Ucap selamat tahun baharu itu tentunya menyorot kepada seribu satu harapan untuk hidup lebih bahagia dan sejahtera.

Rakyat tahu 2018 adalah tahun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang wajib diadakan sebelum Ogos 2018.

Pengundi yang berjumlah lebih 14 juta orang merupakan pemilih lama dan baru yang punya aspirasi berlainan bergantung kepada usia, komuniti, agama, budaya dan citarasa masing-masing.

Ramai dalam kalangan pengundi lama yang mahu membalas budi Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang begitu banyak menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka.

Dalam pada itu sekian ramai pula yang tak kisah apa-apa, meliuk seperti lalang – mengikut tiupan angin. Golongan yang satu lagi berusia muda, mereka idealistik dan mahu maju mengikut kompas sendiri.

Golongan-golongan ini sama-sama membawa ungkapan selamat tahun baharu tetapi matlamat dan aspirasi mereka ditentukan lopak dan ruang masing-masing.

Secara politiknya kompas mereka adalah isu-isu nilai dan kehidupan.

Lebih lima juta pengundi golongan muda ini tidak memahami perjuangan atau kemerdekaan lantaran merdeka itu pada mereka hanya sekadar angka 1957 dengan gambar Tengku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak yang membawa imbasan wajah dan sejarah sampingan.

Ada pula golongan ‘maha’ yang menganggap diri mereka sebagai pencorak hidup rakyat justeru menggertak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak letak jawatan susulan isu-isu 1MDB, GST, lonjakan kos kehidupan, pengaruh korporat dari China dan lain-lain.

Apabila didapati UMNO kian bersatu dan teguh di bawah pimpinan Najib, kumpulan ‘maha’ ini mengalihkan tenaga mereka kepada PRU-14.

Ungkapan Selamat Tahun Baharu 2018 membawa pelbagai implikasi dan pengertian yang sarat dengan aspirasi masing-masing.

Rakyat tahu, kini kuasa di tangan mereka. Pendidikan yang diberi kerajaan BN selama ini membolehkan mereka membuat perhitungan sendiri.

Budi mana yang harus dibalas budi, budi mana yang harus dibalas tuba. Saat ini isu-isu dan perkembangan 2017 akan mempengaruhi hasil PR-14.

Isu-isu berikut sentiasa disebar luas terutama dalam media sosial dan ceramah pembangkang: kos kehidupan yang melambung tinggi, 1MDB dengan pelbagai isu ekonomi dan implikasi undang-undangnya, dan GST yang dialami sebagai beban tambahan.

Mereka turut sama menyebar isu tol lebuh raya, skandal hartanah Felda, kemaraan syarikat-syarikat korporat komunis China dan seterusnya isu-isu lanjutan seperti lemahnya penguatkuasaan undang-undang, kurang disiplin di sekolah dan gelagat beberapa golongan pimpinan.

Dunia politik Malaysia kini sedang bergelora dan bergelombang tinggi. Masing-masing parti mahu menang dalam PRU-14.

Ramai Yang Berhormat (YB) sering bertanya dalam hati: “Mungkinkah aku dipilih sebagai YB sekali lagi?”

Yang sedang jadi pemimpin seperti menteri, timbalan menteri, menteri besar, ahli exco dan lain-lain ingin tahu sama ada diberi amanah lagi untuk bertanding dan bergaya?

Semua ini sememangnya bergantung kepada kaedah penilaian khidmat yang sedia ada.

Seseorang YB, tak kira apa jawatannya, perlu lulus ujian keluhuran jiwa, bersih rasuah, prihatin dan berkesan membawa kesejahteraan. Ia juga tertakluk kepada prestasi kerja, keterampilan khidmat, berjiwa rakyat atau hanya pura-pura berjiwa rakyat.

Laporan songsang

Seharusnya 2018 menuntut supaya wakil rakyat terdiri daripada calon mudah menang atau apa yang disebut winnable candidate.

Sebahagian golongan ini sudah diketepikan pada musim pemilihan calon 2013 akibat laporan songsang.

Isu tol touch n go ialah legasi pemerintahan Tun Dr. Mahathir. Tol baru boleh melahirkan sentuh dan jalan dengan kadar jauh lebih rendah daripada yang ada kini.

