Kini tidak lagi. Penagihan dadah semakin ‘berkembang’ pesat sehingga menembusi pagar rumah golongan profesional. Anak remaja daripada keluarga pertengahan seperti jurutera, guru, pengarah dan ahli perniagaan kini semakin banyak terjebak.

Maklumat yang diperoleh daripada Seminar Kebangsaan Pencegahan Dadah Ke-12 2018 yang diadakan di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini amat mengejutkan.

Apa yang mendorong anak-anak yang ‘cukup’ makan dan pakai ini terjebak? Adakah kurang kasih sayang atau terpengaruh rakan yang telah rosak akhlak?

Wartawan S2 cuba menyelami apa yang terbuku di hati mereka menerusi temubual eksklusif yang diatur oleh pihak penganjur seminar.

Iqbal (bukan nama sebenar) mula terjebak ketika masih belajar di tingkatan dua.

Menatap wajah remaja yang kini berusia 19 tahun itu, jelas kelihatan riak penyesalan atas kekhilafan yang telah dilakukan.

Terjebak sejak berusia 14 tahun, bermakna sudah lima tahun Iqbal bergelumang dengan najis dadah.

Anak kepada jurutera ini memberitahu, dia terjebak selepas mengambilnya untuk tujuan sukan.

“Saya aktif main bola sepak. Saya ambil ‘benda’ ni sebab terpengaruh dengan kawan yang menjualnya di sekolah.

“‘Benda’ ni boleh buat saya lebih bertenaga untuk bersukan. Dari situ, saya cuba dadah jenis lain pula dan akhirnya terus jadi ketagih,” katanya.

Menyedari kesilapan yang dilakukan, Iqbal berusaha membetulkan perjalanan hidupnya.

“Kalau diberikan usia yang panjang, perjalanan hidup saya masih jauh ke hadapan. Bapa sangat kecewa. Jadi, saya mahu menebus rasa kecewa itu dengan membuktikan saya boleh berubah,” ujar Iqbal.

Iqbal merupakan antara pesakit yang sedang mendapatkan rawatan pemulihan di Pertubuhan Pondok Inabah Negeri Sembilan yang terletak di Kampung Masjid Lama, Labu yang dibuka khusus untuk merawat, memulih dan membina psiko spiritual Islam pesakit dadah dan masalah sosial.

Ini merupakan kali kedua Iqbal berada di pondok itu untuk pemulihan akibat ketagihan dadah.

Kali pertama, Iqbal dihantar ibu bapanya pada 2016 dan bertahan selama empat bulan sebelum Iqbal membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM).

Semasa menjalani latihan industri, Iqbal tidak dapat menahan rasa ketagihan, dan sekali lagi terjerumus ke kancah dadah.

“Saya ambil syabu. Dengan syabu, saya lebih fokus dan buat kerja dengan cekap. Pendek cerita, saya bijak selesaikan kerja saya.

“Bila putus bekalan, saya jadi lemah. Tidak boleh tumpu perhatian dan tak tahu apa hendak buat.

“Nak tak nak, saya kena ambil ‘ubat’. Selepas kesan ‘ubat’ hilang, saya sambung pula dengan ganja untuk hilangkan kepenatan bekerja dan belajar,” katanya.

Tambahnya, ketika itu, dia menghabiskan kira-kira RM100 setiap hari untuk membeli dadah.

Apabila ibu bapanya menyedari dia kembali mengambil dadah, mereka putuskan tiada tempat lain yang sesuai, selain di Pondok Inabah.

Iqbal yang akan menyambung semula pengajiannya di IKM selepas tamat rawatan beberapa bulan lagi berazam mahu menceburi bidang perniagaan.

Sementara itu, Pengurus Pondok Inabah Negeri Sembilan, Muhamad Fadil Mustafa, berkata, kira-kira 40 pesakit kini sedang menjalani rawatan kerohanian selama sembilan bulan 10 hari.

Katanya, pesakit yang baharu tiba akan menjalani proses detoksifikasi untuk menyahkan kesan dadah dari tubuh dan kemudian akan melalui kaedah rawatan Islam seperti qiyamulail, zikir, solat wajib dan sunat, mandi taubat, menghadiri majlis ilmu dan menjalani khidmat bakti untuk masyarakat sekitar.

“Mencari ketenangan dari dalam diri merupakan faktor utama bagaimana pesakit ini boleh melupakan ketagihan dadah. Di sini, mereka dididik untuk mengisi semula hati dan jiwa serta rohani yang sebelum ini kosong,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2013, Pondok Inabah Negeri Sembilan menjadi rujukan pelbagai institusi pengajian tinggi untuk melakukan kajian mengenai pesakit dadah.

Pondok ini juga tersenarai sebagai pusat rujukan dan lawatan bagi Program Memperkasakan Belia Bebas Dadah 2018 (EYDFC) yang dianjurkan oleh beberapa agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) baru-baru ini.