Macam mana nak pastikan Puteri UMNO kali ini lebih ‘menyengat’ berdepan ibu segala pilihan raya?

MAS ERMIEYATI: Ini suatu himpunan yang penting khusus kepada ahli Puteri UMNO dalam menterjemahkan semangat untuk dibawa pulang dan diterjemahkan ke dalam gerak kerja yang lebih cemerlang, terbaik dan dinamik. Saya mahu ingatkan Puteri ini bukan kerja ringan, cabarannya cukup getir. Bawalah semangat yang terpancar sepanjang perhimpunan ini untuk diperkasa, sekali gus perluaskan gerak kerja memastikan kemenangan dalam PRU-14.

Datuk yakin ahli Puteri mampu berbuat demikian?

Kehadiran ahli Puteri UMNO ke dewan nanti bukan sahaja sekadar dengar ucapan daripada saya tetapi juga perbahasan daripada jurucakap negeri, jemputan dan mendengar perbahasan. Pada masa sama mereka berpeluang mendengar amanat Presiden, Da­tuk Seri Najib Tun Razak yang mana cukup penting kerana agenda memenangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan dalam semangat kepartian. Soal konteks perjuangan parti harus diambil kira dan semangat inilah yang akan dibawa pulang ke negeri.

Datuk percaya generasi muda akan menyebelahi UMNO dalam PRU-14?

Mendekati anak muda memang banyak cabaran yang perlu dilalui pada peringkat awal. Bagaimanapun, lama kelamaan kita mendapat maklum balas positif yang memberi semangat kepada kita. Apabila diadakan program-program dengan anak muda, kita lihat mereka berminat dengan UMNO dan ia menjadi pembakar semangat untuk berjuang buat kami.

Ada perubahankah dari segi penerimaan orang muda kepada UMNO?

Kita tidak boleh selesa. Kerja keras tetap diperlukan. Sesiapa yang kita jumpa dan dampingi harus diberikan maklumat yang jelas supaya mereka yakin kepada tonggak UMNO yang kemudi BN. Ini kerana anak muda melihat UMNO masih stabil walaupun ada cubaan untuk membocorkan bahtera yang di­terajui Presiden. Semangat kesetiaan, kepercayaan, pemuafakatan dan konsep wala’ telah diterjemahkan melalui kestabilan UMNO. Itu adalah ramuan penting yang tidak boleh dike­tepikan oleh setiap pemimpin dalam UMNO.

Apakah mesej Datuk kepada seluruh ahli Puteri?

Keazaman, kecekalan dan semangat mereka dalam bersidang kali ini adalah penting untuk dibawa semangat tersebut secara berterusan bagi mengekalkan kawasan-kawasan yang UMNO menang sebelum ini. Pada masa sama, mengembalikan semula kawasan yang kita kalah dulu. Episod selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 memerlukan penerapan jati diri dan mentaliti yang kuat.