Ubah suai levi tol di Semenanjung sudah tentu membawa impak pengundian positif buat BN.

Misalnya RM12 bilion yang dikutip sebagai cukai jalan dan insurans lalu lintas harus boleh digunakan untuk mengurangkan kadar tol ke paras paling menarik.

Lemparan tuduhan kononnya ada pilih kasih terhadap korporat China di beberapa pelabuhan dan tanah Lapangan Terbang Sungai Besi serta Forest City di Johor harus keterampilan dan dihurai demi ketelusan.

Inti serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad kini hanya terjurus kepada kemahuannya supaya Najib digulingkan atas dakwaan “penyangak, penyamun, perompak”.

Tohmahan serius ini sebaik-baiknya dipatahkan dengan saman malu di mahkamah keadilan. Membiarkannya akan menghantui ‘condong membawa rebah’.

Setakat ini tiada penjelasan yang dianggap komprehensif daripada parti atau kerajaan khasnya tentang isu 1MDB.

Pendekatan paling berimpak positif PRU-14 ialah melunaskan siasatan terhadap Jho Low dan peranannya.

Membiarkan hanya Jabatan Keadilan Amerika, Singapura dan lain-lain negara menjalankan lunas undang-undang tidak membantu imej Malaysia sebagai pengamal prinsip keluhuran undang-undang atau rule of law.

Kesanggupan Peguam Negara dalam aspek ini boleh melonjakkan capaian positif 2018.

Keyakinan BN menang PRU-14 banyak dilandaskan oleh suasana Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Jumlah 86 kerusi UMNO di Dewan Rakyat tidak harus dijangka berterusan lantaran asakan Parti Bersatu Pribumi dayungan Tun Dr. Mahathir, dan entiti sekutunya.

Jika kerjasama UMNO, Pas dapat dimantapkan, akan cerah bagi UMNO namun MCA, MIC dan Gerakan sudah terasa kesan negatif bagi mereka.

Dewasa ini MCA hanya beroleh tujuh kerusi Parlimen, MIC tiga dan Gerakan dua.

MCA mesti membandingkan capaiannya dengan DAP yang ada 36 kerusi manakala MIC dan Gerakan pula perlu membandingkan kedudukan dengan capaian Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menduduki 28 kerusi.

Perkembangan di Sabah dan Sarawak dengan jolokan ‘simpanan tetap’ buat BN memerlukan olahan baharu memandangkan isu 20 tuntutan masih berlanjutan dan diapi-apikan oleh Parti Warisan Sabah dan sekutu mereka di Sarawak.

Apa-apa kemungkinan negatif UMNO di beberapa kawasan di Johor, Kedah, Selangor dan Perak akan dapat ditingkatkan dengan komitmen baru BN.

Terbaik juga jika senarai calon ditadbir awal supaya cukup masa mengubat penyakit merajuk.

Muka baru dan darah muda memang perlu tetapi harus diterima hakikat – tiada lama tiada baru. Kombinasi bakat dan kebolehan kedua-dua golongan amat relevan.

Capaian dalam bidang-bidang pelajaran dan pembelajaran, pembangunan luar bandar, pembelaan 1Malaysia di bawah BR1M, Kedai 1Malaysia Klinik 1Malaysia, curahan dana pembangunan bagi Sabah dan Sarawak – antara lain-lain perlu gendangan media.

Setiap Jawatankuasa Kemajuan Kampung JKK wajar punya program Membalas Budi Kerajaan BN. Tak kenal maka tak cinta – bidalan ini masih relevan.

Suatu realiti ialah tiadanya jentera yang melewarkan penerangan dengan justifikasi yang meyakinkan. Imej membela rakyat tampak kian terpinggir lantas menimbulkan prasangka yang bukan-bukan.

Bantuan Rakyat 1Malaysia paling berkesan dan melonjakkan imej prihatin Kerajaan BN. Tetapi projek-projek kemanusiaan kerajaan seperti Kedai 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia, Skim Perumahan Nasional dan beberapa yang lain memerlukan penggilapan baru untuk mencapai tahap terhutang budi.

Tahun 2018 amat layak dianggap sebagai hadiah hidup sejahtera tahun baharu.

Selamat Tahun Baharu Malaysia.

n Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah Penasihat Hal Ehwal Sosiobudaya Kerajaan Malaysia