Yang jelas, kesinambungan merdeka fokus kepada Tun Dr. Mahathir sendiri kerana beliau satu-satunya pemimpin lama yang masih tegak memimpin tanah airnya sementara barisan ‘anak buah’nya yang dahulu sudah terbengkalai peranan dan penglibatan mereka.

Sementara perayaan Sayangi Malaysiaku akan menjangkau sampai ke 16 September apabila rakyat akan bersama pula merayakan Hari Malaysia di Sabah, isu-isu kehidupan terus mencabar. Bagaimana merdeka perlu diisi seterusnya bagi mencemerlangkan semangat ‘Malaysia Baharu’?

Di samping itu perlu pula dipastikan tradisi hak dan amalan yang mana wajar dikendong bersama dan yang mana boleh diketepikan?

Semenanjung Tanah Melayu telah merdeka daripada penjajahan British selama 61 tahun. Malaysia muda sedikit pada usia 55 tahun. Jika dibandingkan dengan manusia, jasad dan minda negara sudah boleh dikatakan ‘berumur’ dan matang.

Tempoh 61 tahun merupakan satu rentetan zaman yang panjang. 61 tahun yang dialami Semenanjung Tanah Melayu dan 55 tahun oleh Malaysia adalah cukup panjang untuk dicerakin mengikut kejayaan nilai, acuan, capaian, pembangunan fizikal dan perjuangan watan.

Dalam banyak-banyak perkara, isu memerdekakan fikiran dan nilai inilah yang paling sukar. Jika cara berfikir dan nilai diri dapat diubah, larasan merdeka masa depan akan lebih mudah diperjuangkan.

Malaysia yang dahulunya (1963-1965) mengandungi Singapura, dan kini hanya dianggotai Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Dalam banyak hal, khasnya ekonomi, integriti dan kenegaraan rekod Singapura sebagai negara kecil yang hanya sekitar 720 kilometer (km) persegi mempunyai capaian nasional dan antarabangsa yang ketara. Dalam semangat survivalnya terkandung teras pimpinan cekal dan bebas rasuah.

Sekalipun ramai ahli politik tanah air tidak suka membuat perbandingan ini, realiti dunia harus diterima. Perjuangan survival nasional harus berada di tahap tertinggi – dibimbing pimpinan anti-rasuah dan berbudaya tinggi.

Dalam polemik survival ini termasuklah merdeka tanpa rasuah, menipiskan sentimen perkauman. Pembangunan pendidikan kebangsaan perlu dijulang tinggi. Sebaliknya benamkan sikap cauvinisme yang sudah pula melonjak tinggi.

 

Cara hidup

Jika rasuah tidak menjadi amalan cara hidup pihak berkuasa dalam kerajaan, Malaysia sepatutnya sudah lama dan lebih jauh ke depan.

Negara yang berjaya berterusan dalam penyusunan masyarakatnya sentiasa mengutamakan sistem pendidikan dan latihan warganya mengikut lunas disiplin ketat dan tegas. Dasar pendidikan anak-anak tidak boleh ditukar ganti ikut selera politik atau gah pemerintah. Ia mesti ikut pedagogi sejagat yang berwibawa.

Merdeka akan lebih bermakna dan berkesan jika aliran pendidikan negara ini berasas kepada “sama belajar, sama bermain dan sama bekerja keras”.

Sekolah Kebangsaan Malaysia patut dijadikan sekolah perdana negara: semua aliran etnik tinggalkan sebagai sampingan; semua anak Malaysia bersekolah sama dengan mata pelajaran sama (kecuali hal-hal bahasa ibunda dan keagamaan) – dengan syarat akademik, disiplin dan kualiti persekolahan dijamin.

Ambil guru berprestasi tinggi, beri gaji terbaik. Elakkan pendidikan yang terlalu mementingkan kelulusan kertas. Hebatkan kelulusan berasas cara pemikiran rasional dan cara hidup bermasyarakat majmuk. Utamakan disiplin dan kebersihan.

Merdeka bagi muslim bererti mengamalkan ajaran asas al-Quran dalam konteks memperhebat ummah. Lihat betapa daifnya pusat-pusat tahfiz, murid mahir menghafal tapi tak tahu mengendalikan disiplin dan tuntutan hidup. Hidup anak-anak hanya ikut terowong hafalan. Tuntutan kehidupan seperti ekonomi, seni budaya, pergaulan sihat, sains dan matematik tidak mendapat segmen amalinya.

