MASZLEE MALIK
MASZLEE MALIK

Beliau mahu melihat dengan mata kepala sendiri sosok tubuh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan keterampilannya da­lam menjelaskan isu-isu panas ber­kaitan pendidikan negara.

Suatu perkara yang menarik perhatian Sahol Hamid yang dikongsikannya dengan Tumpang lalu melalui perbualan telefon 15 minit semalam, adalah sikap keterbukaan Dr. Maszlee untuk memberi autonomi kepada universiti-universiti tempatan dari kalangan Naib Canselor (VC) dan pensyarah dalam menyuarakan pandangan mereka demi pembangunan sistem pendidikan.

Tumpang lalu menampilkan Sahol Hamid dalam kolum pojok ini memandangkan pengalaman luas profesor emeritus Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dalam bidangnya. Apatah lagi beliau masih terus menyumbang khidmat baktinya di bebe­rapa universiti di Jerman, Turki dan India.

Di India, Sahol Hamid ditugaskan untuk melatih bakal-ba­kal VC dan pentadbir di situ dan juga membuat transformasi sebuah universiti wakaf; di University of Stuttgart, beliau sepanjang 19 tahun ini bertindak sebagai profesor pakar dalam bidang kejuruteraan air manakala di Turki pula lebih banyak berinteraksi membantu melahirkan VC terlatih di beberapa universiti di sana.

Kita dengar huraian Sahol Hamid mengenai beberapa isu yang pernah dibangkitkan oleh Dr. Maszlee sejak dilantik mengetuai kementeriannya tempoh hari:

1. Dulupun VC ‘tak boleh tidur sangat’

Saya salute (tabik) atas kebe­ranian Dr. Maszlee membawa soal kebebasan (autonomi) di pe­ringkat universiti ini. Di Jerman, United Kingdom dan Kebanyakan universiti luar negara, VC serta pensyarah di sana bebas bersuara dan tidak terlibat dalam politik negara. Kementerian perlu pertingkatkan lagi budaya profesional. Di kementerian masih ada budaya ‘gam’. Ada VC dan pensyarah kena gam dan dihukum secara halus. Di bawah Dr. Maszlee, diyakini akan ada perubahan khususnya dari aspek profesionalisme, persepsi dan komunikasi kalangan peringkat pegawai kementerian dan universiti. Kita perlu lakukan secara adil. Perasaan hasad dengki perlu dikikiskan.

2. Ramai ‘orang lama’ jadi penasihat?

Penasihat kepada menteri (da­lam urusan berkait pentadbiran universiti) sepatutnya harus dari yang benar-benar pakar pendi­dikan serta bijak beri nasihat. Mungkin boleh difikirkan semua VC universiti awam dan swasta sebagai penasihat kepada menteri. Sekarang ini, banyak orang yang sudah lama dalam pendidikan menjadi penasihat. Keba­nyakan mereka sudah ‘terlajak’ umur dan tidak terkait dengan kemajuan terkini dunia pendidikan. Kebanyakan jadi yes man sahaja. Arus pendidikan hari ini berubah pantas dan hanya VC sahaja yang update (kemas kini) diri mereka. Mereka yang menjadi penasihat ini sangat senior - yang tertinggal dunia pendidikan masa kini.

Pengalaman politik tidak sama dengan pengalaman akademik. Pengamalan akademik tanpa pra­k­tis kurang bernilai. Dalam politik, mutunya berdasarkan pe­ngalaman luas sebab mereka sentiasa dalam praktis.

3. Jangan jadi yes man

VC harus bebas untuk bersuara. Tidak boleh jadi yes man agar kebaikannya nanti menteri mendapat nasihat yang sebenar, bukan sesuatu atas kehendak kementerian.

4. Hanya sokong government of the day

Pelantikan VC di universiti awam yang kira-kira 20 universiti jumlahnya ini bukanlah berdasarkan politik, tetapi melalui proses pemilihan dan temuduga yang ketat oleh lembaga pemilih. Semasa pentadbiran kerajaan ter­dahulu, mereka menyokong ke­rajaan masa itu. Sekarang apabila kerajaan Pakatan Harapan memerintah, prinsip yang terasas adalah menyokong government of the day. Kita tidak boleh hilang kepakaran yang ada kerana semua VC, malah pensyarah bekerja keras memantapkan universiti mereka ke arena antarabangsa. Mereka menyokong kerajaan hari ini ke­rana peruntukan dan polisi datang dari kerajaan.

5. Harus menyokong R&D

Kalau mahu menjadi negara ma­ju, kajian penyelidikan dan pem­bangunan (R&D) di universiti per­lu dijadikan produk. Di Korea dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, universiti-universiti di sana begitu agresif melatih pensyarah-pensyarah mereka hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD). Sebab itu Korea menjadi negara maju walaupun suatu ketika tahap Malaysia dan Korea sama.

6. Ranking, rating penanda aras

Saya sedar pihak kementerian tidak beberapa gemar dengan status ranking dan rating universiti. Namun berdasarkan pengalaman saya, ranking universiti tetap penting sebab mana-mana universiti antarabangsa akan lihat itu sebagai tanda aras ‘mana letaknya’ kedudukan universiti itu di Malaysia.

Ini kerana universiti yang ranking tinggi kurang berminat untuk berinteraksi atau bekerjasama dengan universiti yang tidak ada kedudukan ini. Hal ini (ranking dan rating) digariskan oleh standard/piawaian dunia. Jangan pandang ranking sebagai sesuatu menyusahkan, sebalik­nya ia baik untuk pembangunan universiti.

7. Kenaikan pangkat?

Kenaikan pangkat seseorang pensyarah ketika ini lebih dinilai pula hasil kajian penyelidikan me­reka sedangkan yang bagus mengajar dikesampingkan. Mesti ada keadilan. Meskipun sistem penilaiannya ada, tetapi tidak dipraktikkan. Pengiktirafannya agak perlahan. Masih wujud pre­judis terhadap pensyarah yang bagus mengajar. Ada pensyarah yang tidak ada fa­mily life kerana nak kejar kenaikan pangkat hingga keluarga tidak dihiraukan. Perlu ada kelonggaran dalam kajian kenaikan pangkat. Gembirakan pensyarah.

Sahol Hamid pada akhir perbualan singkat itu menyuarakan rasa terharu kerana menerusi jaminan Dr. Maszlee, ia bermakna pensyarah dan VC tidak lagi ‘di­gam’ daripada menyuarakan pandangan mereka.

“Asalkan jangan ada sentimen politik, saya kira ini akan menggembirakan pihak universiti. Yang penting mereka seronok mengajar,” katanya.