Mungkin disebabkan musim percutian sempena Hari Raya Aidiladha, kesesakan memuncak telah menganggu sistem pengurusan beg, kata saya bersangka baik. Tetapi bukankah sistem beg tersebut dibina dengan keupayaan untuk mengendalikan beribu-ribu beg setiap hari, apatah lagi musim perayaan?

Mujurlah beg itu tiba di rumah pada tengah hari, dihantar menggunakan teksi. Jadi tidaklah azab sangat. Teringat kisah sahabat di NST, Lokman Mansor semasa ke Jerman tidak dapat menyalin baju kerana begnya terbang ke negara lain. Beberapa hari jugalah dia kena menunggu. Tak sampai hati hendak tulis apa-apa di dalam Facebooknya.

Sebelum itu di KLIA, ada sedikit menyirap darah. Penerbangan pukul 8 pagi, saya sekeluarga tiba 6.50 pagi dan terus ke kiosk daftar masuk. Malangnya, kami 'tidak dibenarkan lagi’. Seingat saya, minimum masa berbuat demikian ialah 60 minit. Tapi 70 minit pun sudah tidak boleh.

Tahu-tahu kami diarah ke kaunter berlainan iaitu kaunter lambat daftar masuk. Petugas di situ menelefon seseorang menanya sama ada dia bo­leh teri­ma kami ber­­­lima atau ti­­dak. Bunyi macam su­dah terdesak. Maklumlah se­sudah kiosk menolak, maka kami kena pula beratur di kaunter dan masa sudah 7.20 pagi.

Post-mortem bersa­ma orang rumah di dalam pesawat kemu­diannya mengesahkan ba­hawa tiada kaedah me­ngesahkan daftar ma­­­suk dan mencetak ti­ket se­cara dalam ta­lian. Hairan juga. Ini bukan kali pertama ber­beli se­demikian.

Mujurlah tempat du­­­­duk yang ditempah (di­kenakan caj tam­ba­han RM20 setiap satu) ma­sih kekal dan layanan anak kapal adalah me­muaskan. Saya bukan hendak 'membawang’ ke­ra­na saya akan mem­buat penyiasatan audit forensik terhadap kae­dah pembelian tiket dalam talian saya. Ja­wa­pan perlu dicari ke­napa saya tidak dapat mencetak tiket lebih awal dan mengapa 70 minit pun kiosk sudah menolak.

Ini supaya penerba­ngan seterusnya nanti, perkara sebegini tidak berulang atau jika ter­paksa, menukar jena­ma syarikat pener­bangan yang hendak dinaiki.

Secara umum, berulang-alik antara KLIA dengan Kuching memerlukan anda menimbangkan bukan sekadar harga tiket murah. Ini kerana jika anda rajin, ada masanya akan dapat harga tiket amat murah pada Malaysia Airlines juga.

1. Tiket murah

Lazimnya, jika saya terbang berseorangan, saya akan pilih AirAsia atau Malindo Air. Faktor utama memang harga. Apatah lagi jika saya perlu terbang dalam tempoh kurang 48 jam. Mustahil dapat tiket promosi. Kalau ada pun, mungkin penerbangan larut malam atau yang pertama waktu subuh.

Purata harga tiket yang saya boleh terima ialah RM180 sehala. Bermakna pergi balik ialah purata RM400 maksimum. Ada masanya, pergi mahal iaitu RM250 tetapi balik murah RM150 tetapi jumlahnya juga RM400. Ini menjadi penanda aras kepada semua jenama MAS, AirAsia dan Malindo Air.

Daripada ketiga-tiganya, MAS muncul nombor satu disebabkan juadah makanannya adalah 'termasuk’ dalam harga tiket. Anda tidak perlu membeli secawan teh berharga RM5 seperti di dalam pesawat AirAsia, contohnya.

2Enggan guna aerobridge

Lagi satu perkara aneh yang masih berlaku dengan AirAsia ialah jika terbang dari KLIA2 dan tiba di Kuching, penumpang harus turun ke landasan kapal terbang untuk naik ke terminal. Begitu juga bila berlepas. Inilah yang disebut sebagai pengurangan kos di pihak AirAsia. Tidak jadi masalah bagi penumpang yang nampaknya tidak merungut terpaksa berjalan di landasan pada waktu hujan lebat.

Oleh sebab aturan di atas, tiap kali saya hendak terbang bersama kedua-dua orang tua saya, maka MAS adalah pilihan semula jadi. Sebermula dari Lapangan Terbang Kuching, perjalanan menggunakan kerusi roda adalah lancar kerana tidak perlu turun ke landasan dan mendaki tangga untuk memasuki pesawat.

3Penerbangan lancar

Setakat ini sepanjang saya berulang alik ke Kuching dari Januari hingga Jumaat lepas, tiada penerbangan yang saya naiki sama ada MAS, AirAsia dan Malindo terbabit dalam penangguhan penerbangan atau pembatalan. Ini adalah suatu kejayaan bagi semua pengendali penerbangan. Saya mungkin amat bernasib baik.

Mahal murah harga tiket adalah perkara yang sesiapa boleh serap atau bayar. Tertangguh penerbangan pula adalah salah syarikat, dan jika kerap berlaku, wajar disenaraihitamkan dan ditular di media sosial.

4. Tempah kerusi

Kemudahan menempah tempat duduk dengan hanya membayar antara RM10 dan RM20 ada masanya bagus dan juga sebaliknya. Bagus kerana boleh pilih ikut kesukaan dan kerusi paling dekat dengan pintu paling disukai.

Yang tidak bagusnya ialah bagi penumpang yang tidak ada akses internet dan membeli di kaunter. Mereka ini terdedah kepada 'letak sesuka hati’ oleh petugas, dan silap-silap, mak duduk depan, anak duduk di belakang dekat tandas. Ini pernah berlaku. Hendak minta tukar suka sama suka pula, amat menyedihkan. Orang suka jika ditukar ke kelas bisnes. Bagaimana kerusi depan tandas?

5. Kekalkan MAVCOM

Apa pun, saya masih berpegang kepada kewujudan sistem aduan yang disediakan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang membolehkan penumpang mendapatkan keadilan jika syarikat penerbangan tidak mengendahkan aduan atau isu yang timbul. Cuma dengar-dengar MAVCOM pun akan dibatalkan penerbangannya tidak lama lagi. Harap-harap khabar angin itu tidak menjadi realiti.