Merdeka daripada kolonisasi satu hal. Melatih diri berfikir supaya hidup berbudi dan berbudaya tinggi adalah hal lain. Yang lebih utama. Persekolahan dan pengajian di menara gading kini tidak mementingkan latihan cara hidup berdisiplin, berbudi dan berhemah. Yang dititik bengik hanya ijazah dan kesarjanaan.

Ketiadaan asuhan hidup murni secara menyeluruh sudah menimbulkan banyak produk sampingan yang songsang: antaranya amalan buli, tandas kotor, kekotoran pekan dan bandar, tak menepati masa, bekerja sambil lewa, rasuah, tak mengerti menikmati alam semula jadi dan amalan-amalan buruk yang lain. Pendeknya acuan dan latihan bina sahsiah merdeka tidak integral.

Sayang sekali, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disalah tadbir – akibatnya graduan PLKN separuh masak. Yang muncul kini untuk diingati kembali ialah bagaimana Rukun Negara dapat dijadikan piagam nasional, difahami, dihayati dan diamal saban hari oleh sektor awam dan swasta. Bukan setakat dilaungkan sekali setahun di Putrajaya atau di Dataran Merdeka.

Perlu dianjurkan supaya Rukun Negara menjadi nas dan kuat kuasa perundangan. Meletakkannya sebagai mukadimah Perlembagaan Malaysia amat sesuai memandangkan Perlembagaan kita tidak ada apa yang disebut sebagai preamble atau mukadimah Perlembagaan. Kita tidak ada falsafah nasional yang kekal selain Rukun Negara.

Merdeka mesti diterjemahkan dalam olahan pemerintah dan aktiviti rakyat dalam kehidupan seharian. Membasmi jenayah rasuah terutama oleh pihak berkuasa awam dan swasta perlu dijadikan budaya tinggi; perlu dicari formula harga barang berpatutan tanpa penipuan, cari formula kos persekolahan anak-anak, insurans kesihatan meliputi setiap warganegara, harga getah, padi dan sawit yang distabilkan – semua ini sebahagian daripada erti Merdeka Malaysia Baharu.

Juga yang ditunggu-tunggu dengan penuh minat dan perhatian ialah perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tuduhan pelbagai rasuah terbitan salah guna dana 1MDB. Skandal 1MDB serta segala tali-temalinya sudah memalukan rakyat dan negara.

Merdeka berkaitan rapat dengan pendidikan, ekonomi, dan budaya dalam konteks cara hidup. Ketiga-tiganya bagaikan tali tiga sepilin dalam mengukuhkan kehidupan rakyat atau sebaliknya. Jika jenama ‘merosot’ terkena pada pendidikan, ekonomi dan budaya sesebuah negara bangsa, akibatnya lantas merosakkan tamadun bangsa.

Lantaran itu formula kerajaan dalam pendidikan paling penting. Jika salah cuba atau salah sarung prinsip mendidik anak-anak di peringkat pendidikan – rendah, menengah dan universiti, masa depan negara akan simpang-siur. Masyarakatnya akan sentiasa kasar, kurang ajar dan berbalah.

Kelakuan pemimpin politik pula sudah tidak keruan terutama di Parlimen. Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) yang menganggap diri daripada kritikan rakyat lebih baik berkira-kira mulai kini untuk menukar imej keterampilan lebih setimpal dengan kemuliaan Parlimen.

Aneh – YB yang dalam kerajaan berlagak masih seperti pembangkang. Ahli-ahli pembangkang pula masih menganggap diri mereka sebagai menteri yang masih berkuasa.

Tun Mahathir sudah tentu masuk Guinness Book of Record sebagai satu-satunya pemimpin dunia berusia 93 tahun yang kembali berkuasa selepas 15 tahun bersara. Untuk itu sahaja beliau sudah mencapai keunikan rekod tersendiri.

Cuma keunikan itu barangkali tidak cukup untuk menyejukkan kehangatan hati rakyat untuk mendapatkan dividen tertinggi daripada PH. Al-maklum, pemerintahan PH baru 100 hari. Masih ada 4 tahun 9 bulan lagi. Sementara itu – Merdeka.