Tidak banyak menampakkan ‘penyelesaian’ (solution) dalam hal-hal politik dan pentadbiran negara. Kononnya atas alasan peralihan kerajaan baharu sejak Mei tahun lalu. Suasananya semacam dalam ‘alam peralihan’. Dikatakan bahawa, kedua-dua pihak baik kerajaan mahu pun pembangkang masih belum mahir di mana sebenar ‘duduknya mereka’.

Yang hadir kepada masyarakat saban hari berlegar dengan hal ehwal politik yang ‘tak sudah’. Ada percaturan di peringkat kepimpinan, masih wujud kem dan kroni sehingga ke peringkat ‘perhitungan’ siapa bakal mengambil alih kerusi Perdana Menteri kelapan.

‘Jeling-menjeling’ terhadap bilangan kerusi Parlimen yang dimiliki antara parti dalam pakatan politik kerajaan juga mempengaruhi keadaan. Hal ini turut membabitkan soal pelantikan barisan kepimpinan dalam kerajaan sehingga ada ruang yang dapat ‘dibaca’ oleh rakyat umum sebagai ‘keterpaksaan’ memandangkan sesetengahnya dianggap tidak sesuai berada di jawatan-jawatan tertentu atau di kementerian-kementerian tertentu.

Ditambah pula dengan isu lompat parti. Ramai wakil rakyat UMNO melompat parti, sama ada tersangkut sebagai wakil bebas atau terus menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Pastinya, mereka ada sebab tersendiri bertindak demikian. Mereka tidak mengambil endah sangat cemuhan rakan-rakan seperjuangan dan rakyat yang pernah mengundi mereka. Selesakah mereka sebenarnya?

Semakin terbuka pula kalangan sesetengah pihak cuba ‘mengasak’ dan memaparkan agenda memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing, walau pun menyentuh unsur-unsur yang bertentangan dengan ketetapan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Institusi-institusi eksklusif Islam dan Melayu juga cuba ‘diusik’.

Timbul ‘kegelisahan dan keresahan’ dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu apabila hak dan keistimewaan serta ‘privasi’ mereka sudah diganggu dan dicerobohi. Mereka yang tanpa mengira anutan politik kepartian sudah menzahirkan kebangkitan memprotes segala ‘gangguan’ ini secara sekata atas nama kepentingan ummah.

Kini, bukan lagi mudah bagi orang Melayu meyakini sebarang kenyataan untuk kononnya memelihara dan menegakkan hak serta kepentingan mereka. Wujud persepsi kurangnya keyakinan itu apabila mereka melihat banyak kes membabitkan kepentingan orang Melayu tidak ditangani dengan adil dan berkesan.

Sementara dalam urusan pentadbiran kerajaan juga ada dilihat sebagai tidak konsisten. Ada dasar dan program kerajaan terdahulu dicemuh, kemudian diakui relevan, lalu diteruskan seperti sebelumnya walau pun jenamanya diubah. Maka, ada suara-suara sindiran yang menganggapnya sebagai ‘salinan semula’ (copypaste).

Ada dasar-dasar dan penumpuan kerajaan yang dianggap tidak menepati keutamaan. Keadaan demikian berlaku di beberapa kementerian. Sepatutnya tumpuan diberi bagi menampilkan dasar atau idea baharu yang lebih pragmatik dan realistik. Perlu dibuktikan bahawa apa yang ‘dikritik’ selama ini dapat digantikan dengan sesuatu yang baharu dan lebih baik. Itu harapan rakyat sebenarnya.

Aspek pemupukan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dilihat kurang berkesan.

Rakyat bagaimanapun berterima kasih atas ketegasan pucuk pimpinan negara sehingga membuatkan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan sendiri, sudah mula ‘beralah’ dengan menyatakan kesanggupan untuk mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan seperti pekebun kecil getah, nelayan serta para peneroka Felda.

Walaupun sebelum ini dikaitkan pelbagai alasan, termasuk kononnya kerajaan ‘tidak mampu’ menghulur bantuan kepada golongan berkesempitan, akhirnya ada juga habuan diberikan termasuk untuk golongan pelajar-pelajar miskin memulakan persekolahan di tahun baharu ini. Elok jika dibuat kaji selidik bagi mengetahui suasana sebenar kehidupan rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Apa pun alasan, rakyat tetap ‘menagih’ janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH) yang sedang menerajui negara ketika ini. Antaranya termasuk meringankan kos sara hidup, penurunan harga petrol, memudahcara bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pemansuhan hutang peneroka Felda dan banyak lagi.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.