Kelemahan itu membuka ruang kepada kelompok tertentu mengambil kesempatan melaksanakan agenda mereka khususnya selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tanpa memikirkan perasaan orang Melayu, pelbagai perkara mereka lakukan. Bagaikan kera mendapat bunga dan kaduk naik junjung, orang Melayu diasak kesabaran mereka dengan pelbagai permintaan serta tindakan oleh kelompok tertentu yang akhirnya tidak memungkinkan lagi kaum majoriti berkenaan berdiam diri.

Kesudahannya Dataran Merdeka pada Sabtu lalu menyaksikan ratusan ribu orang Melayu turun ke jalanan. Mereka datang daripada seluruh pelosok tanah air tanpa mempedulikan komen, pandangan atau sindiran yang bertujuan memperlekehkan program #DaulatHimpunan812.

Pelbagai hujah dangkal dan jahil, mereka zahirkan untuk mengelakkan orang Melayu berhimpun di ibu negara. Mereka mempersoalkan kenapa orang Melayu tidak melakukan tindakan sama bagi membantah gejala rasuah yang berlaku di bawah kepemimpinan kerajaan terdahulu. Mereka cuba memburuk-burukkan program itu dengan mengaitkan ia sebagai maneuver politik dua parti besar iaitu UMNO dan Pas yang pada tafsiran politik sempit mereka ditolak rakyat dalam PRU-14 lalu.

Tetapi dalam keghairahan mahu meracuni fikiran rakyat dengan hujah songsang mereka, puak yang merasakan ini detik terbaik bagi menguasai segala-galanya di negara ini dengan sokongan kelompok Melayu yang sealiran tetapi terlupa fakta masih terdapat jutaan lagi orang Melayu tidak bersama mereka.

#DaulatHimpunan 812 membuktikan ia bukan soal dianjurkan Pas atau UMNO, ia bukan soal mahu mencari survival politik sesiapa, tetapi 'amaran awal'orang Melayu kepada kelompok tertentu bahawa kesabaran orang Melayu ada hadnya. Kumpulan yang semakin 'naik tocang' ini boleh mengubah apa sahaja dasar demi kepentingan tetapi jangan sesekali cuba mencuit dan menyentuh segala yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Maruah

Kehadiran orang Melayu di Dataran Merdeka itu hanyalah 'amaran awal' mereka bukanlah patung yang boleh diperkotak-katikkan. Memang benar, kuasa politik Melayu semakin lemah tetapi ia bukan bermaksud mereka tidak lagi mempunyai maruah, harga diri atau kekuatan untuk bangkit bersatu.

Hakikatnya orang Melayu belum lagi berada pada kedudukan ibarat sepohon kelapa yang tumbang hingga boleh dipanjat oleh seekor kura-kura. Sebaliknya orang Melayu ibarat harimau yang sedang tidur.

Jangan terlalu banyak diganggu tidurnya dengan 'bunyi-bunyian' yang boleh menyebabkan ia terbangun bagi 'menghentikan' bunyi tersebut.

Dan ternyata tanggal 8 Disember 2018, Dataran Merdeka menjadi saksi kehadiran ratusan ribu orang Melayu. Mereka berhimpun bukan untuk mengganggu sesiapa malah tiadapun elemen provokasi apatah lagi perbuatan biadab memijak gambar pemimpin. Sebaliknya ia dihiasi solat, doa dan ucapan tanda kesyukuran kerana kerajaan memahami kemarahan orang Melayu dalam isu ICERD.

Berikutan kejayaan itu, kelompok yang mengaku dirinya Melayu tetapi berfikirkan liberal termasuk anak beberapa pemimpin kanan kerajaan bagaikan 'pontianak tidak mampu jejak tanah'. Mereka ibarat menjerit dan melolong di dalam laman-laman sosial memperlekeh kejayaan himpunan itu.

Mereka sebenarnya tidak menyangka orang Melayu boleh turun sebegitu ramai sehingga ada yang sanggup menunggang motosikal dan mengayuh basikal beratus-ratus kilometer. Impian kelompok Melayu liberal itu ialah jumlah yang hadir boleh dihitung jari supaya mudah mentertawakannya.

Mungkin atas niat sama 24 jam sebelum #DaulatHimpunan812 berlangsung, tentera siber puak tertentu mula melancarkan serangan bertubi-tubi di dalam laman sosial – tujuannya ialah untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan orang Melayu supaya tidak turun ke Dataran Merdeka.

Tetapi ia gagal melunturkan semangat orang Melayu yang semakin sedar masanya sudah tiba untuk bangkit memberi 'amaran awal' kepada kelompok tertentu janganlah melampaui batas apabila sudah berkuasa.

Sememangnya #DaulatHimpunan812 mempunyai banyak mesej tersirat termasuklah orang Melayu kini semakin memahami jika mereka tidak mahu diperkotak-katikkan mereka tiada pilihan, selain bersatu.

Tidak mengapa jika dalam pilihan raya bertanding secara berasingan kerana perbezaan ideologi mungkin menjadi benteng. Tetapi dalam perjuangan mempertahankan hak Melayu dan Islam, kita tidak ada pilihan, kita mesti bersatu.

Penulis percaya perhimpunan kelmarin turut memberi petanda awal tidak mustahil keseluruhan orang Melayu kecuali kelompok liberal akan bersatu dalam satu gagasan atau gabungan satu hari nanti atau mungkin dalam masa terdekat.

Segala-galanya bukan kerana kuasa politik sebaliknya bak kata seorang pemimpin kanan Pas kepada penulis ketika parti itu masih bersama Pakatan Rakyat, "Percayalah satu hari nanti kalau kita lihat Melayu dan agama Islam tergugat kita pasti bersatu."

Kalaulah ada pihak menganggap Pas melakukan pusingan U dalam hubungan dengan UMNO, jawapannya mudah dengan meminjam kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, "Malaikat pun kadang kala buat silap, jadi apabila malaikat buat silap, mereka pun berpatah balik.’’