Dalam usia 69 tahun, hasrat Siti Zaharah untuk merebut jawatan itu yang pernah disandangnya selama lima tahun bermula 1996 menimbulkan pelbagai persepsi, malah ada memandang sinis selain dilihat tidak selari dengan proses peremajaan parti.

Namun, bagi bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat berkenaan, beliau mempunyai asas dan alasan sendiri apabila menawarkan diri untuk bertanding serta percaya pengalamannya mampu
membantu membina semula UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kalau kepala saya boleh fikir lagi, boleh bagi pendapat dan boleh beri pendekatan-pendekatan, tidak salah untuk saya menawarkan diri,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA serta jurugambar MAHATHIR ALI di Kuantan baru-baru ini.
 

UTUSAN: Apa yang mendorong Tan Sri menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO?

SITI ZAHARAH: Kenapa tidak? Saya mempunyai pengalaman ketika menjadi Ketua Wanita UMNO pada 1996 dan boleh menggunakannya. Dalam keadaan UMNO sekarang, sebagai orang parti dan tahu apa erti perjuangan sebenar, saya tidak boleh duduk diam. Saya mempunyai kesedaran untuk membantu. Itu sebenarnya niat saya untuk menawarkan diri bertanding. Ini satu peluang terbuka dan saya harap ia menjadi satu pertandingan yang akan terbuka. Tan Sri Shahrizat Abdul Ja­lil pula melepaskan jawatan, jadi ia terbuka.

Apakah maklum balas yang Tan Sri terima selepas menyatakan hasrat untuk bertanding?

Saya tidak pernah terlepas da­ripada bersama dan berdamping dengan ahli UMNO di peringkat akar umbi. Saya lihat, mula-mula tiada siapa perasaan saya hendak ke atas (bertanding), bukan ha­nya di peringkat bahagian. Selepas itu baru mereka tersedar. Dalam akar umbi pun tidak semua orang lama, ramai orang baharu dan ada antara mereka yang tidak tahu pun tentang sejarah saya. Saya sendiri pun tidak menguar-uarkannya. Jadi baru mereka sedar dan memberikan sokongan sebab saya memberanikan diri kerana saya ada pengalaman.

Sudah lama tidak muncul di arus politik nasional, apakah Tan Sri yakin mendapat sokongan dengan membuat kemunculan semula?

Saya pasrah sebab saya ada rekod. Saya mempunyai cara dan telah melalui itu semua. Tetapi sekarang kita dibantu oleh media sosial. Saya harap dengan ada saluran media sosial ini walaupun saya tidak mainstream, itu tidak menghalang. Saya tidak pernah lepas daripada penyertaan apabila ada aktiviti di pe­ringkat nasional. Jarang saya tidak hadir. Dari bahagian saya datang dan saya ikut perkembangan.

Tan Sri adalah veteran dalam UMNO, tidakkah hasrat bertan­ding ini dilihat bertentangan dengan proses peremajaan parti?

Itu apa yang UMNO harapkan atau siapa-siapa yang ingin melihat kepada kesinambungan kepada kepemimpinan yang lebih muda. Tetapi saya akui umur saya sudah sampai ke tahap itu. Namun saya ada semangat dan keinginan lagi dan saya hendak menawarkan diri bertanding. Terpulang kepada perwakilan hendak menganggap bahawa faktor umur itu menjadi satu sekatan. Kalau kepala saya boleh fikir lagi, boleh bagi pendapat dan saya masih lagi boleh beri pendekatan-pendekatan, tidak sa­lah untuk saya menawarkan diri. Saya rasa kalau kita cerita faktor umur, tidak cukup untuk kita mengukur keupayaan dan gaya kepemimpinan serta permintaan kepemimpinan itu juga. Terpulang kepada kombinasi. Saya rasa boleh menghadapinya tetapi terpulang kepada perwakilan. Kalau perwakilan perlu yang muda, kita terima dan reda.

Tan Sri pernah mengetuai Wanita UMNO bermula 1996 namun cabaran kini jauh berbeza dan landskap politik juga sudah berubah 360 darjah, bagaimana Tan Sri melihat kepentingan pemilihan UMNO kali ini?

Jangan kita menggadaikan satu proses membuat keputusan yang sangat penting. Waktu dahulu kita boleh rileks-rileks sebab kita rasa okey tetapi sekarang tidak. Sekarang, kita hendak buat pembersihan, muhasabah diri, macam-macam kita hendak buat dan duduk termenung bawah pokok tidak guna juga sebab kita tidak bertindak. Kita mewarisi perjuangan yang asalnya sangat suci yang mana pemimpin terdahulu sanggup bergolok-gadai. Ini satu ujian kepada kita.

Bersandarkan pertimbangan apakah Tan Sri yakin mampu memberi sumbangan untuk mengetuai Wanita UMNO yang merupakan tulang belakang parti?

Selain pengalaman, saya ada kemahiran pentadbiran. Saya pernah duduk dalam anggota pentadbiran kerajaan dan saya ada pengalaman mentadbir organisasi yang bercorak sahsiah seperti ini. Saya juga mempunyai kemahiran organisasi untuk membuat gerak kerja. Insya-Allah dengan ada pengalaman sedikit sebanyak itu dan dengan saya niat hendak bantu dalam keadaan UMNO memerlukan suntikan semangat untuk bangkit. Mungkin Allah SWT hendak menguji kita yang mana bila kita menjadi satu parti yang besar lebih 70 tahun kita terbawa-bawa dengan sifat tidak mungkin akan kalah. Apabila kita terbawa-bawa dengan sifat sedemikian, kita mungkin menjarakkan diri kita dengan akar umbi. Saya rasa ada kesilapan dan jika diberikan kepercayaan dan perwakilan pula boleh memberikan sokongan, saya boleh membantu.

Berdasarkan kepada situasi selepas PRU-14, UMNO perlu melakukan perubahan. Bagaimana bentuk Wanita UMNO yang Tan Sri ingin tampilkan?

Saya hendak tampilkan orang betul-betul berdedikasi dan bersungguh-sungguh, mereka yang ikhlas serta baik. Daripada segi pergerakan, kita hendak tonjolkan kekuatan dan keyakinan wanita yang boleh memimpin dengan penuh keyakinan diri. Cara saya adalah ketenteraan, sebab ini adalah parti. Parti adalah mengenai kemenangan, adalah berasaskan kekuatan dan kekuatan adalah berdasarkan kita pegang atau tidak orang kita. Orang kita tahu atau tidak apa berlaku di bawah.

 

RAMAI yang tidak menyangka Ketua Wanita UMNO Paya Besar, TAN SRI DR. SITI ZAHARAH SULAIMAN membuat penampilan semula di peringkat Pusat dengan kembali merebut jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.

Dalam usia 69 tahun, hasrat Siti Zaharah untuk merebut jawatan itu yang pernah disandangnya selama lima tahun bermula 1996 menimbulkan pelbagai persepsi, malah ada memandang sinis selain dilihat tidak selari dengan proses peremajaan parti.

Namun, bagi bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat berkenaan, beliau mempunyai asas dan alasan sendiri apabila menawarkan diri untuk bertanding serta percaya pengalamannya mampu membantu membina semula UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kalau kepala saya boleh fikir lagi, boleh bagi pendapat dan boleh beri pendekatan-pendekatan, tidak salah untuk saya menawarkan diri,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA serta jurugambar MAHATHIR ALI di Kuantan baru-baru ini.