Bukan calonnya, Datuk Lokman Noor Adam tidak bekerja keras membangkitkan isu-isu ‘berbahang’ yang didakwanya ada kaitan dengan kedudukan sensitif orang Melayu atau kepincangan dalam pentadbiran sedia ada, tapi pengundi telah membuat pilihan. Calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni pilihan mereka.

Terimalah demokrasi ini.

Sementelahan PRK yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu ini tibanya begitu pantas - belum pun 100 hari gabungan Pakatan Harapan (PH) menggerakkan kerajaan - pengundi Sungai Kandis barangkali mahu memberi peluang kepada kerajaan. Terutamanya untuk melunaskan kira-kira lapan daripada 10 janji besar dalam manifesto PRU mereka yang masih belum tertunai.

Atau mungkin juga pengundi tidak ambil kisah langsung soal ‘janji-janji manifesto ini’. Dalam fikiran mereka, asal sahaja kerajaan sedia ada mempamerkan kredibiliti dan tiada salah guna kuasa, maka kenapa tidak Mohd. Zawawi harus dipilih.

Tunggu dan lihatlah setahun dua nanti, baru kami akan putuskan, mungkin itu suara hati mereka. Mengatakan terjadi undi protes dengan penyusutan mendadak peratus keluar dari 85 pe­ratus dalam PRU-14 lalu kepada hanya 49.4 peratus, barangkali boleh diperdebatkan.

Kemungkinan tidak ramai yang keluar bersebab. Penyokong PH mungkin beranggapan gabu­ngan mereka yang baru membentuk kerajaan boleh menang mudah, jadi, buang masa sahaja pagi Sabtu keluar berbaris panjang.

Orang BN pula merasakan mereka sukar untuk menang manakala sebahagian besar pe­ngundi Pas masih dalam dilema dan tertanya-tanya akan pendirian pucuk pimpinan mereka, lantas agaknya belum tiba masanya untuk memberikan undi kepada mana-mana parti.

Ini kerana tidak tampak jelas barisan kepemimpinan ter­tinggi Pas duduk atas satu pentas dengan para pemimpin UMNO. Waima kelibat ketua-ketua sayap Wanita dan Dewan Muslimat Pas ataupun Ketua Pemuda UMNO dengan Ketua Dewan Pemuda Pas pusat duduk berbincang atau berada dalam satu majlis, masih tiada terpapar di media sosial sepanjang kempen PRK Sungai Kandis.

Mungkinkah PRK Sungai Kandis hanya suatu medan untuk Pas melihat keikhlasan UMNO, lantas PRK selepas ini khususnya di Seri Setia nanti sebagai rumusan ke­sepakatan dua parti Melayu terbesar itu?

Sesuatu yang tidak boleh di­nafikan dalam tempoh terdekat ini, aura Perdana Menteri me­rangkap Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih melekat utuh dalam kalangan pe­ngundi. Agak sukar dalam tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun ini untuk me­nyangkal tanggapan ini.

Apatah lagi gabungan PH kelihatan dilihat mewakili kelompok semua kaum dari Bersatu, Ama­nah, DAP sehinggalah ke dua parti yang memiliki kerusi terbesar, PKR dan DAP.

Begitupun PH harus mengambil perhatian dengan keupayaan UMNO meraih sehingga hampir 10,000 undi daripada 25,109 pengundi yang turun kelmarin, bekas parti pemerintah itu tidak boleh diperkecilkan cabarannya. Ia memberi isyarat bahawa UMNO masih diberi ruang oleh rakyat untuk memperbaiki kesilapannya.

Ini khususnya membuang label ‘kleptokrasi’ yang hinggap bagai gam pada sebahagian besar pengundi tempoh hari.

Cuma, ada mempersoalkan kepada penulis, ketika perbahasan hebat di Dewan Rakyat masih mempersoalkan kepemimpinan terdahulu terpalit dalam salah guna kuasa yang serentak pula kempen PRK ini berjalan - me­ngapa tidak ‘direhatkan’ sahaja individu ini dari berkempen di Su­ngai Kandis? Itu pertanyaan mereka, yang hanya pucuk pimpinan UMNO mampu menjawabnya.

Dan meskipun ada yang mendakwa UMNO mungkin kena game oleh Pas dalam PRK Sungai Kandis dengan kekalahan ini, itu pun masih boleh dipersoalkan kerana tidak pasti sebanyak mana ahli atau penyokong Pas turun mengundi.

Adakah keupayaan Lokman memperoleh 9,585 undi - kurang dari 11,518 undi yang diraih calon BN pada PRU-14 - dibantu peningkatan undinya oleh penyokong Pas? Wallahualam.

Tetapi jika diamati, BN berjaya pula menambah dua lagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) menjadikan empat daripada 19 PDM iaitu PDM Johan Setia, PDM Kampung Pandan, PDM Seri Gambut dan PDM Bukit Naga. Sebelum ini cuma di PDM Sungai Kandis dan Kampung Pandan.

Dengan reformasi UMNO-Pas yang sedang bertatih menjadikan PRK Sungai Kandis peringkat permulaan, sebelum barangkali diterjemahkan lebih terperinci di PRK Balakong, disusuli PRK Seri Setia, ruang untuk merapatkan jurang persefahaman kedua-duanya kini terbuka luas.

PRK Sungai Kandis suntik momentum UMNO. Dan UMNO perlu cepat memperbaiki lompang atau kelemahan yang dikesan dalam PRK Sungai Kandis. Post mortem perlu untuk menampal ‘kebocorannya’.

Seperti mana ungkapan pe­nyair ternama Indonesia, WS Rendra yang dipetik dari Syair Maskumambang:

“Karena politik tidak punya kepala. Tidak punya telinga. Ti­dak punya hati. Politik hanya mengenal kalah dan menang. Ka­wan dan lawan. Peradaban yang dangkal.”