Justeru, tema ‘Sayangi Malaysiaku’ bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat menarik. Tema berasaskan kasih dan sayang kepada tanah air memang tepat bagi mengajak seluruh rakyat mengekalkan kestabilan dan kemakmuran yang sudah dinikmati bersama, khususnya, sejak negara mencapai kemerdekaan lebih enam dekad lalu.

Tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak sayangkan negara. Kenya­taannya, tanah air ini telah ditadbir urus secara tersusun, berstruktur dan bersistematik. Paksinya adalah, berkongsi pandangan dan cadangan; bersikap sederhana; pendekatan yang inklusif dan menyeluruh serta menentukan keadilan untuk semua.

Hasilnya, seluruh warganya, tanpa mengira kaum dan keturunan, berbeza latar belakang agama dan budaya, terbatas sempadan daerah dan negeri dapat sama-sama merasai nikmat pembangunan, kemudahan secara harmoni dan ‘senang hati’.

Istilah ‘sayang’ sering dikaitkan dengan mempertahankan ‘hak dan kedaulatan’ tidak digugat dan ‘dicerobohi’ oleh pihak asing. Menyayangi keluarga misalnya, ahli-ahli keluarganya tentu tidak rela keluarga mereka dicemuh, difitnah atau diganggu dengan hal-hal yang tidak sepatutnya oleh mereka yang ‘tidak berkenaan’ dengan keluarga itu.

Mereka sayangkan keluarga dan keturunan mereka. Juga sayangkan apa jua pusaka yang diwarisi sejak zaman berzaman. Generasi silih berganti, namun yang pasti pengorbanan dan jasa nenek moyang tetap dikenang dan dikagumi.

Demikian juga dengan sesebuah negara. Cuma persoalan timbul, sayangkan kepada negarakah namanya, jika ada dalam kalangan warganya sendiri sedia menjadi ‘tali barut asing’, seperti menggunakan media asing untuk memburuk-burukkan negara atau sedia menerima dana asing bagi tujuan menggugat kestabilan negara sendiri?

Atau sayangkah negara na­manya jika ada warganya sengaja bertindak memfitnah, mereka-reka cerita atau mengelirukan pemikiran rakyat sehingga wujud suasana ‘haru-biru’ dan meresahkan semua?

Kasih sayang yang murni akan menenangkan kehidupan. Setiap detik dan langkah yang dilalui cukup mendamaikan. Sebalik­nya, kasih sayang yang bersalut ‘kepura-puraan’ atau hanya ‘manis kata’ di bibir saja, memberi kesan yang ‘kosong’, tanpa roh atau jiwa dan tidak membawa apa-apa makna.

Seseorang warganegara mi­salnya boleh berkata, ‘aku sa­yangkan Malaysia’, tetapi betulkah begitu? Sedangkan sikap dan gaya pertuturan dan tingkah lakunya langsung tidak secocok dengan prinsip-prinsip Rukun Negara?

Kasih sayang bukan boleh hadir di hati secara sekelip mata atau dalam jangka masa pendek. Rasa sayang akan meresap secara mendalam, seiring dengan perjalanan waktu yang menyaksikan kebaikan dan ketulusan. Tidak akan hadir kasih sayang umpamanya, di hati individu yang mendapati pasangannya suka berbohong dan menipu.

Sesebuah pemerintahan sukar menghimpunkan kasih sayang antara warganya dalam erti kata sebenar, jika saban waktu hanya terpamer kepada mereka suasana berpolitik, kata-mengata, tuduh-menuduh atau kecam-mengecam sehingga menenggelamkan apa sebenar agenda pembangunan serta kemajuan negara yang menjadi impian rakyat.

Semangat sayangkan negara akan tumbuh segar jika rakyatnya ‘cukup makan’. Ertinya, mereka mendapat peluang pekerjaan, bukan ditamatkan perkhidmatan. Mereka merasa ‘sayang’ berada di sebuah negara yang kos sara hidupnya sesuai dengan kemampuan.

Rakyat akan lebih sayangkan negara jika mendapati pemerintahnya dapat memberikan suasana persekitaran kehidupan yang kondusif, termasuk penyediaan prasarana yang lengkap, seperti rangkaian jalan raya, sistem pengangkutan awam yang efisien serta kemudahan sosial yang terjamin termasuk sistem perumahan, pendidikan, kesihatan dan kawalan keselamatan yang meyakinkan.

Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ juga harus diiringi dengan pelan urus tadbir yang jelas, tanpa menimbulkan persoalan “Ke mana hala tuju sebenar kita...?”. Ini meliputi perancangan atau program-program jangka pendek dan jangka panjang yang strategik dan realistik.

Akan timbul semangat ‘Sa­yangi Malaysiaku’ jika rakyat melihat masa depan dengan penuh terjamin. Antaranya dengan wujudnya projek-projek mega yang sudah pasti terselit harapan rakyat untuk melihat wujudnya peluang-peluang pekerjaan baharu, juga akan menjana kegiatan ekonomi termasuk kemajuan industri kecil dan sederhana (IKS).

Semangat sayangkan negara juga akan terus subur jika kehidupan tidak ‘terganggu’ de­ngan unsur-unsur provokasi kaum dan agama. Tegasnya, aspek perpaduan kaum tetap menjadi teras kestabilan negara. Tidak kurang pentingnya ialah memelihara ciri-ciri peradaban, kesenian dan kebudayaan, bahasa serta nilai-nilai ketamadunan bangsa.

‘Sayangi Malaysiaku’...sesuai sepanjang waktu!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.