Mungkin masih tidak ramai mengetahui apakah perkara lain yang dikaitkan dengan negara ini. Jika ada pun pemain bola sepak kelab Bayern Munich, Robert Lewandowski atau bekas penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczęsny .

Majoriti juga tidak mengenali lebih dekat negara bekas blok komunis yang pernah meninggalkan sejarah perang bermula pada 1939 lagi dan menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada 2004.

Malah, Poland yang terletak bersempadan dengan beberapa negara seperti Slovakia, Belarus, Ukraine dan Republik Czech ini sebenarnya mempunyai pelbagai tempat menarik seperti yang di ceritakan dalam siri sebelum ini.

Kurangnya pendedahan terhadap negara ini juga membuatkan ia bukanlah destinasi utama dalam kalangan rakyat Malaysia. Tetapi jika di nilai daripada jumlah kedatangan pelancong secara keseluruhan, ia menduduki tangga ke-17 dalam dunia yang menerima kehadiran pelancong luar pa­ling ramai.

Selain itu, bagi yang belum pernah ke negara tersebut, ada beberapa perkara masih lagi belum diketahui dan diterokai termasuk aspek budaya dan juga tempat-tempat lain yang boleh dikunjungi. Lima tempat menarik di Poland berdasarkan rating Pasport Biz adalah:

1. Murzasichle

Tempat yang terletak kira-kira 400 kilometer dari ibu negara Poland ini merupakan kawasan tumpuan yang juga berhampiran dengan Zakopane yang mana ia merupakan tempat kelahiran juara dunia ski Poland, Kamil Stoch.

Kawasan ini merupakan kawasan perkampungan yang mempunyai keindahan semula jadi tersendiri. Malah di sini juga mempunyai trek ski bertaraf olimpik. Rata-rata pe­ngunjung merupakan pelancong dari Slovakia dan Republik Czech kerana kawasan ini terletak berdekatan dengan kedua-dua negara tersebut.

Selain itu, ramai yang datang ke sini akan mendaki ke puncak Morskie Oko yang mempunyai sebuah tasik. Bagi yang tidak mahu menghabiskan tenaga, kereta kuda boleh dijadikan pilihan. Ramai yang menyewa calet atau hanya tidur di dalam ‘campervan’ sebagai penginapan jika singgah di sini.

2. Auschwitz Birkenau

Antara pusat tahanan yang terkenal pada zaman perang dunia kedua. Pusat tahanan ini dibina oleh pihak Nazi bagi menempatkan tawanan perang keturunan Yahudi dari beberapa negara di Eropah bermula 1940 sehingga 1945.

Selain itu ia juga menjadi Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Ada pelbagai aktiviti dan ruang pameran yang boleh dilihat di sini seperti tempat seksaan tahanan, berek dan ruang pame­ran yang menempatkan rangka serta barangan milik tahanan.

3. Gunung Tatra

Ada dua pilihan untuk ke puncak gunung yang mempunyai ke­ting­gian sehingga 2,655 meter ini sama ada dengan ha­nya mendaki atau menggunakan kereta kabel. Ka­wasan pergunu­ngan ini juga berada berdekatan dengan Zakopane.

Jadi ia sentiasa sesak dan menjadi tumpuan terutama pada musim panas. Bagi pengunjung yang sampai ke puncak, anda boleh melihat garisan yang memisahkan dua sempadan antara Slovakia dan Poland. Di samping itu, pe­ngunjung juga dapat melihat beberapa tasik jika berjaya tiba di puncak.

4. Warsaw

Ibu kota Poland ini terkenal ketika menjadi hos bersama Ukraine dalam pertandingan Bola Sepak Euro 2012. Selain itu ada pelbagai monumen dan juga tempat bersejarah di samping kawasan old town yang wajib dikunjungi.

Warsaw hanyalah sebuah bandar yang mempunyai pelbagai muzium dan panggung. Mungkin cukup sekadar dua atau tiga hari berkunjung ke sini. Bersedialah jika anda datang pada hari perayaan atau cuti umum kerana banyak kedai yang tutup, menjadikan ia seolah-olah sebuah bandar ‘zombie’.

5. Krakow

Krakow (disebut Krakuf) terletak di bahagian selatan Poland dan merupakan bandar kedua terbesar. Bagi yang gemar melihat reka bentuk bangunan ia menjadi satu tempat yang menarik terutama di kawasan old town kerana memiliki banyak bangunan bersejarah. Krakow juga seperti kebanyakan bandar besar lain di Eropah. Ia mempunyai pelbagai istana dan muzium serta monumen yang boleh dilawati.