‘Kaw’ itu selalunya merujuk kepada penambahan nilai ‘sedap’ yang secara automatiknya juga penambahan nilai ‘manis’ melalui jumlah gula dan susu pekat manis dalam hirupan air kopi itu. Kalau sekali dua mengambil ‘kemanisan’ sebanyak itu mungkin tak memberi apa-apa kesan. Tetapi kalau sudah menjadi tabiat, ia berbahaya kepada kesihatan tubuh badan seperti diabetes atau kencing manis.

Dalam era yang serba moden ini, kita lebih terdedah dengan pemakanan yang mengandungi gula tambahan seperti makanan dalam tin, makanan ringan, kek, biskut, coklat, gula-gula, aiskrim dan pelbagai lagi. Pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan komplikasi dan masalah kesihatan seperti kencing manis, obesiti dan gigi rosak. Kesibukan bekerja kadang-kala menyebabkan kita mengambil endah tak endah kesihatan diri terutama­nya dalam mengambil makanan yang cen­derung mengakibatkan penyakit-penyakit termasuk diabetes.

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama merujuk kepada penghasilan insulin yang tidak mencukupi oleh kelenjar pankreas pesakit. Ini biasanya terjadi secara tiba-tiba terutamanya golongan muda sejarah penyakit diabetes dalam keluarga. Diabetes jenis kedua pula merujuk kepada insulin yang tidak sensitif yang sedia ada dalam badan pesakit. Ini biasanya menjelma secara perlahan pada mereka yang berumur dan yang mempunyai sejarah kencing manis dalam keluarga. Menurut pakar perubatan, kedua-dua jenis diabetes ini boleh dan perlu dikawal sebaiknya demi kesihatan badan yang optimum.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHSM) beberapa tahun lalu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes. Hasil kajian ini juga mendedahkan hampir 50 peratus daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka mempu­nyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Statistik itu meletakkan Malaysia di tangga ke-10 dunia dengan jumlah penghidap diabetes seramai 3 juta orang, jauh lebih tinggi daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2025 iaitu hanya kira-kira 800,000 orang. Statistik lain mendedahkan purata penggunaan gula bagi isi rumah mahupun di peringkat industri adalah tinggi berbanding negara-negara lain.

Dianggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini menghidap diabetes. Hasil statistik KKM ini seterusnya mengundang kegusaran apabila didapati separuh daripada jumlah itu atau kira-kira 1.8 juta belum didiagnos dan tidak pernah menjalani saringan kesihatan, lalu tidak menyedari kehadiran penyakit diabetes yang mereka hidapi. Fakta-fakta ini sangat membimbangkan. Sampai bila statistik seperti ini akan terus menghantui kita? Adakah kita bangga menjadi warganegara yang paling tidak sihat berbanding penduduk di negara lain?

Terdapat banyak cara untuk mencegah dan mengawal penyakit diabetes ini. Cari sahaja di internet, beribu-ribu tips dan nasihat boleh ditemukan. Se­perti mana kata pujangga yang selalu menyebut, ‘kurangkan manis dalam makanan, lebihkan manis dalam senyuman’. Kalau hendak sihat dan umur panjang sememangnya banyak perkara yang perlu diikuti pantang larang dan anjuran disiplinnya.

Antaranya seperti yang dianjurkan Islam iaitu dengan mengamalkan ibadah berpuasa, makan sebelum lapar dan berhenti makan sebelum kenyang, dan sebagainya. Allah SWT memberikan peringatannya mengenai peri penting menjaga dan mengawal kesihatan melalui pemakanan, kerana tabiat makan secara berlebihan boleh memudaratkan badan, seperti mana dalam firman-Nya yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan” (Surah al-Araf, ayat 31).

Pakar-pakar pemakanan me­ngesyorkan sistem check and balance yang mana pengambilan gula tetap dibenarkan dalam pemakanan. Akan tetapi jumlah pengambilannya dikawal pada kadar yang diperlukan oleh tubuh badan sahaja. Makanan ringan yang tidak berkhasiat bahkan kaya dengan lemak tidak tepu, kandungan gula yang berlebihan, perasa tiruan dan emulsifier yang memudaratkan kesihatan perlulah diganti dengan makanan yang berkhasiat dan kaya dengan zat-zat yang diperlukan tubuh badan.

Bersenam juga satu kaedah berkesan dalam mengawal Diabetes. Jangan jadikan alasan komitmen kerja menghalang kita untuk bersenam dan mengeluarkan peluh. Kalau tidak mampu untuk bersukan atau berjoging, sekurang-kurangnya amalkanlah untuk berjalan pada sela-sela tertentu semasa bekerja. Ataupun boleh sahaja untuk mengamalkan senaman-senaman ringkas yang cukup mudah dilakukan walau pun berada di hadapan komputer semasa bekerja.

Kita juga diingatkan betapa bernilainya harga kesihatan. Tiada gunanya harta dan kekayaan yang melimpah ruah sedangkan ia tidak dapat dinikmati kerana keadaan diri yang tidak sihat akibat pelbagai penyakit berhimpun termasuklah diabetes. Selepas ini, dengan kesedaran dan ke­tanggungjawaban untuk menjaga kesihatan, mungkin boleh kita mulakan dengan memesan minuman seperti ini, “Mamak, bagi saya kopi O ‘kosong’ (tanpa gula) satu!”.

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia