Kalau tiada sikap begini, pihak tertentu boleh buat sesuka hati, sewenang-wenangnya.

Macam penganjuran Festival “Better Beer” 2017 yang dijadualkan 6-7 Oktober depan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara dikatakan menampilkan 240 jenama arak dari kilang-kilang arak terkenal di seluruh dunia, takkanlah kita umat Islam sekadar ‘tengok sahaja’.

Tak tercuitkah di hati kita untuk menggagalkannya.

Beberapa ahli Parlimen DAP dan PKR yang mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kaji semula pembatalan festival itu tahu apa. Boleh pula mendakwa DBKL cuba melencong dengan bertindak seperti jaguh agama.

Alasan mereka, dahulu kenapa boleh. Ya, sebelum ini barangkali pihak berkuasa tempatan kurang prihatin dan ambil mudah, sekarang sudah sensitif, jadi baguslah.

Istilah ‘jaga tepi kain orang lain’ ini biasanya akan cuba di­elakkan atas alasan tidak mahu ganggu ruang peribadi orang lain. Namun sebenarnya ada juga kebaikannya ikut situasi tertentu. Kalau ada seorang budak sedang dibuli rakan-rakannya, jika buat tak ambil peduli beralasan “bukan anak/adik aku yang kena buli, biarlah, malas aku nak masuk campur”, tentu harulah. Tetapi jika kita lebih sensitif, sudah pasti buli itu akan dileraikan.

Kekejaman junta tentera Myanmar terhadap orang Rohingya yang jika umat Islam dan kerajaan Malaysia pandang sebelah mata sahaja pembersihan etnik ini, sudah pasti dunia tidak akan ‘meloncat’.

Nak berharap pada Pengerusi ASEAN, Filipina atau negara-negara jiran Myanmar - Laos, Kemboja, Vietnam dan Thailand, mereka bukanlah rakan-rakan seagama. Walau tidak seagama pun, tidak terbitkah langsung rasa simpati dan tekad menghentikan genosid ini?

Sebenarnya bukan isu-isu besar - serantau dan global - sahaja perlu dilibatkan ‘jaga tepi kain’ ini, selain ‘festival bir’ tadi, situasi kawasan kejiranan perlu diberi keutamaan.

Macam insiden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung yang dibakar sehingga mengorbankan 21 pelajar dan dua ustaz mereka, Tumpang lalu percaya andai ada semangat dan ikatan kejiranan yang utuh, pembunuhan kejam seumpama itu boleh dielakkan.

Ini kerana geng budak jahat yang mencetuskan onar itu dikatakan dikenali penduduk setempat. Mengapa tidak mulai sekarang, dikenal pasti geng-geng budak jahat yang dipercayai berkeliaran di taman-taman perumahan di bandar atau kawasan penempatan di kampung-kampung dan tanah rancangan?

Tidak bolehkah ahli kariah surau dan masjid buat ‘me­nyibuk’ beri tazkirah kepada remaja-remaja belasan tahun berperlakuan seperti kutu rayau atau budak tak habis sekolah?

Sudah masanya pemikiran perlu ditukar dengan menjalankan lebih kerja-kerja kemasyarakatan ini berbanding mendengar ce­ramah yang panjang berjela, yang kemudian selepas selesai, pulang ke rumah masing-masing.

Insiden lapan remaja lelaki berbasikal ‘pacak’ maut apabila dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah di Johor awal pagi Sabtu Februari lalu harus dijadikan iktibar.

Bukankah kelibat mereka ini dalam pengetahuan masyarakat sekeliling? Tetapi mengapa tiada seorang pun ahli masyarakat tampil atau muncul menasihati atau membuat laporan kegiatan mereka.

‘Jaga tepi kain’ orang lain ini tidak semestinya negatif. Ada banyak skop di mana ia akan menjadi sesuatu yang sangat berguna kepada ma­syarakat. Cuma, janganlah disalahgunakan istilah ini untuk ambil tahu, bergosip sampai ke hal dalam kelambu.

Semoga masyarakat akan lebih prihatin dengan keadaan sekeliling.

Buat ibu bapa, janganlah cepat melenting apabila sesiapa memarahi anak anda. Siasat terlebih dahulu.

Anak baik di rumah tidak semestinya akan baik di luar juga. Jangan ter­lalu mempercayai anak anda sehingga me­­­nidakkan pendapat orang lain.

Ketika Tumpang lalu berpesan-pesan dengan mengetuk huruf-huruf pada papan kekunci MacBook Air di penghujung malam kelmarin, dipercayai di luar sana ada gadis sunti yang mengharapkan sensitiviti masyarakat untuk menyelamatkan mereka dari dimakan ‘haruan’.

Jangan dihalang dek sentimen ‘elakkan jaga tepi kain orang’ sehingga menghalalkan sumbang mahram dan penzinaan.

Sekali lagi diingatkan, andai pesta minum arak awal bulan depan nanti tidak dibatalkan, pasti sekali gus membuka laluan kepada pesta atau festival yang bukan-bukan mencabar Islam.

Ini termasuklah pesta gay kononnya berlangsung hujung bulan ini yang kini dipromosi di media sosial.