Empat PRK terawal menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi dan mendominasi keempat-empat kerusi berkenaan di mana kesemua kerusi tersebut juga dimenangi gabungan itu pada PRU-14. Sementara PRK Parlimen Cameron Highlands pula, Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas PH dalam misi kemaraan kuasa mereka. Kesemua PRK terawal ini menyaksikan pengekalan status quo hasil daripada keputusan PRU-14.

PRK DUN Semenyih hadir setelah berlakunya keputusan 4-1. Mungkin jika dijadikan sebagai sebuah analogi sepertimana mana dalam perlawanan bola sepak, bilamana sesebuah pasukan yang ketinggalan 0-4 sebelumnya, apabila berjaya membuat jaringan pertama, telah menaikkan semangat juang pasukan yang ketinggalan itu untuk terus mendapatkan jaringan seterusnya sehingga berjaya mengatasi pasukan lawan atau setidak-tidaknya mengikat kedudukan. Demikianlah senario yang terjadi pada PRK DUN Semenyih kali ini.

Kejayaan eksperimen politik menerusi kerjasama secara lebih teratur antara BN-Pas pada PRK Parlimen Cameron Highlands menjadi sumber kebangkitan semangat ini di Semenyih. Di sebalik kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa partinya tidak menyokong BN pada PRK ini (sejurus selepas bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad), namun realiti yang berlaku di mata pemerhati politik memperlihatkan kerjasama ini tetap terus berlaku bahkan lebih kukuh berbanding di Cameron Highlands.

BEZA PRK SEMENYIH-CAMERON HIGHLANDS

Selain berbekalkan strategi kempen ofensif yang menyerang kerajaan PH khususnya dalam isu kegagalan menunaikan janji manifesto PRU-14, BN mempertegaskan kerelevanan penambahan wakil pembangkang di DUN Selangor dalam memperkukuhkan check and balance di samping meniup semboyan Melayu-Islam yang dikatakan sudah diinjak DAP dan sekutunya.

Sungguhpun demikian, PRK Parlimen Cameron Highlands tidaklah dapat disamakan dengan PRK DUN Semenyih. Perbezaan ketara ini terlihat dari beberapa aspek seperti demografi pengundi, status kawasan, kerajaan negeri, dan latar belakang pendidikan pengundi.

Demografi pengundi

Parlimen Cameron Highlands disifatkan sebagai kawasan rencam atau campuran. Komposisi pengundi adalah Melayu 34 peratus, Cina (32), India (12), Orang Asli dan lain-lain (21). DUN Semenyih pula merupakan kawasan majoriti Melayu yang merangkumi 68 peratus daripada keseluruhan pengundi dan Orang Asli pula dua peratus.

Status kawasan

Proses urbanisasi dan pembangunan pesat sejak sedekad lalu mengakibatkan Semenyih menjadi kawasan semiurban. Biarpun wujud kampung-kampung tradisi khususnya di bahagian timur dan selatan DUN ini, namun diseimbangkan dengan taman-taman perumahan baharu. Berbeza dengan Cameron Highlands, pembangunan di sana tidaklah serancak sepertimana di Semenyih. Justeru, Cameron Highlands dianggap sebagai kawasan luar bandar. PRU-14 menyaksikan bagaimana kawasan bandar dan separa bandar didominasi PH, begitulah sebaliknya. Oleh itu, PRK Semenyih ini menjadi indikator pasca PRU-14.

Pendidikan pengundi

Kesan pembangunan rancak di Semenyih meningkatkan bilangan golongan kelas menengah yang ‘celik politik’ dan sukar dimanipulasi dengan dakyah politik murahan. Pastinya majoriti pengundi di sini lebih bersikap terbuka, tidak beremosi dan amat sensitif dalam membuat pertimbangan politik lokal dan nasional berpandukan fakta dan data di samping terdedah dengan akses maklumat pantas. Perkara ini berbeza sekali dengan pengundi di kawasan luar bandar (dari segi bilangan) termasuk di Cameron Highlands.

