Bezanya bukan kepada soal 'mengurangkan’ tetapi 'mempercepatkan’ waktu operasi. Sebelum menghurai lebih lanjut, Merrepak hari ini tidak bermaksud menyiar salinan memorandum pekeliling dalaman. 
Kalau siar juga, nescaya kena SOSMA. Sebaliknya artikel ini mahu memberi kefahaman khususnya kepada anda sebagai pelanggan atau pihak yang berurusan dengan media massa semasa bulan Ramadan bahawa ada 'sedikit kelainan’. Tidak besar. Kecil saja.

Namun harus ditegaskan bahawa bulan Ramadan bukanlah alasan untuk mempercepat proses kerja yang dikhuatiri menjejaskan kualiti produktiviti. Ramadan sebenarnya menjadi inspirasi untuk terus meningkatkan kualiti kerana masing-masing tahu, jika tertidur semasa bekerja di bulan Ramadan, ia tidak boleh diistilahkan 'comel’ bila dikongsi di dalam Facebook. 

Perkataan paling tepat menimpa mereka ialah 'kasihan’, 'insaflah’ dan 'beratnya puasa umpama budak tadika’.

Secara umumnya, Ramadan juga memberi peluang kepada anda untuk disiarkan artikel disebabkan 'penurunan’ aktiviti sektor awam dan swasta memberi kelonggaran ruang.

Gunalah peluang yang ada ini untuk mengetengahkan profail organisasi anda secara bijaksana berdasarkan lima hal berikut:


1 Deadline

Bermaksud tempoh akhir masa editor menyiapkan halaman yang dipertanggungjawabkan terhadapnya untuk kelulusan 'penjaga pagar’ bagi cetakan.

Waktu biasa ialah 10 malam. Sekarang deadline 7 malam. Kiraannya ialah segala bahan teks mesti siap sebelum 6 petang.

Bermula 6 petang, bahan diserah kepada artis grafik untuk susun letak halaman.

Terjemahannya ialah sebarang kenyataan akhbar yang tiba di meja melepasi 5.30 petang, peratusan peluang untuk disiarkan menyusut ke paras paling kecil. Kita mengerti ada syarikat yang wajib patuh kepada peraturan Bursa Malaysia iaitu selepas 5 petang. Opsyen anda jika melepasi 5.30 petang ialah lupakan siaran esok atau beli slot akhbar.


2 Bahasa Malaysia

Terima kasih atas minat anda untuk mendapatkan siaran di dalam akhbar ini.

Atas sebab itu, anda e-mel kenyataan akhbar, mengutus pesanan menerusi SMS, memberi makluman menerusi WhatsApp.

Tetapi didapati ada satu yang kurang. Kenyataan akhbar itu hanya di dalam bahasa Inggeris.

Kenapa ada kekeliruan ini? Utusan Malaysia bukan akhbar Inggeris.

Ini bukan keliru. Ini tandanya anda malas hendak sediakan teks terjemahan. Ini bermakna anda fikir amat wajarlah bagi orang lain pula menanggung beban kerja anda. 

Cubalah hantar teks bahasa Malaysia kepada akhbar bahasa Inggeris seperti The Star.


3 Meletak syarat

Ada yang menawarkan teks bahasa hanya jika media mengesahkan mahu siarkan. Ini taktik salah. Meletakkan syarat kepada organisasi media untuk mesti siarkan sesudah disediakan teks terjemahan, adalah sesuatu kerja tidak pandai yang harus dijauhi dan dihentikan.

Satu lagi kecenderungan firma ialah mereka tiada bajet mengiklan tetapi sudi memberi tajaan bernilai RM3,000 untuk program CSR. Tahu apa lawaknya? Penajaan itu jadi asas untuk wakil firma mendesak editor siarkan berita setahun lamanya. 

Sudah tentu tidak akan dilayan.


4 Mengungkit sesuka hati

Benar organisasi anda bermurah hati memasukkan iklan di dalam akhbar dan anda fikir amat penting untuk anda mengungkit hal ini kepada editor.

Kononnya, ingatan ini akan mendorong kepada penyiaran pasti berita organisasi anda. Mungkin betul. Mungkin tidak.

Lazimnya, yang berkelakuan kaki ungkit ini nilai iklannya sederhana sahaja dan jarangjarang.

Editor diberi taklimat bulanan oleh sayap pengiklanan berkaitan siapa pengiklan 10 terbesar, 10 paling kerap, firma yang sudah lama tidak mengiklan, firma yang langsung tidak dan paling jelik, firma yang janji setinggi gunung Everest mahu mengiklan tetapi sekadar janji, tiada realiti.

Maka anda tidak perlu ungkit. Editor ada data lengkap dan terkini. Tak manislah anda datang mengungkit. Seolaholah memberitahu editor bagaimana cara untuk membalas budi anda.


5 Iftar

Tiga minggu sebelum Ramadan saya sudah dapat kad undangan majlis berbuka puasa. Ini menunjukkan acara ini menjadi keutamaan dalam kalendar aktiviti semua sektor awam dan sektor swasta. 
Sejak beberapa tahun ini, saya hanya berbuka puasa di hotel sebanyak dua kali.

Ini kerana secara peribadinya, saya amat keberatan untuk memenuhi undangan.

Bukan sombong. Tetapi faktor pertama di atas iaitu mengejar deadline, memerlukan fokus yang besar.

Dan seandainya siap awal sekali pun tugas, saya akan pulang untuk berbuka puasa dengan keluarga.

Jika matlamat anda mahu menjalin hubungan kemesraan perniagaan dengan sesiapa menerusi penganjuran majlis berbuka puasa ini, sila perbetulkan strategi anda. 

Ia juga boleh dilakukan selepas Ramadan. Sebaliknya, berbuka puasalah dengan ahli keluarga anda. Jauh lebih afdal.

Untuk pembaca setia Merrepak, didoakan anda dapat berpuasa dengan tenang dan penuh ketakwaan. Kawallah nafsu bila merancang juadah berbuka puasa agar kita dapat mengerjakan solat tanpa sendawa berirama. 

Selamat menjalankan ibadah puasa, semua!