Bekas Ketua Pengarah Biro Tatanegara yang gemar membaca itu berharap saya turut menelaahnya, dan menulis sedikit apa yang terkandung dalam naskah bercorak akademik itu untuk perhatian umum sempena ketibaan bulan Rejab.

Buku itu sekurang-kurangnya mengingatkan tentang 4 Rejab, bukan sekadar salah satu tarikh melengkap lembaran hari-hari sepanjang tahun tanpa hari kelepasan yang dinantikan untuk bercuti.

Dan barangkali adalah lebih baik Terengganu memberikan lebih makna kepada tarikh itu untuk ditandai, di bulan mengikut takwim Islam sebagai salah satu bulan daripada empat bulan yang dimuliakan, berlakunya peristiwa Israk Mikraj apabila Rasullulah diangkat ke langit menerima perintah Allah.

Buku itu menyentuh tentang sebongkah batu, sumber persejarahan Islam yang terpahat, tentang agama itu yang bertapak di di negeri ini lebih 100 tahun mendahului Melaka dan 150 tahun sebelum berjejak di Istanbul dan pemerintahan Islam itu bermula lebih 300 tahun sebelum Amerika Syarikat merdeka pada tahun 1776.

Buku Tarikh Sebenar Batu Bersurat Terengganu
 

Tulisan ilmuan ulung negara, Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang diterbitkan pada tahun 1970 dalam Bahasa Inggeris telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu pada tahun 2015 berjudul Tarikh Sebenar Batu Bersurat Terengganu, setebal 95 halaman.

Buku yang menjadi salah satu bahan rujukan di pusat pengajian tinggi turut dimuatkan dengan pengenalan dan nota penjelasan agak panjang, diusahakan oleh Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman, pensyarah dari Centre of Advance Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia dan Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) Kuala Lumpur.

Dalam pengenalannya, Muhammad Zainiy yang turut menemu bual Syed Muhammad Naquib, menyifatkan tokoh itu membuat penemuan penting dan bersejarah dengan mengesah dan membuktikan tarikh terpahat pada batu itu - 4 Rejab 702/22 Febuari 1303 merupakan tarikh sebenar, sekali gus menepis keraguan yang ditimbulkan oleh pakar-pakar pengkaji Barat.

Dengan hujah-hujah berdasarkan kaedah penulisan khat, falak, al-Quran, Bahasa Arab, kesusasteraan Barat, budaya orang Islam, pemikiran santifik dan falsafah serta melalui pemerhatian ilmiah, beliau berusaha memecah kebuntuan yang sekian lama menggelapkan persejarahan Islam di Terengganu.

Syed Muhammad Naquib, ilmuan pertama yang mengenal pasti tarikh sebenar artifak itu telah berjaya menyelesaikan kekusutan, menolak kedangkalan ilmu para Orientalis, pengkaji alam Melayu yang terperangkap dengan jerangkap skeptisisme yang ditebarkan ke atas bukti sejarah.

Skeptisme itu memudaratkan lagi nilai batu bersurat apatah lagi makna yang terkandung dengan ungkapan tulisan Arab dan Jawi hanya sekadar sedap didengar, semakin lenyap dalam lipatan sejarah, menjejaskan kepentingannya sehingga semakin dilupakan atau terus dipersoalkan.

Justeru penemuan berasaskan kajian tokoh itu mendalam terhadap batu jenis granit gneisik dengan pahatan huruf dipermukaannya itu sangat penting kerana ia mempengaruhi secara langsung penulisan sejarah Islam di rantau ini.

Beliau (Syed Muhammad Naquib) melalui penyelidikannya telah memberikan makna sebenar dan gubahan semula rangkai kata - rangkai kata yang terpahat untuk meleraikan kekeliruan dan mudah difahami dan serta sebutan perkataan termasuk ‘Saratan’ yang sepatutnya disebut ‘Sharatan’ bagi membawa pengertian.

Begitu juga salah terjemahan ‘adi pertama ada’ yang sepatutnya bersambung dengan perkataan ‘Jumaat di bulan Rajab’ bagi membawa erti Jumaat pertama di bulan Rejab yang menyebabkan semua pengiraan para Orientalis tidak sepadan dengan kiraan hari dan juga dengan hari Jumaat pada bulan tersebut.

Syed Muhammad Naquib, dengan berpandukan al-Quran, merujuk Sharatan kepada gugusan bintang yang berbentuk kambing, salah satu daripada 28 tempat kedudukan di langit yang dikenali sebagai tempat bulan berhenti (Manzil al-Qamar).

Malah syair Chaucer (The Canterbury Tales) yang hidup sekitar 1300 Masihi yang turut menyentuh dua tanduk kambing (nama bagi Sharatan), kerana penyair itu telah dapat melihat buruj-buruj tersebut di kaki langit yang sudah tentu memayungi seluruh dunia termasuk langit Terengganu ketika itu.

Menurut Muhammad Zainiy, tarikh yang ilmuan itu simpulkan dengan perkiraan tangan tanpa alat kalkulator atau komputer pada tahun 1970 telah disahkan betul dan tepat dengan alat perisian astronomi pada tahun 2010.

“Malah untuk memastikan saya telah mendapat kebenaran Pengarah Pusat Sains Terengganu, Dr. Zaki Mohd Said untuk menggunakan kemudahan planaterium di pusat tersebut untuk memastikan kedudukan bulan dan buruj Aries pada tarikh dan tahun berkenaan di langit Terengganu.

“Apabila dimasukkan tarikh 22 Febuari 1303 ke dalam sistem berkomputer planetarium dan ditayangkan keadaan langit selepas matahari terbenam, kedudukan bulan jelas berada tepat di buruj Aries atau Sharatan,”ujar Muhammad Zainiy.

Sebongkah batu itu yang replikanya menghiasi bulatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu sebenar satu catatan medium ilmu alam Melayu, menzahirkan elemen-elemen ketamadunan agak menyeluruh yang tercipta termasuk tentang penyebaran Islam dan anutan masyarakat negeri ini dengan Rasulullah sebagai contoh model yang wajib diikuti.

Ia turut memperlihatkan tentang peranan pihak berkuasa untuk menegakkan agama selain memiliki sistem pentadbiran, politik, perundangan dan keadilan sosial di samping pengetahuan ilmu falak, matematik dan penggunaan sistem kalendar Islam.

Malah ia juga membuktikan bangsa Melayu ketika itu telah memiliki perbendaharan kata tersendiri dengan sistem tulisan tulisan Jawi dengan kesan pengaruh Hindu dan serapan Bahasa Arab, kepandaian mengukir di samping tentang berlakunya aktiviti perdagangan dan hubungan dengan dunia luar. Ia bukan sekadar sebongkah batu.