Kerajaan negeri

Perbezaan teraju kepimpinan negeri juga membezakan antara kedua-dua PRK ini. Cameron Highlands terletak di Pahang yang dikuasai BN. Berdasarkan fakta, hanya Pahang dan Perlis merupakan negeri yang gagal ditawan mana-mana parti politik selain Perikatan/BN sejak negara mencapai kemerdekaan. Sementara PRK DUN Semenyih berlaku di Selangor yang dikuasai PH sejak PRU 2008 atas nama Pakatan Rakyat. Justeru, berdasarkan perkembangan politik terkini, Semenyih dijangkakan menjadi medan tempur politik paling sengit pasca PRU-14 ini.

MIKRO-GEOPOLITIK

Selain perbandingan antara kedua-dua PRK ini, terdapat beberapa aspek menarik untuk dianalisis pada PRK DUN Semenyih. Pertama, dari aspek mikro-geopolitik. DUN Semenyih terbahagi kepada dua kategori iaitu kawasan membangun dan kawasan penempatan tradisi. Kawasan membangun bertumpu di kawasan tengah, barat dan barat laut sementara kawasan penempatan tradisi pula kebanyakannya di sebelah selatan, timur, timur laut dan tenggara. Secara umumnya, kawasan tradisi lebih menampakkan sokongan terhadap BN berdasarkan bilangan pondok yang didirikan di Pusat Daerah Mengundi (PDM), bendera yang dipasang di rumah dan jumlah orang serta kemeriahan di pondok-pondok yang dibangunkan. Namun, di kawasan perumahan baharu menunjukkan keadaan sebaliknya.

Kedua, isu-isu yang dibangkitkan oleh pengundi-pengundi dari kedua-dua kawasan dilihat ada sedikit berbeza. Kawasan tradisi lebih menekankan soal pembangunan termasuklah dari segi penambahan, baik pulih dan menaiktaraf kemudahan infrastruktur. Bagi kawasan baharu pula lebih menekankan aspek keselamatan, usaha membanteras jenayah dan isu pendatang asing. Namun, kedua-dua kelompok ini berkongsi dalam isu kos sara hidup, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam dan isu kepadatan murid sekolah.

‘ANAK SEMENYIH’ LAWAN ‘ANAK BERANANG’

Ketiga, PRK ini juga wujud seolah-olah sentimen ‘anak Semenyih’ lawan ‘anak Beranang’ berdasarkan faktor asal usul calon. Calon BN, Zakaria Hanafi merupakan anak jati Beranang sementara calon PH, Muhammad Aiman Zainali dikatakan berasal dari Kampung Pasir, Semenyih. Kedengaran juga cakap-cakap seperti waris den (merujuk kepada Zakaria) di mulut-mulut pengundi khususnya di Beranang dan kawasan sekitarnya.

Justeru, kesemua faktor ini bakal mewarnai keputusan PRK DUN Semenyih selain isu nasional dan politik khususnya tumpuan 24 jam terakhir sebelum hari mengundi esok di samping kemantapan jentera parti politik, strategi kempen dan perang saraf parti-parti dan calon bertanding khususnya bagi menarik pengundi atas pagar.

Walau bagaimanapun perlu diingat, calon PH tidak mendapat jalan mudah untuk menang pada PRK kali ini dengan kerjasama utuh antara BN-Pas yang dijangkakan mampu menarik sebilangan besar pengundi Melayu. Begitu juga bagi calon BN, peluang untuk berjaya tidaklah begitu selesa sepenuhnya memandangkan mereka bukan sahaja berhadapan dengan strategi kekuatan jentera negeri bahkan di peringkat Pusat. Akhirnya kebijaksanaan pengundi jugalah yang bakal menentukan segalanya kerana mereka adalah king maker.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).