TEO KOK SEONG

Perkara itu sudah diramal pelbagai pihak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Dengan menyaksikan parti DAP mendominasi pakatan memenangi banyak kerusi Parlimen, muncullah puak tertentu yang cuba membuat tuntutan tidak munasabah.

Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) misalnya mencadangkan supaya Kabinet baharu yang dibentuk mewujudkan satu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk diisi wakil Cina. Pertubuhan itu melalui Presidennya, Tan Sri Pheng Yin Huah turut menuntut supaya wakil keturunan Cina dilantik untuk jawatan menteri atau timbalan menteri di beberapa kementerian yang dianggap penting. Kementerian berkenaan ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kewangan, Pendidikan dan Dalam Negeri.

P. SIVAMURUGAN
P. SIVAMURUGAN

Secara faktanya, pemilihan para menteri termasuk TPM menjadi hak eksklusif Perdana Menteri. Jawatan TPM sama seperti Ketua Setiausaha Negara dalam perkhidmatan awam yang merupakan jawatan ‘ciptaan’ pentadbiran kerana tiada diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, pengalaman dan amalan di Malaysia selama 61 tahun sejak merdeka, TPM dikurniakan dengan fungsi dan peranan tertentu sebagai timbalan kepada Perdana Menteri. Sebab itu jawatan nombor dua tertinggi dalam kerajaan ini amat mustahak. Jika ada pihak berhasrat untuk mencalonkan bukan Melayu mengisi jawatan itu, ia tidak boleh dipandang enteng.

Namun, timbul persoalan, jika ia tidak termaktub dalam Perlembagaan berhubung pelantikan TPM, jadi apa isunya? Mengapa tidak boleh dipecahkan sahaja tradisi orang Melayu menguasai jawatan itu termasuk barisan Kabinet? Lagipun, ahli-ahli Parlimen dalam kalangan Pakatan Harapan yang menguasai kerajaan pada hari ini - majoritinya bukan Melayu.

Menjawab persoalan yang sengaja dibangkitkan itu, Hua Zong perlu sedar tentang dua realiti penting. Realiti pertama adalah mereka sedang berada dalam sebuah negara yang posisi kependudukannya adalah 70 peratus dalam kalangan Melayu bumiputera.

Realiti kedua pula ialah atas dasar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas telah memperuntukkan hak istimewa dan kedudukan orang Melayu di negara ini perlu dipertahankan.

Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong sendiri membidas tuntutan Hua Zong itu yang disifatkan amat tidak bertanggungjawab. Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) itu turut menempelak pertubuhan berkenaan kerana mana-mana pihak tidak wajar memberi tekanan sedemikian kerana ia tidak selari dengan nafas Perlembagaan. Bukan sebab semata-mata jawatan TPM itu, tetapi roh Perlembagaan keseluruhannya perlu didukung tanpa prejudis.

Katanya, mereka tidak perlu gusar tentang hal ehwal kebajikan golongan bukan Melayu kerana hak-hak mereka akan tetap dipelihara oleh kerajaan. Selama ini pun hak dan kebajikan mereka selalu dilindungi dengan baik oleh kerajaan terdahulu yang juga turut disebut dalam Perlembagaan. Oleh itu, bukan masanya mana-mana pihak untuk menuntut hal sebegitu dan memberi tekanan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berpandangan sama. Menurut beliau, pelantikan jawatan dalam Kabinet adalah hak Perdana Menteri dan sebarang keputusan untuk melantik sesiapa sekalipun, perbincangan de­ngan Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan tentunya akan dibuat terlebih dahulu.

Beliau meletakkan keyakinan kepada Dr. Mahathir yang pastinya akan mengambil kira semua aspek agar seiring de­ngan ekosistem politik tanah air mutakhir. Pengalaman 22 tahun mentadbir negara pasti digunakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

Bagaimanapun, tuntutan sebegini tentunya menjadi kebimbangan orang Melayu. Namun terpulang kepada kebijaksa­naan Dr. Mahathir untuk membuat pertimbangan sewajarnya. Hati orang Melayu perlu dijaga, pada masa sama sudah tentu­nya tidak mahu menggores rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Kita berharap Hua Zong atau mana-mana pihak selepas ini dapat menerima hakikat. Jangan sekali-kali cuba menyentuh hal-hal sensitiviti sebegini. Dalam menghadapi senario politik tanah air yang secara total berubah, banyak lagi perlu dititikberatkan kerajaan pada hari ini.

Rakyat telah memberi mandat. Janji-janji Pakatan Harapan dalam manifesto perlu dikejar untuk dilaksanakan terlebih dahulu berbanding melayan tuntutan-tuntutan tidak masuk akal.

Jangan serabutkan kepe­mim­pinan kerajaan sekarang kerana mereka tidak ada banyak masa lagi untuk memenuhi janji-janji kepada rakyat menjelang 100 hari berkuasa.