Ya, anda tidak baca salah. Cukai adalah antara penyebab jatuhnya kerajaan BN! Ini adalah fakta, bukan main tembak saja. Begitu kuatnya bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada kadar 6 peratus, menghilangkan undi daripada golongan peniaga, terutamanya.

Dan semalam iaitu 1 September, kerajaan Pakatan Harapan kembali menggunakan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Soal sama ada SST akan mengurangkan lagi harga barangan, masa akan menentukan.

Merrepak hari ini tidak akan memberi tumpuan kepada kemungkinan-kemungkinan itu, sebaliknya membentangkan kepada pembaca bahawa jika kerajaan hari ini tidak cermat dalam soal percukaian terutama berkaitan 'harga barangan terus mahal’, mereka juga berisiko senasib dengan kerajaan BN.

Jika sejarah kerajaan BN dengan GST itu tidak dijadikan iktibar, mungkin sejarah peradaban manusia dalam konteks percukaian boleh dijadikan panduan.

Secara umumnya, pelaksanaan cukai telah diamalkan sejak wujud peradaban manusia menggunakan sistem ketua sama ada feudal atau kerajaan.

1. Perang Naning

Fakta sejarah luar biasa berkaitan bantahan rakyat terhadap cukai boleh dilihat pada peristiwa Kebangkitan Naning (1831-1832). Naning hari ini adalah sebahagian daripada Alor Gajah, Melaka. Naning bukan sebuah kerajaan pun tetapi memiliki seorang pemimpin hebat iaitu Penghulu Datuk Dol Said.

Gabenor British, Robert Fullerton telah mengenakan cukai 1/10 daripada hasil ekonomi Naning kepada British. Perang Naning tercetus pada Julai 1831 dengan Dol Said menerima bantuan Rembau berjaya menewaskan askar Sepoi yang dilengkapi dua meriam.

Dol Said, sesungguhnya bukan calang-calang pendekar Melayu yang bangkit melawan kuasa penjajah, memaksa British menggunakan pelbagai cara sehinggalah menawarkan pengampunan kepada Dol Said agar berhenti berperang, berserta pencen dan rumah di Melaka.

2. Revolusi Amerika abad ke-18

Negeri-negeri jajahan British di Amerika menggunakan pelbagai kaedah penentangan cukai terhadap British yang menjadi titik punca Revolusi Amerika iaitu perang kemerdekaan Amerika. Kaedah itu termasuk Boston Tea Party (sabotaj terhadap kapal British), Hal Ehwal Gaspee, dan sebagainya.

Sejarah juga mencatatkan tatkala negeri jajahan itu berjaya dikuasai patriot Amerika, mereka juga berdepan dengan bantahan cukai. Kes di Connecticut pada 1781, cukai diperkenalkan untuk mengumpul dana £288,233 tetapi hanya mendapat £40,000 disebabkan keengganan penduduk menyokong cukai tersebut.

3. Karl Marx, 1848

Semasa tercetusnya Revolusi Jerman pada 1848, golongan elit diraja dan tentera telah menghalang kerajaan pilihan rakyat daripada membentuk kerajaan, mengakibatkan Jerman tidak memiliki kerajaan yang sah. Kesan daripada majlis perwakilan tidak dapat bersidang di Berlin, kabinet Brandenburg tidak berhak melaksanakan pungutan cukai.

Karl Marx, menerusi akhbar miliknya, Neue Rheinische Zeitung, menyiarkan dekri: "Bermula hari ini, cukai dihapuskan! Sesiapa yang membayar cukai adalah melakukan pengkhianat. Keengganan membayar cukai adalah tugas utama rakyat!’’ Marx kemudiannya didakwa di mahkamah kerana menghasut penentangan terhadap cukai tetapi dibebaskan berikutan penerimaan hujah pembelaannya bahawa 'tidak salah menggalakkan penentangan cukai terhadap kerajaan yang tidak sah".

4. Gandhi di India

Kempen pembebasan India dari tangan British oleh Mahatma Gandhi turut merangkumi pelbagai strategi penentangan terhadap cukai. Ini termasuk menyasarkan kepada cukai monopoli ke atas garam dan tekstil. Ini dilakukan dengan menghasilkan garam di luar sistem monopoli dan menenun kain di dalam rumah.

Pada 1930, penentangan cukai tersebut memuncak dengan protes berjalan kaki Salt March oleh Gandhi sejauh 390 kilometer ke Dandi untuk menghasilkan garam laut yang diharamkan oleh undang-undang British.

5. Tragedi Greek

Pada permulaan krisis hutang negara-negara Eropah pada 2011, beberapa kerajaan menaikkan cukai dan melaksanakan langkah berjimat-cermat yang tegas, dalam usaha menurunkan defisit bajet kerajaan dan memenuhi tuntutan agensi pinjaman antarabangsa.

Ia mencetuskan kebangkitan rakyat di , Jerman, Greece dan beberapa negara lagi.Di Greek, semasa kempen pilihan raya 2015, Parti Syriza menganjurkan gerakan penentangan cukai dengan slogan Have Not, Pay Not menyasarkan cukai Enfia.

Tema penentangan cukai ini menjadikan Syriza popular, dan ramai percaya tidak perlu bayar cukai jika menang. Tetapi Syriza sedar dari mana hendak cari dana jika tidak menerusi cukai, maka parti itu terpaksa berpatah balik daripada janji pilihan rayanya.

Bila tidak dapat meraih dana menerusi sistem percukaian, kerajaan Syriza menaikkan harga tiket, caj tol dan utiliti. Pada 2017, dianggarkan 40 peratus rakyat Greek tidak mampu (atau tidak mahu) membayar bil utiliti. Akibatnya, rakyat menentang Syriza. Rakyat berperang dengan pihak keselamatan. Keadaan di Greek menjadi porak-poranda.