Mohd. Izwan yang terkenal sebagai penyampai berita TV3 pernah bertugas bersama saya membuat liputan `Misi Operasi Piramid’ pemindahan pelajar Malaysia keluar dari Mesir semasa Arab Spring pada 2011.

Kami sama-sama merasai pengalaman menaiki pesawat TUDM Charlie C-130 selama tiga hari tiga malam sebelum mendarat di Jeddah, Arab Saudi. Saya meninggalkan kumpulan media di Jeddah untuk terus kekal di Kaherah sehingga rejim Hosni Mubarak tumbang pada 11 Februari 2011.

Mungkin faktor inilah juga Izwan, yang kami gelar ‘wartawan selebriti’ menerima kandungan Merrepak minggu lepas sebagai teguran membina. Sebenarnya, ketika menyelidik isu ini sebelum mengarang minggu lepas, langsung tidak terimbas wajah Izwan.

Tetapi setelah nama saya kena ‘tag’ dalam Facebooknya, barulah teringat Izwan pernah mengutus kenyataan rasmi menteri menerusi WhatsApp sahaja dan saya percaya Izwan ‘belajar banyak’ hari itu kesan ‘patukan’ rakan-rakan media yang lain.

Satu sikap semula jadi Izwan ialah dia tidak sombong (walaupun digelar wartawan selebriti), sekali gus sedia belajar jika terbuat kesilapan. Didoakan Izwan kekal bersikap sebegini dan tidak melakukan perkara yang memalukan diri dan menterinya.

Lagi pun kalau Izwan hendak melenting kepada saya pun dia kena fikir dua tiga kali, memandangkan banyak rahsia dalam penerbangan tiga hari tiga malam itu boleh didedahkan. (Ini bukan ugutan. Ini gurauan. Tolong jangan saman, wahai Izwan!)

Perihal Izwan ini menjadi fokus hari ini kerana ada pihak tertentu menganggap Merrepak sengaja mencari kesilapan pegawai-pegawai menteri sepertinya dan ada pula pegawai agensi tiba-tiba menyanggah seolah-olah menafikan inti pati Merrepak. Kenapa hendak defensive? Bukalah sikit hati.

Sebagai rekod, Merrepak tidak mendapat untung sesen pun jika hendak berkonfrontasi dengan penasihat media kepada menteri. Saja-saja cari gaduh, tidak sama sekali. Buang elektrik dan menambah migraine sahaja.

Tetapi menteri lebih-lebih tidak untung jika penasihat media buat kerja tidak menepati piawaian atau lebih kuah daripada sudu seperti contoh berikut:

1. Kenyataan rasmi

Kenyataan media yang dikeluarkan menggunakan kepala surat rasmi kerajaan dan penandatangan kementerian, hendaklah berkaitan hal-hal rasmi bersangkutan dengan bidang tugas kementerian.

Bermakna kenyataan media tidak boleh mengandungi pernyataan bersifat peribadi atau pendirian politik parti. Pelanggaran etika ini masih berlaku dan kerap dipaparkan dalam media sosial. Hairannya, setelah diketengahkan pun, ia masih berulang.

Dalam kebanyakan masa, akan ada suara sumbang mahu menegakkan benang yang basah dengan mengatakan ‘kesilapan mereka tidak seteruk zaman BN’. Kalau begitulah hujahnya, kami menyerah kalah sebab hendak menasihat orang yang lebih pandai seperti mereka itu, tidak akan ada penyudah.

2. Protokol

Fahami tugas setiausaha akhbar dengan jelas, terutama bidang kuasa. Setiausaha akhbar tidak boleh menandatangani atau menjadi jurucakap sesuatu kenyataan media bertulis rasmi menteri.

Kenyataan itu hendaklah menggunakan nama menteri, dengan setiausaha akhbar hanya menjadi ‘orang yang boleh dihubungi jika terdapat pertanyaan lanjut’.

3. Selaras

Bila terlibat dalam satu projek membabitkan pelbagai kementerian, setiausaha akhbar hendaklah berkomunikasi dengan rakan sejawatannya dari kementerian lain, termasuk Unit Komunikasi Korporat (UKK). Ini bagi memastikan tidak berlaku percanggahan daripada segi fakta.

Ada masanya, ego akan terpampang kerana setiausaha akhbar merasakan diri mereka `paling senior’ berdasarkan kekananan menteri. Suka hatilah. Jangan esok menteri terpaksa membuat penjelasan lain disebabkan tiada penyelarasan.

4. Mesra Wartawan

Satu daripada tugas (tetapi bukan tugas utama) setiausaha akhbar ialah mengagihkan teks ucapan menteri kepada wartawan yang membuat liputan. Jangan sesekali tunggu sehingga habis acara baru buat demikian. Berilah awal agar wartawan boleh meneliti teks semasa ucapan dibuat. Ini mengurangkan risiko kesilapan kedua-dua pihak.

5. Pemudah cara

Tugas setiausaha akhbar ialah memudah cara sidang akhbar menteri. Jika menteri tidak berminat bercakap kepada wartawan, beritahu baik-baik agar tidak berlaku ketegangan.

Semasa sidang akhbar pula, jangan paksa wartawan untuk menamatkan soalan, apalagi meletak planted question. Wartawan akan dipersalahkan jika berlaku silap lapor, walaupun mungkin risiko itu patut ditiadakan jika kedua-dua pihak berhemah.