Tentunya suasana orang Me­layu berniaga di bandar utama tiga ne­geri ini amat berbeza dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan beberapa negeri lain. Sekurang-kurangnya ada ruang untuk peniaga Melayu berniaga di pusat bandar di satu kawasan umpama kompleks beli-belah.

Di negeri-negeri lain ada kompleks seumpama ini terutama yang dikendalikan oleh Mara tetapi ibarat hidup segan mati tidak mahu. Sekurang-kurangnya di Pasar Pa­yang dan Pasar Siti Khadijah, kita dapat melihat wajah Melayu dalam satu jumlah yang besar di satu-satu kawasan perniagaan.

Di sudut politik pula, Kota Bharu dan Kuala Terengganu masih diwakili wakil rakyat Melayu selain Johor Bahru. Ahli Parlimen Kota Bharu diwakili Pas, begitu juga dengan Kuala Terengganu, juga Pas tetapi telah menyertai PAN.

Di pusat bandar lain atau lebih tepat di ibu negeri, kawasan Parlimen yang diwakili wakil rakyat Melayu ialah Johor Bahru (BN-UMNO), Kuantan (PKR), Kangar (BN-UMNO) dan Shah Alam (PAN), sebelum ini Pas. Bagi negeri-negeri lain sama ada diwakili bukan Melayu DAP atau PKR. Adakah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, keadaan akan berubah?

Dijangka semua kerusi yang diwakili Melayu di negeri-negeri tersebut kekal kepada calon Melayu terutama di Kelantan, Perlis dan Terengganu. Apa yang pasti kerusi-kerusi lain akan kekal kepada bukan Melayu kecuali DAP atau PKR membuat kejutan untuk memberi laluan kepada orang Melayu bertanding di kawasan yang sudah tentu majori­tinya bukan Melayu.

Bagaimana pula jika melibatkan kawasan bercampur yang akan melibatkan pertembungan dua calon Melayu dan bukan Melayu? Segala kemungkinan boleh berlaku apabila undi Melayu berpecah kepada parti yang diwakili calon Melayu iaitu melibatkan BN (UMNO) dan Pas serta wakil Pakatan Harapan (PAN, PKR, PPBM, DAP). Begitu juga dengan kerusi lain yang melibatkan jumlah pengundi bercampur atau hampir sama banyak. Mungkin jumlahnya tidak banyak tetapi risiko pada masa depan tetap wujud lebih-lebih lagi melibatkan kawasan bandar utama. Tidak dinafikan siapa pun yang bakal mewakili kita, wakil rakyat berkenaan akan bertanggungjawab terhadap rakyat di kawasannya. Ini bukan isu perkauman tetapi lebih kepada melihat kesan kepada perpecahan orang Melayu.

Baru-baru ini dalam khutbah gerhana bulan di Masjid Seberang Jaya, tular video khatib yang menyeru kepada perpaduan umat Melayu atau pribumi. Difahamkan, khatib ini pernah menjadi calon Pas pada satu PRU tetapi apabila beliau menyeru kepada bangsa pribumi supaya bersatu kembali untuk menggarap kekuatan bagi membina perpaduan bangsa dan umat Islam di negara ini, maka beliau dituduh berpolitik di mimbar masjid.

Lebih-lebih lagi, apabila beliau menaruh harapan itu dengan menyebut kehadiran Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said. Khatib berkata, Zaidi sebagai aktivis masyarakat dan ahli politik diharap dapat membawa mesej perpaduan ke Dewan Rakyat dengan mengajak pemimpin dan bangsa Melayu Islam di seluruh negara untuk bersatu bagi menyelamatkan negara dan tanah air daripada ancaman musuh dalam atau luar negara.

Mungkin apabila nama orang politik disebut, maka mesej itu disifatkan berbaur politik tetapi sebagai umat Melayu Islam, kha­tib berkenaan sudah tentu bimbang situasi hari ini. Tidak peduli dengan apa cara sekali pun, perpaduan umat Melayu perlu dipertahankan, tanpa diberi peluang untuk dirobek oleh kaum sendiri atau orang lain.

Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad juga pernah mengingatkan orang Melayu mengenai risiko perpecahan Melayu ini. Menyelak kembali tulisan Suara Hati Dr. Mahathir (Mingguan Malaysia 23 September 2012), beliau mengingatkan perpecahan akan menyebabkan Melayu tidak lagi menjadi tunggak pemerintahan negara. Mereka akan menjadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai.

“Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.” katanya. Mungkin elok diselak semula sedutan suara hati Dr. Mahathir itu untuk dijadikan panduan dan renungan bersama.

“Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalah tafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini. Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpa­duan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain. Sokongan orang lain ini tidak diberi percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan kerajaan, tak dapat tidak kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada peme­rintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

“Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri – orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh pe­rasaan benci apabila dihasut.

“Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui nikmat yang banyak yang dinikmati setelah merdeka dan mereka menerajui kerajaan – Kerajaan Malaysia merdeka. Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisahkan daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain. Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri”.

Begitulah sedutan Suara hati Dr. Mahathir akibat perpecahan Melayu. Orang Melayu terus mengharungi fasa perpecahan ini. Entah bila pengakhirannya. Adakah akhirnya di atas kertas majoriti sama dengan minoriti?