajaan (NGO) serta individu dari luar dan dalam mempertikaikan orang Melayu sebagai pribumi.

“Ada yang anggap Melayu sebagai pendatang. Cuba angkat pihak lain sebagai pribumi di tanah air ini. Selain itu, Islam juga dihina dengan pelbagai kenya­taan memburuk-burukkan Islam. Ada ura-ura untuk menghakis institusi Islam seperti tahfiz dan gerakan yang membela mereka yang ingin keluar dari Islam. Ada tokoh-tokoh NGO yang mengatakan orang Melayu tidak boleh dipaksa memeluk agama yang mereka hendak pilih.

Bukankah ini cabaran kepada agama Islam dan Melayu. Begitu juga raja-raja Melayu dimomokkan, dipersendakan mereka?” kata Tajuddin.

Kata Tajuddin lagi: “Kita tahu raja-raja Melayu tonggak Melayu dan Islam. Perbuatan persendakan Agong, saya anggap gerakan untuk menghasut rakyat benci sistem beraja. Ini amat berbahaya kepada orang Melayu dan Islam.

“Sekiranya mereka berjaya menghasut, ia akan tukar sistem politik dari sistem beraja ke sistem republik. Jika tidak kedengaran suara-suara lantang yang mempertahankan hak-hak Me­layu atau yang berslogankan bumiputera, kita tak akan dengar suara lantang pertahankan raja-raja Melayu dan Islam. Saya lihat seolah-olah orang Melayu sedang menyerah kalah kepada pesaing kita. Ya, kita memang hadapi persaingan dari dulu dan sekarang, ‘mereka’ ini bersaing untuk kalahkan Melayu.

“Walaupun pada hari ini kita lihat seolah-olah mereka terima kita orang Melayu, hormat pada perlembagaan, tak mahu ganggu-gugat apa-apa dalam perlembagaan tapi agenda perjuangan mereka banyak yang bercanggah dengan yang diperuntukkan dalam perlembagaan dan kini tunggu berkuasa dan guna kuasa yang dapat tegakkan agenda parti mereka.”

Tambah Ahli Parlimen Pasir Salak itu, dalam keadaan sekarang kalau orang Melayu tidak bangkit mempertahankan hak­nya, maruahnya, harga dirinya, siapa lagi nak pertahankan?

“Kitalah yang bernama Melayu ini dan saya sebagai Melayu, saya rasa saya tidak apologetik...caplah saya sebagai ultra Melayu sekalipun.

“Saya amat percaya Melayu Islam di luar sana sama ada di bandar-bandar dan kampung yang cintakan bangsanya dan yang mahu Melayu bangkit tentu sokong program ini,” kata Tajuddin.

Ditanya ada beranggapan himpunan berkenaan berbaur rasis, balas Tajuddin:

“Bagi yang takut kepada kebangkitan Melayu dan Melayu/Islam bersatu, mereka tentu akan cari jalan bagaimana untuk perkecilkan perhimpunan ini yang dianggap tak sepatutnya dilakukan, dimomokkan himpunan rasis. Itu kita tak hairan sebab mereka ada kepentingan politik mereka yang tidak perlu dilayan.

“Yang saya layan untuk anjurkan ini adalah untuk pertahankan hak Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu. Kalau kita tak pertahankan, adakah kita harapkan pihak yang kata kita ultra rasis ini untuk membela kita?

“Dan siapa mereka itu? Mereka dah jadi manusia liberal. Kepada mereka, orang Melayu dianggap seolah-olah sudah mampu, hebat, tak perlu lagi bersatu untuk pertahankan hak kita.”

Tajuddin berterus-terang meng­harapkan tarikan daripada orang ramai untuk datang ke Pasir Salak malam esok.

“Program ini ialah program kebangkitan orang Melayu. Bukan sebarang program. Ini bukan program cabutan bertuah sediakan hadiah itu ini. Bukan juga program nak angkut orang dengan bas, kereta. Ada yang kata ada tak transport, bas untuk ke sana? Kalau itulah penyebab tarikan orang ramai, itu sudah tak menepati matlamat perhimpunan ini,” tegas beliau lagi.

Kata Tajuddin: “Tarikan utama kita supaya orang datang ialah kita uar-uarkan ini satu program yang sangat bererti kepada Me­layu dan maruah serta harga Melayu. Ia suatu program yang kita nak beritahu satu dunia di luar sana bahawa Melayu masih ada semangat perjuangan. Kita sedia pertahankan.

“Kita nak bagi mesej bahawa orang Melayu masih boleh bersatu atas nama perjuangan walaupun pegangan politiknya berbeza-beza. Ia bukan berbentuk objek tetapi suatu nilai amat bermakna dan boleh menarik orang datang beramai-ramai ke sini (Pasir Salak).”

SEMPENA HIMPUNAN MELAYU BANGKIT DI PASIR SALAK MALAM ESOK