Umumnya, rata-rata golongan pekerja menghabiskan masa 8 ke 10 jam setiap hari di tempat kerja. Belum campur lagi masa di atas jalan raya, di tambah pula jika berlaku kesesakan lalu lintas.

Dan pastinya kita mahukan ‘kehidupan’ di tempat bekerja itu sebuah persekitaran yang baik, bersih dan dilengkapi segala kemudahan serta sistem keselamatan. Ciri-ciri inilah yang menjadi keutamaan setiap pekerja terutama golongan wanita.

WENDY LI
WENDY LI 

Walaupun bunyinya agak mustahil, tetapi kesemua itu anda boleh alami dan terokai di Cyberjaya. Sebagai sebuah bandar pintar di persada teknologi dan inovasi, ciri-ciri itu amat dititikberatkan oleh pemaju utamanya Setia Haruman Sdn. Bhd. (Setia Haruman) dalam melengkapkan bandar bertaraf antarabangsa itu sebagai sebuah bandar yang sesuai didiami.

Dan atas dasar itulah ia menarik minat lebih 63,000 komuniti wanita membina kehidupan di sini atas pelbagai tujuan sama ada bekerja, belajar mahu pun bersantai malah menetap di lokasi teras Koridor Raya Multimedia (MSC) itu.

Khamis lalu, Cekmek Molek berpeluang menerokai sendiri bandar Cyberjaya dan bertemu dengan Ketua Pegawai Operasi Setia Haruman, Wendy Li yang berkongsi komitmen syarikat pemaju itu dalam mempromosikan dan membangunkan Cyberjaya sebagai sebuah pusat teknologi global yang mampu memenuhi keperluan populasinya.

Wendy sendiri memilih untuk ‘setia’ selama 14 tahun di syarikat itu. Beliau cukup berbangga dengan penglibatan aktif wanita kerana peranan mereka amat penting sebagai pendorong utama dalam memacu transformasi Cyberjaya menjadi sebuah bandar progresif seperti hari ini.

“Kira-kira 63,000 wanita yang tinggal atau bekerja di Cyberjaya itu kesemua mereka adalah juara dalam bidang masing-masing. Kita mempunyai golongan ibu sebagai ahli korporat berjaya yang mampu mengimbangi kehidupan bekerjaya dan berkeluarga.

Para pegawai penguatkuasa wanita juga seperti tidak kenal lelah membantu dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti. Para pelajar pula menganggap bandar ini sebagai pusat kecemerlangan kreativiti dan pendidikan,” katanya.

Pada masa ini, 60% pusat data Malaysia adalah berpangkalan di Cyberjaya yang meliputi 40,000 pekerja mahir di samping 506 syarikat berstatus MSC. Sebahagian besar warga kerja Cyberjaya aktif bertugas 24 jam sehari memandangkan syarikat-syarikat di mana mereka bekerja memberi khidmat kepada pelanggan di zon-zon masa yang berbeza.

Atas sebab itulah aspek kawalan keselamatan bagi 127,421 warga Cyberjaya adalah satu keutamaan. Perkara ini diusahakan secara kolektif oleh setiap pemegang kepentingan di Cyberjaya.

Dalam usahanya mencapai sasaran bandar bebas jenayah, Cyberjaya memiliki ekosistem keselamatan cekap yang mempunyai 32 kamera CCTV di lokasi tumpuan utama yang berhubung terus dengan khidmat kecemasan MERS 999.

Bukan hanya sebagai lokasi untuk membina kerjaya, malah ia amat sesuai untuk beriadah dan berhibur.

‘Bebaskan’ hari anda daripada kesibukan pejabat dengan beriadah di kawasan Lake Garden dan kawasan-kawasan rekreasi dalaman yang boleh didapati di Sport Arena, stadium bola sepak serta gelanggang-gelanggang pelbagai jenis sukan.

Anda juga boleh membeli-belah, bermain bowling dan menonton wayang di Dpulze serta boleh lepak-lepak di Tamarind Square yang mempunyai kedai buku 24 jam terbesar di Malaysia, BookXcess. Penat?

Rehatlah sehari dua di sembilan hotel berdekatan dan ‘isilah perut’ di 300 pilihan restoran mengikut selera masing-masing.

Mengambil kira segala kemudahan cukup lengkap, maka tidak hairanlah Cyberjaya terpilih sebagai model sebuah bandar masa depan melalui pembangunan mapan yang diiktiraf Kerajaan Jepun.

Bukan itu sahaja, ia turut terpilih sebagai pembangunan pejabat dan resort terbaik selain dianugerahkan perancang bandar paling berjaya.