Perlu diperingatkan, kesakitan yang dialami akhbar ini bukan eksklusif atau khusus kepada kami sahaja, tetapi menyeluruh ke semua akhbar di seluruh negara, bahkan di seluruh dunia!

Faktor-faktor yang menyebabkan permasalahan ini ada pelbagai. Merrepak menggariskan tiga faktor utama yang paling mencengkam iaitu:

Kecenderungan generasi milenium terhadap gajet eletronik sama ada telefon pintar, tablet, komputer dan sebagainya. Mereka tidak gemar membaca buku, majalah apalagi akhbar.

Jika membaca pun menerusi gajet tersebut, kebanyakannya membaca sekerat atau tajuk semata-mata. Tidaklah semua generasi milenium tetapi bagi kelompok yang membaca sampai habis sesuatu teks dianggap spesies terancam dan semakin pupus.

Faktor kedua pula soal bias atau berat sebelah. Hampir keseluruhan akhbar arus perdana dilabel sebagai prokerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. Apatah lagi, bukan suatu rahsia lagi bahawa akhbar arus perdana dimiliki oleh parti pemerintah. Penentang kerajaan ketika itu, secara spesifik memboikot daripada membeli atau membaca akhbar yang tidak memberi slot kepada mereka.

Sebaliknya, penentang kerajaan ketika itu beralih kepada portal berita yang mendakwa diri mereka 'bebas’ atau lebih tepat 'bebas’ mengkritik kerajaan dan bebas mengutamakan parti pilihan editorial portal tersebut.

Kecenderungan generasi hari ini kepada media sosial dan elektronik, mendorong syarikat-syarikat untuk melebihkan peruntukan dana pengiklanan bagi saluran tersebut, sekali gus mengurangkan dana untuk akhbar bercetak. Boikot atas nama politik ke atas media perdana juga begitu kritikal terhadap kedudukan kewangan organisasi media.

Digabung dengan faktor kos operasi mencetak akhbar yang terus meningkat dan dana iklan yang menurun, keadaan ini menghimpit kedudukan kewangan akhbar untuk beroperasi dengan lancar atau melaksanakan program baharu bagi menarik pembaca muda.

Setelah lebih 70 hari kerajaan baharu ditubuhkan ekoran kemenangan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU-14 lalu, industri akhbar berada dalam keadaan yang tidak pernah dialami selama ini iaitu kebebasan melapor kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang.

Ada pihak melemparkan kata-kata sinis bahawa akhbar arus perdana sekarang sudah belot atau melutut lalu memberi ruang kepada pembangkang. Tidak penting sebenarnya. Hakikat sebenar ialah masa telah tiba untuk perubahan. Dan organisasi media arus perdana bukan sahaja sedar pentingnya untuk berubah tetapi juga bersedia berubah, demi pembangunan negara.

Berikut adalah hujah Merrepak mengenai kepentingan akhbar kepada anda dan mengapa anda tidak perlu khuatir kepada kesemua akhbar keluaran Kumpulan Utusan iaitu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad:

1 Kebebasan media

Ketika ada sesetengah pihak terutama yang kuat berdendam berharap agar akhbar arus perdana dimatikan dan dikuburkan segera, tetapi kemenangan PH sebenarnya membawa anjakan yang amat diperlukan sekian lama.

Inilah masanya untuk PH mengotakan janjinya untuk mengembangkan proses demokrasi sebenar, termasuk memberi kebebasan bersuara kepada media, khususnya untuk mengkritik atau menegur kerajaan dalam aspek pentadbiran negara.

Dan jika diperhatikan, kesemua akhbar arus perdana telah melakukan perubahan yang diharapkan. Tidak menyeluruh atau drastik, tetapi beransur-ansur. Yang penting, tiada lagi blackout siaran berita sesiapa.

Berita mengenai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hampir saban hari disiarkan, terutama berkaitan kenyataan rasmi kementerian. Pada masa yang sama, laporan berita mengkritik kenyataan beliau pun ada. Definisi 'keseimbangan’ benar-benar wujud.

Namun ia tidak bermakna akhbar arus perdana mahu melayan kerajaan PH sama seperti di zaman BN berkuasa dahulu. Sebaliknya, pemilihan berita adalah berdasarkan nilai berita itu sendiri.

Secara teknikal, jika kenyataan kerajaan PH dinilai benar-benar berfaedah kepada rakyat, tentu ia akan diberi keutamaan siaran.

2 Mesra PH

Masa akan menentukan sama ada kerajaan PH benar-benar dapat memenuhi janji manifesto pilihan rayanya. Media arus perdana komited untuk bersama-sama rakyat memastikan kerajaan PH berusaha ke arah itu dan mengotakan komitmen mereka.

Untuk mencapai matlamat itu juga, pendirian organisasi media akan berganjak kepada 'mesra PH' dan bukan mencari kesalahan pimpinan PH semata-mata seperti dilakukan oleh portal Malaysiakini dan Malaysian Insight terhadap kerajaan terdahulu.

Dalam erti kata lain, akhbar arus perdana akan menyalakan lebih kuat etika kewartawanan yang dipegang selama ini dan memastikan tiada 'berita palsu’ disiarkan seperti yang rancak berlaku di dalam media sosial.

3 Banyak pilihan

Akhbar arus perdana selain berita politik dan ekonomi, turut menyediakan ruangan seperti sains dan teknologi, perusahaan kecil dan sederhana, sukan, kesusasteraan, hiburan dan banyak lagi. Kepelbagaian ini menjadi suatu tarikan kuat akhbar arus perdana kepada masyarakat.

Ini kerana ruangan seumpamanya sangat terhad atau tiada langsung disediakan oleh portal berita yang menumpu kepada berita politik pada kebanyakan masa.

4 Dokumentasi rasmi

Sesebuah organisasi korporat memenangi anugerah perkhidmatan global misalnya. Ya, ia boleh dikongsi menerusi sedutan berita yang disebar menerusi media sosial.

Tetapi ia tidak sama impak kepada warga kerja yang melihat keratan akhbar laporan kemenangan itu yang ditampal di dinding pejabat, sebagai suatu bentuk dorongan dan motivasi. Hanya akhbar dapat memberi momentum sedemikian kuat.

5 Akhbar sebagai benteng daripada berita palsu

Sama ada anda sudah disedarkan atau tidak, apa sahaja yang anda terima di dalam WhatsApp tidak semestinya sahih, sehinggalah anda mendapat pengesahan 100 peratus.

Begitu juga dengan portal berita, yang satu daripadanya pernah dikesan menukar tajuk berita tiga kali untuk menyesuaikan dengan kehendak pihak berkepentingan. Portal berita pun tidak sahih!

Ini berbeza dengan akhbar. Wartawan arus perdana tidak diajar untuk memetik ayat paling bodoh atau lawak seseorang pemimpin, kemudian dijadikan tajuk berita dan ditular ke seluruh maya untuk diketawakan.

Kini orang ramai memeriksa laman web media arus perdana bagi mendapatkan pengesahan sesuatu bahan yang diterima dari media sosial.

Kerana orang ramai tahu, kaedah pemberitaan tetap berpegang kepada prinsip kewartawanan dan bila berlaku kesilapan, media arus perdana akan bertanggungjawab dan tidak akan menukar tajuk sesuka hati dalam sehari.