Biarpun sudah dimamah zaman, peminat basikal klasik atau ‘basikal tua’ mempunyai sebab tersendiri untuk jatuh hati dengan kenderaan yang satu ketika dahulu hanya digunakan golongan bangsawan.

Basikal jenama seperti Raleigh, Sunbeam, Robin Hood, Hercules dan New Hudson dikatakan mempunyai sejarah panjang dan dipercayai mula dibawa masuk dari England ke negara ini sejak tahun 1940-an lagi.

Peranan basikal itu kemudian berubah mengikut zaman, bermula sebagai kenderaan golongan atasan dan kemudian menjadi pengangkutan penting kepada pegawai kerajaan dan anggota polis di negara ini. Pada ketika itu, basikal tidak mampu dimiliki oleh semua orang kerana harganya yang mahal hingga mencecah ratusan ringgit.

Hari ini basikal seumpama itu yang sudah berusia puluhan tahun menjadi buruan peminatnya. Salah seorang daripadanya ialah Nor Afida Mustafa, 38, yang mempunyai 21 buah basikal tua di dalam koleksi simpanannya. Salah sebuah basikal yang paling disayanginya ialah jenis Raleigh buatan tahun 1953.

Yang menariknya, basikal itu mempunyai resit pembelian atau juga dikenali sebagai ‘surat beranak’ menunjukkan tarikh, spesifikasi dan lokasi kedai tempat dibeli serta harganya ketika itu sebanyak RM210.

Menurut Nor Afida, ‘paras rupa’ basikal bukan ukuran kerana yang penting di sebalik setiap basikal ada sejarah dan keunikannya tersendiri.

“Sebahagian besar pemilik basikal klasik seperti saya lebih gemar mengekalkan warna dan peralatan asal tanpa melakukan pengubahsuaian besar. Biarpun terdapat sedikit karat di bahagian penutup rantai basikal tetapi bagi saya, karat itu umpama ‘emas’ kerana melambangkan nostalgia dan cerita di sebalik sesebuah basikal.

“Bagaimanapun, ada pemilik mengecat dan menukar sedikit barang tetapi masih kekal keaslian basikal,” katanya ketika ditemui semasa Kayuhan D’Joseh-Lonek anjuran Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan (KBTN9) di Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Nor Afida berkata, bagi menambah koleksi, dia sentiasa berusaha mencari dan membeli basikal lama yang sudah tidak digunakan pemilik atau melalui pembelian di laman web lelong, e-Bay.

Katanya, dengan nilai pasaran ketika ini ada antara basikal miliknya boleh dijual dengan harga mencecah RM4,000 atau RM5,000.

Seorang lagi pemilik basikal tua, Jamaliah Ahmad, 59, berkata, dia dan suami, Anuar Abu, 57, berkongsi minat mengumpul dan menunggang basikal tua biarpun sudah mempunyai enam orang cucu.

Ujarnya, mereka memiliki 13 buah basikal dan salah satu daripadanya berusia lebih 50 tahun.

“Basikal ini adalah peninggalan arwah bapa mentua saya. Banyak nilai sentimental kepada suami dan kami tetap menjaganya dengan baik.

“Kami tak akan menjualnya walaupun pernah ditawarkan sebanyak RM5,000. Mungkin selepas ini, kami boleh mewariskan basikal yang ada kepada anak-anak,” katanya yang memiliki enam orang cahaya mata.

Jamaliah yang berasal dari Rantau, Rembau berkata, berbasikal sudah menjadi aktivitinya dan suami pada waktu petang, selain dapat meningkatkan kecergasan mereka.

“Selagi ada kudrat, kami tidak akan tinggalkan aktiviti berbasikal. Lagipun saya sudah berbasikal sejak di bangku sekolah,” katanya.

Minatnya menyertai aktiviti berbasikal turut membawanya mengikuti kayuhan di Ipoh, Pulau Pinang dan juga Kuala Lumpur.