Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pasti lebih banyak label dengan pelbagai gelaran akan dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin tertentu.


Ini tidak terkecuali Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sendiri yang dilabel gagal mengikis stail beliau sebagai seorang ‘penjawat awam’ sebelum ini.


Sehubungan itu, beliau dikatakan tidak mesra rakyat kerana tampak seperti pegawai kerajaan (bukannya ahli politik) dan kurang popular di akar umbi.


Namun harus diingat, sebagai seorang Menteri Besar, beliau sememangnya adalah seorang penjawat awam. Ini hakikatnya.


Ini bermakna bahawa beliau tidak perlu berpolitik selama 24 jam, pagi dan malam, kerana pada masa sama juga perlu turut mentadbir sebuah kerajaan negeri.


Menguruskan perbelanjaan kerajaan negeri secara berhemah mengikut peraturan ditetapkan sebagai seorang penjawat awam, adalah antara tugas beliau.


Kurang dikenali? Adakah adil untuk mereka menilai seseorang pemimpin hanya bagi tempoh sepenggal? Sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri memerlukan tempoh lebih 60 tahun untuk mengecapi kemajuan seperti dinikmati pada masa ini.


Maka sebab itu, Azlan ketika diajukan dakwaan tersebut, menyifatkan ia hanya satu persepsi yang diwujudkan pihak-pihak tidak menyukainya dan pembangkang. - UTUSAN ONLINE