Walaupun perbezaan hanya seringgit, adakah para pengguna sedar sebenarnya peniaga terbabit telah melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2012 apabila menaikkan harga ba­rangan demi mengaut keuntungan secara berlebihan.

Sebagai pengguna, kita sebenarnya berhak melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa agar tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan segera terhadap peniaga tamak yang menaikkan harga barang sesuka hati.

Pihak berkuasa tersebut tidak lain dan tidak bukan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selaku organisasi utama yang bertanggungjawab mengawal selia isu-isu kepenggunaan di negara ini.

Sepanjang berada di lapangan, bahagian itu memainkan peranan penting dalam menjaga hak-hak pengguna apabila setiap tahun menerima tidak kurang 19,000 aduan daripada orang ramai.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, bahagian itu telah ditubuhkan secara rasminya pada 17 April 1972 yang bertujuan memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif terhadap pembangunan perdagangan dalam negeri dan perlin­dungan pengguna.

Katanya, dalam meniti usia penubuhan 45 tahun, bahagian itu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan untuk me­laksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dalam memastikan aspek kepenggunaan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“Tugas kami bukan sahaja memantau harga barang atau pencatutan, tetapi juga merangkumi kegiatan cetak rompak, penyelewengan barangan subsidi kerajaan dan pelbagai lagi.

“Peningkatan jumlah penduduk di Malaysia telah me­nyaksikan pertambahan isu-isu kepenggunaan, maka secara tidak langsung peranan kami untuk menggalas amanah penguatkuasaan bertambah besar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika ditanya rintangan masa kini, Mohd. Roslan menjelaskan, cabaran paling besar ialah mendidik kesedaran hak sebagai pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sambil mengingatkan para pengguna agar bijak berbelanja, beliau berkata kesedaran kepenggunaan di negara ini dilihat masih rendah kerana sebilangan pengguna bersikap ambil mudah.

Tegasnya, orang ramai dinasihatkan tidak terburu-buru membeli sesuatu barangan tanpa memeriksa harga serta bahan kandungannya terlebih dahulu.

“Masyarakat hari ini suka mengambil barangan tanpa usul periksa, bila dapat tahu jumlah bayaran, selepas itu baru mereka terkejut mengapa harganya terlalu mahal.

"Sedangkan ada tanda harga, kalau mahal janganlah beli. Bagi pihak penguatkuasaan, kita tidak boleh apa-apa tindakan kerana peniaga telah melakukan tindakan yang betul," katanya.

Katanya, bagi peniaga pula, golongan ini selalunya dikesan menyalahgunakan barangan yang disubsidikan kerajaan dengan menukar isi kandungannya untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda.

“Misalnya, minyak masak peket satu kilogram yang disubsidikan kerajaan ditukarkan kepada bentuk botol lima kilogram, lalu dijual dengan harga lebih mahal.

“Semua ini merupakan masalah dihadapi kami selaku Bahagian Penguatkuasa KPDNKK. Cabaran kena maki, diugut bunuh dan dituduh macam-macam, ini masalah lain tetapi ia tidak pernah melemahkan semangat kami untuk melaksanakan amanah kepada negara,” katanya.

Ditanya mengenai keanggotaan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK seramai 2,600 orang, beliau menegaskan jika dilihat daripada mata kasar memang sukar dan mustahil untuk melakukan tugas pemantauan di seluruh negara bagi memastikan segala aspek kepenggunaan dipatuhi.

Justeru, katanya, kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk menjadi mata dan telinga kerajaan bagi melaporkan segala ketidakpatuhan undang-undang dengan segera.

“Sehubungan itu, saya merasakan kewujudan Friends Of KPDNKK (FOK) adalah tepat pa­danya dengan menjadikan masyarakat sebagai sebahagian daripada kami.

“FOK merupakan satu platform bagi menghimpunkan pengguna di Malaysia untuk tujuan penyebaran maklumat, perkongsian ilmu dan perkara-perkara yang bersifat kepenggunaan.

“Mereka bukan sahaja me­laporkan tetapi boleh menegur para peniaga yang melakukan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Roslan memaklumkan, beliau merupakan antara warga Bahagian Pe­nguatkuasa KPDNKK yang telah menyaksikan pelbagai transformasi dilakukan terhadap organi­sasi tersebut.

Malah katanya, penambahan anggota dan pengenalan pakai­an pakaian seragam merupakan antara elemen baharu bagi memantapkan imej bahagian tersebut seperti badan-badan penguatkuasa lain.

“Selain itu, aspek teknologi diambil kira dengan mewujudkan Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) selaku pusat sehenti aduan daripada media sosial dengan tindakan segera diambil menerusi satu unit lain iaitu Skuad Khas,” jelasnya.

Pada masa sama bagi meraikan ulang tahun penubuhan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK ke-45 tahun, Mohd. Roslan berkata, satu majlis sambutan khas diadakan di Maktab Penjara Kajang pada 18 April ini yang bakal disempurnakan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bertemakan, Menjunjung Aspirasi Negaraku, beliau berkata, pelbagai program telah dirancang bagi menjadikan sambutan ulang tahun Bahagian Penguatkuasa KPDNKK penuh bermakna.

“Antaranya konvensyen KPDNKK, program kerohanian, aktiviti sukan dan sumbangan kepada balu atau keluarga warga yang meninggal dunia semasa bertugas,” jelasnya.