Namun bagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, sudah menjadi rahsia umum dalam politik negeri itu angka berkenaan adalah sasaran Barisan Nasional (BN) Melaka dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Yakni, menyasarkan 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), empat milik pembangkang, manakala lima kerusi Parlimen difokuskan meninggalkan cuma satu kerusi untuk pembangkang. Ketika ini komposisi kerusi DUN ialah BN (21) dan tujuh pembangkang (tiga Bebas, tiga DAP dan satu Pas) sementara empat kerusi Parlimen dimiliki BN dan pembangkang (dua).

“Angka-angka ini bukan secara tiba-tiba datang atau plucking from the air tetapi setelah ambil kira senario politik hari ini apabila keadaan pembangkang kini berterabur..., tak berstruktur.

“Contohnya di DUN Bukit Baru, ada pemimpin pembangkang sudah umum calon secara sendiri sedangkan ini tak berlaku dalam BN yang amalkan kerukunan parti,” kata beliau kepada Tumpang lalu di Rumah Melaka, Jalan Bellamy di ibu negara Khamis lalu.

Banyak perkara diperbualkan Idris dengan Tumpang lalu yang turut disertai kru berita Bernama dari Ibu pejabat Kuala Lumpur dan Melaka.

Dan Tumpang lalu sempat memetik ‘peluru’nya yang dilontarkan terhadap pembangkang, harapannya kepada jentera BN negeri dan panduan yang dikongsi beliau dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini, antaranya:

Amaran buat si hipokrit parti

Di DUN Duyong semasa PRU-13, BN kalah 273 undi yang bermakna jika diamati separuh daripada itu - 136 undi - ia bermaksud jumlahnya hanya merangkumi ahli parti dalam satu cawangan. Di DUN Bukit Baru, BN tewas 47 undi iaitu jika diambil separuh, hanyalah 23 undi dalam satu keluarga.

Ini bermakna dalam PRU-13 tempoh hari, ada pihak (dalam UMNO/BN) tak senang hati de­ngan calon yang ditampilkan sehingga menyebabkan undi rosak.

Dan kita tahu siapa mereka. Di pusat daerah mengundi (PDM) itu, kita tahu ada unsur sabotaj, dengki dan kempen menentang parti sendiri.

BN menolak unsur hipokrit sebegini. Sepatutnya selepas tahu nama calon yang dipilih pucuk pimpinan, ketepikanlah segera perbezaan itu dan bekerja menangkan parti.

‘Kelibatnya’ tiba-tiba muncul di Bukit Katil

Kekalahan BN di kerusi Parlimen Bukit Katil dalam PRU-13 itu suatu correction walaupun jumlah undi ‘Tok Ali’ tewas itu 5,447 undi.

Tak sepatutnya BN kalah di situ kerana yang buat kerja bantu rakyat selama ini ialah jentera BN. Peliknya wakil pembangkang terbabit tiba-tiba muncul semula di situ baru-baru ini seolah-olah dia buat kerja sepanjang musim.

Dikatakan dia mendakwa ‘kerjanya bercakap di Parlimen’ atau jadi ‘jurucakap’ untuk penduduk Bukit Katil tetapi hairannya yang membela rakyat dan selesaikan masalah mereka ialah wakil UMNO. Nampak ada kekesalan pe­ngundi pilih wakil rakyat macam ini.

‘Soh Chin Aun, Shukor Salleh, Santokh’ lincah main bola lagi?

Hairan mengapa pembangkang masih mahu ‘pakai’ lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad dan berketuakannya untuk berdepan dengan BN. Persoalannya, bolehkah Dr. Mahathir ‘main bola macam dulu’ andai Chin Aun, Salleh, Khalid Ali atau Santokh pun mahu kembali lincah sekarang seperti mana era kegemilangan mereka pada 1970-an dan awal 80-an?

PPBM junior yang lawan tauke?

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) paling junior dalam Pakatan Harapan, tapi tindak tanduknya perlihatkan seolah-olah parti itu ‘tak ukur baju di badan sendiri’. PPBM masuk ke dalam pakatan pembangkang yang disertai parti-parti (DAP, PKR) yang telah lama berkubang dalam arena politik negara, namun tiba-tiba PPBM nak take over. Marahlah mereka.

Dan pembangkang sebenar­nya ketandusan pemimpin untuk jadi ‘kepala’ mereka. Mengapa tiba-tiba pula calonkan Dr. Mahathir sebagai ‘Perdana Menteri sementara’, manakala Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bukankah kedua-duanya ini dahulunya produk UMNO? Jadi, benarlah selama ini keputusan rakyat memilih BN sebagai pe­neraju kerajaan.

Keluarga, anak beranak Dr. Mahathir kaya melampau?

Dalam tempoh 22 tahun ber­kuasa sebagai Perdana Menteri, takkanlah buta mata semua orang dengan kekayaan terlampau dimiliki anak-anaknya.

Kalau boleh beli sebuah kereta berharga RM9 juta, beli kilang arak dan lain-lain, maka tentu pelik daripada mana puncanya?

Dikatakan kediaman Datuk Seri Mukhriz Mahathir sahaja dikawal oleh guard yang melibatkan pertukaran giliran dalam tempoh jam tertentu. Agaknya ini penyebab kos sara hidup tinggi sekarang kesan daripada kesemua anak Dr. Mahathir mengecap kemewahan belaka.

Ini ‘kos gaya hidup’...

Kepayahan hidup ketika kanak-kanak banyak mengajar Idris untuk hidup berdikari dan berusaha lebih gigih demi menjadi insan berjaya.

Istilah ‘kos sara hidup’ terjadi disebabkan kos gaya hidup - belanja di luar kemampuan. Katakan gaji anda kira-kira RM2,000 sebulan tetapi anda belanja sebanyak RM4,000 sebulan.

Semasa Idris menjadi penolong jurutera/jurutera di LLN (Lembaga Letrik Negara) dengan gaji kira-kira RM3,500 sebulan, beliau amalkan perbelanjaan berhemat. Hanya beli kereta Proton second hand.

Beliau juga berkira-kira ketika mahu beli pakaian pejabat, itu pun di pasar raya Billion, Kajang iaitu setiap sehelai berharga RM11.90. Apabila LLN diswastakan, lagi jimatlah Idris kerana diberi uniform (tak perlu beli baju baharu).

Bukan sahaja Idris, turut terima ‘tempias’ kesan ekonomi masa itu ialah isterinya yang juga pegawai bank.

Isterinya turut mencari pendapatan sampingan dengan menjual pampers atau lampin pakai buang bayi. Jadi, pesan Idris... jangan terperangkap dengan ‘kos gaya hidup’.