Se­andai­nya lima kerusi itu ti­dak jatuh ke ta­ngan pembangkang, sudah pasti kerajaan ne­geri Kedah waktu itu masih boleh kekal dan bertahan memerintah. Ini berikutan Barisan Nasional (BN) pada PRU itu telah meraih 14 kerusi. Jika ditambah lima kerusi itu, pasti BN berjaya mempertahankan kerajaan negeri dengan majoriti mudah 19 berbalas 17.

Tetapi itu tidak berlaku. Menang satu kerusi pun dicap menang. Itu realiti. Tetapi kekalahan BN di lima kerusi DUN itu dikaitkan dengan undi sabotaj atau protes dalam kalangan ahli UMNO itu sendiri. Ini berdasarkan hujah jumlah undi rosak bagi kelima-lima DUN lebih besar daripada jumlah majoriti (1,463) iaitu 1,912 undi. Dipercayai seramai 4,000 ahli UMNO di situ tidak keluar mengundi.

Dalam sejarah 13 kali PRU, itu kali pertama BN tumbang di Kedah. Adakah kali ini berdepan PRU-14, orang UMNO ambil pe­ngajaran daripada pengundi Kedah yang bila-bila masa boleh ‘kalih’ (tukar kerajaan negeri).

Kedudukan semasa kerusi-kerusi DUN Kedah pada Januari 2018 meliputi BN, 20 kerusi, Pas (tujuh), PKR (empat), DAP (dua) manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memiliki dua kerusi dan PAN (1).

Persoalannya, apakah dengan kedudukan sedia ada 20 kerusi ini, BN Kedah mampu untuk ber­tahan mengetepikan ‘tsuna­mi politik’ pada PRU-2008? Da­­lam keadaan BN sebelum itu me­­nguasai 31 kerusi (pasca PRU-2004) pun, BN masih boleh ter­lepas penguasaan terhadap Kedah (pada PRU-2008), inikan pula dengan 20 kerusi sedia ada?

Sehingga September 2017 sahaja sebanyak 1,138,637 pengundi berdaftar di Kedah. Daripada jumlah itu, pengundi Melayu adalah 884,525 orang. Pengundi muda berusia antara 21-40 tahun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 500,120 orang. Manakala keahlian UMNO di Kedah berjumlah 329, 443 ahli melibatkan jumlah ke­seluruhan cawangan 2222. Untuk kekal menang di Kedah,pastinya perlu strategi micro - targetting mendapat sokongan kelompok pe­ngundi atas pagar, pengundi sen­yap atau persuadable voters.

Kedah adalah negeri ‘Malay Heartland’ dengan sebahagian besar kerusi DUN kawasan majoriti Melayu. Budaya politik Kedah pula sinonim dengan 3P iaitu (Padi, Pondok dan Pas). Dalam erti kata lain, di mana ada padi, di situ ada pondok. Di mana ada pondok, di situlah pula adanya Pas.

Dari segi kesetiaan kepada parti, dikatakan penyokong BN dan Pas dalam kalangan orang Melayu seimbang atau sama kuat. Justeru, undi penentu ditentukan oleh Melayu atas pagar dan undi bukan Melayu yang menjadi pengundi minoriti di kebanyakan DUN. Dari pengamatan analisis perbandingan dalam tiga PRU pada 2013, 2008 dan 2004, dapat dirumuskan;

Pertama, terdapat sembilan kerusi ‘selamat’ bagi UMNO-BN. Kerusi-kerusi itu dikatakan se­­­lamat atas alasan semuanya ti­dak pernah dimenangi pembangkang dan BN menguasainya dengan majoriti tertinggi dalam PRU 2013. Kerusi tersebut antaranya Bukit Kayu Hitam, Sg. Tiang, Kuah, Ayer Hangat, Bayu, Jitra, Pedu, Guar Chempedak dan Kota Seputeh (majoriti melebihi 2,000 undi).

Pada masa sama,terdapat tiga kerusi yang tetap dimenangi BN dalam ketiga-tiga PRU itu. Namun, majoriti kemenangan kurang daripada 2,000 undi pada PRU-2013. Kerusi tersebut adalah Kuala Nerang, Gurun dan Bakar Bata.

Kedua, terdapat lapan kerusi dikategorikan sebagai swing seat iaitu pernah jatuh ke tangan pembangkang pada PRU 2008. Namun BN memenanginya semula pada PRU-2013. Majoriti kesemua kerusi-kerusi ini sekitar 600 ke 3,000 undi.

Ketiga,kerusi yang jatuh terus ke tangan pembangkang pada PRU 2008 dan gagal dirampas semula BN hampir lima tahun lalu dilabelkan sebagai ‘transfer seat’. Jumlah kerusi sebegini adalah sebanyak 11 kawasan dengan majoriti pada PRU 2013 antara 500 hingga 3,000 undi. Hanya satu transfer seat daripada pembangkang kepada BN iaitu DUN Belantek di mana pada PRU-11 dimenangi Pas. Namun, pada PRU-12 dan PRU-13 dimenangi BN atas faktor calon.

Demikian jugalah dengan DUN Tokai, Anak Bukit, Sg. Limau dan Bukit Pinang dilabelkan sebagai ‘kerusi tradisi’ Pas kerana parti itu memenangi keempat-empat kerusi sejak PRU 2004 serta gagal kembali ke pangkuan BN.

Justeru berhadapan ibu segala pilihan raya kelak, pertamanya jentera UMNO/BN di Kedah ja­ngan sesekali mengharapkan ke­lemahan pembangkang. Sebalik­nya mesti pulun buat persiapan rapi jentera di setiap 672 pusat daerah mengundi (PDM).

Kedua, calon-calon UMNO/BN yang masuk senarai pucuk pimpinan nanti mestilah memiliki ciri-ciri bak kata orang Kedah - kelolo, hemoi, tak perongoih sebaliknya senang didampingi.

Masih ingat tak lagi dengan penangan Datuk Othman Abdul dari BN mengalahkan giant ki­ller Pas ketika itu, Mohamad Sabu di kerusi Parlimen Pendang pada 2013. Antara faktor kuat Othman menang kerana dia tidak kekok untuk turun sampai ke kedohok apabila menghadiri majlis-majlis kenduri termasuk kenduri dari penyokong Pas selain sikap bersahajanya yang disenangi ramai.

Ketiga paling penting, pimpinan UMNO/BN Pusat juga jangan layanlah kehendak pemimpin dan calon ‘kitar semula’ yang tewas pada PRU lalu untuk ‘tum­pang tui’. Jangan sampai pengundi tengok pun ‘cemuih’ atau jemu. Pada kali ini, berani tampil calon wataknya adalah ‘Calon Rakyat’. Pendek kata, boleh ‘belemoih’ dan ‘begelomiang’ dengan rakyat.

Perlu ada the feel good factor untuk menarik pengundi keluar memilih UMNO/BN. Apakah wujud good factor lain yang boleh ditonjolkan?

Kelmarin, dalam perjalanan teksi dinaiki penulis dari Pekan Rabu ke Lapangan Terbang Kepala Batas di Alor Setar untuk ke Kuala Lumpur, ketika asyik berbual dengan pemandunya yang juga penyokong tegar UMNO, ada sesuatu yang ingin dikongsinya: “Kami masih sayang UMNO. Kalau depa nak menang, depa kena buat kelaku (perangai) elok, sebab sejarah dah tunjuk dah, pengundi Kedah boleh ‘kalih’.”

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).