Guru berusia 50 tahun yang memiliki sebuah galeri barangan antik itu percaya, tidak mustahil jambatan emas antara tujuh syarat Puteri Gunung Ledang itu sebenarnya sudah siap merentasi di satu lokasi di kawasan Gunung Ledang namun ianya hanya berada di alam ghaib.

“Terpulang kepada persepsi orang tetapi saya tegaskan jika saya beritahu semua orang bahawa jambatan itu sebenarnya ada tentu sahaja orang akan katakan saya ini gila. Tidak semua orang boleh terima,” katanya.

Katanya, kewujudan jambatan itu malah syarat-syarat lain tidak mustahil memandangkan beliau sendiri percaya bahawa Puteri Gunung Ledang merupakan orang bunian yang tergolong di dalam mahkluk jin ciptaan Allah.

Menurut Sulalatus Salatin karya Tun Sri Lanang, enam daripada tujuh syarat yang dikemukakan oleh Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka dapat ditunaikan kecuali yang terakhir iaitu semangkuk darah anakanda baginda yang tidak mampu ditunaikan oleh sultan itu.

Kata Zainurin, ada seorang sahabatnya yang berkebolehan melihat makhluk halus dan alam ghaib pernah memberitahunya bahawa jambatan itu sudah siap dan dia pernah ternampaknya merentasi di satu lokasi di sekitar kawasan Gunung Ledang.

“Terpulang kepada sesiapa juga mahu percaya atau tidak. Itu penerimaan masing-masing. Mungkin perkara ini akan dianggap mengarut kerana tidak semua manusia boleh melihat alam ghaib jadi tiada bukti untuk mengatakan ia benar-benar wujud sama ada di alam ghaib atau alam nyata,” katanya.