Paling ketara melibatkan jumlah pengundi dulu dan sekarang. Pengundi Melayu naik mendadak mencecah 60,000 setakat suku pertama tahun ini.

Namun bilangan pengundi Cina tidak banyak berubah. Difahamkan, untuk kategori pengundi baharu sahaja sudah melepasi sedikit angka 10,000.

Tidak banyak sebenarnya kisah Permatang Pauh yang dikongsi pemerhati politik dengan Utusan Malaysia. Bagaimanapun, gelanggangnya kini menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) begitu berbeza berbanding akhir 90-an dan awal tahun 2000.

Cuma dalam beberapa hari kebelakangan ini, khabar kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke program ‘Makan Bersila Bersama PM” di Padang Politeknik Seberang Perai yang dijadualkan pukul 10 pagi esok menjadi topik perbualan di kedai-kedai kopi sekitar Permatang Pauh.

Peliknya, secara tiba-tiba pula geng-geng Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga sibuk memasang bendera di beberapa lokasi sekitar Permatang Pauh. Bahang mulai terasa.

Program makan bersila antara strategi Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said untuk melakar sejarah dalam Malaysia Books of Records. Majlis makan bersila itu akan disertai 20,000 penduduk tempatan.

“Ini kali pertama berlaku dalam sejarah, Perdana Menteri akan menghadiri majlis besar bersama rakyat tanpa kerusi, sofa, meja dan pentas utama. Pemimpin berorientasikan rakyat mesti berdiri sama tinggi, duduk sama rendah,” kata Mohd. Zaidi.

Lawatan Perdana Menteri ke Permatang Pauh menguatkan lagi tekad UMNO untuk mengembalikan kerusi Parlimen itu ke pangkuan parti itu.

Penduduknya memilih untuk bersila bersama Perdana Menteri sebagai tanda mereka menghormati pemimpin nombor satu itu.

Bersila adalah tanda atau isyarat yang sepatutnya diberikan terhadap penyandang kerusi Parlimennya. Malangnya kelibat si dia jarang kelihatan di situ. Mungkinkah sibuk di Kajang? Tetapi khabarnya bayang pun tidak kelihatan.

Penduduk Permatang Pauh telah terbiar sepi tanpa pembelaan sekian lama.

Program Makan Bersila Bersama PM mengetepikan perbezaan politik. Semua pemimpin masyarakat, tokoh agama, para ilmuwan dan rakyat akan bersila bersama-sama. Simbol penyatuan baharu rakyat Permatang Pauh akan diterjemahkan dalam himpunan ini.

Permatang Pauh hampir dengan kawasan industri. Daripada 80,000 pengundi, lebih 20 peratus adalah pengundi muda dalam lingkung­an 40-an ke bawah.

Di Permatang Pauh, pernah ditampilkan seorang calon bekas imam besar sebanyak dua kali berdepan pembangkang, tetapi tewas.

Seorang Yang Berhormat yang fasih berbahasa Mandarin turut diketengahkan. Kalah juga. Juga, ada seorang yang pernah menge­tuai bahagian strategik Pas Pulau Pinang menghadapi sekali lagi calon pembangkang. Dia yang juga seorang profesional kecundang.

Kriteria calon yang bagai­manakah yang rakyat Permatang Pauh mahukan?

Pengundi Permatang Pauh difahamkan tidak mahu lagi calon ‘payung terjun’. Mereka menilai siapa yang selama ini berada di situ, mampu kuat bekerja untuk rakyat.

Dari 1999 hingga 2013, kawasan Parlimen Permatang Pa­uh menyaksikan lapan pilihan raya.

Empat kali PRU dan lapan kali pilihan raya kecil (PRK). Daripada lapan, hanya PRK DUN Penanti tidak ditampilkan calon BN.

Menariknya dalam tujuh pilihan raya itu, peratusan keluar mengundi tidak pernah kurang dari 80 peratus. Yang tertinggi pada PRU 2013 sekitar 88 peratus. Yang terendah keluar mengundi pula pada PRK 2015 sebanyak 74 peratus.

Cuma, mampukah UMNO memecah tembok besar PKR di Permatang Pauh?

Bagi Mohd. Zaidi, penduduk setempat lebih menilai kepada kekuatan domestik mana-mana parti yang menunjukkan komitmen kepada mereka.

“Dahulu walaupun di peringkat nasional, kita (BN) ada gambaran yang baik tetapi kerana faktor dalaman kita (UMNO) di sini tidak kuat, ia tidak banyak membantu dalam PRU dan PRK. Tetapi sekarang ini saya serahkan kepada sesiapa untuk menilainya,” kata beliau.