Ia memandangkan pada 2018, rakyat Malaysia sekali lagi akan diberikan mandat untuk menentukan kerajaan melalui Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bila PRU tersebut akan diadakan ia terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menentukannya. Apa yang pasti keputusan oleh rakyat akan menentukan hala tuju negara seterusnya. Oleh itu keputusan tidak boleh dilakukan dalam keadaan beremosi apatah lagi menganggap ia medan ujian.

Menilai harapan yang dilontarkan oleh rakyat melalui media-media sosial dan media arus perdana, ternyata majoriti rakyat negara ini mahu tahun 2018 terus membawa kemakmuran kepada negara, keamanan dikekalkan manakala kos hidup rakyat dita­ngani termasuklah mencipta le­bih banyak peluang pekerjaan.

Tetapi apakah semua itu mampu dicapai atau dilakukan jika pada tahun 2018 mahu dijadikan medan untuk melunaskan dendam politik mana-mana individu?

Apakah segala impian itu akan terlaksana jika negara ini ‘diserahkan’ kepada sekelompok parti politik yang sudah terbukti membentuk satu pakatan semata-mata hanya mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada?

Sememangnya kita akui ada perkara yang perlu dilakukan dan diperbaiki oleh kerajaan, malah kita juga harus berjiwa besar untuk mengakui ada kelemahan dan kepincangan yang perlu diatasi tetapi dalam berhadapan dengan apa juga isu, kerajaan tidak pernah lepas tangan. Ia termasuklah juga usaha bagi meningkatkan taraf hidup rakyat tidak kira di manapun mereka berada.

Janji kerajaan untuk membela nasib rakyat sentiasa sahaja dilaksanakan termasuklah yang paling ketara dalam Bajet 2018 baru-baru ini. Usaha dan perancangan terus dilakukan dalam memastikan rakyat terus sejahtera dan negara terus mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.

Oleh itu jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis kelompok tertentu di persada politik tanah air yang sering menggambarkan kononnya mereka boleh melakukan jauh lebih baik daripada kerajaan sedia ada. Kaji dan lihat bagaimana negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka.

Apakah ia lebih jauh lebih baik daripada negeri-negeri yang diperintah oleh parti kerajaan pusat? Apakah mereka benar-benar bebas dari sebarang skandal, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah atau masalah rakyat?

Hakikatnya, mereka jauh lebih buruk daripada apa yang mereka cuba gambarkan. Tetapi mereka bijak bersandiwara, pandai bermain kata-kata dan cerdik dalam memanipulasi fikiran rakyat. Ke­sudahannya apa juga yang dilakukan oleh kerajaan cuba digambarkan tidak baik, buruk dan penuh dengan cacat cela.

Malang sekali politik kelompok itu disokong oleh media-media yang berkiblatkan mereka. Apa juga langkah dan usaha kerajaan tidak pernah mendapat soko­ngan apatah lagi pujian. Ada sahaja perkara yang dibangkitkan bagi mewujudkan keraguan rakyat kepada kerajaan sedia ada.

Kelompok ini sebenarnya tidak ikhlas dan tidak matang dalam berpolitik.

Walaupun sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi memerlukan pembangkang tetapi malang bagi Malaysia kerana mempunyai pembangkang yang hanya tahu membangkang sepanjang masa dan terlalu bernafsu mahu mencari kuasa politik.

Atas sebab itulah tahun 2018 perlu disambut dengan penuh ke­syukuran kerana Malaysia jauh lebih baik daripada sesetengah negara.

Dan apa yang paling penting janganlah terpengaruh dengan mainan politik mengejar mimpi yang dicipta oleh ‘badut-badut politik’ yang sanggup berpura-pura sehati sejiwa tetapi hakikatnya penuh dendam kesumat antara satu sama lain.

Kita tidak harus mengorbankan apa yang kita nikmati sekarang semata-mata merasakan ingin mencuba perkara baharu. Menentukan masa depan negara bukanlah boleh dicuba-cuba, sekali kita melakukan kesilapan sengsaranya mungkin akan ditanggung sepanjang hayat.

Usah termakan dengan hasutan bahawa parti memerintah sedia ada sudah terlalu lama. Persoalan masa depan negara bukan bergantung kepada berapa lama sesebuah parti memerintah tetapi sejauh manakah parti itu mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Kerajaan sedia ada sudah membuktikan, ia bukanlah sebuah kerajaan yang memekakkan teli­nga atau membutakan mata dalam menguruskan kehidupan rakyat. Setiap isu melibatkan rakyat ditangani dengan sebaik-baiknya tetapi bukanlah melalui langkah populis yang akhirnya akan membawa bencana kepada negara.

Kalau mengikut cara politik kelompok tertentu, mereka menjanjikan bulan dan bintang, malah kalau boleh matahari pun dijanjikan akan dipetik untuk diberikan kepada rakyat, tetapi fikirkanlah apakah yang mereka janjikan itu benar-benar mampu ditunaikan atau sekadar umpan beracun yang akan meragut masa depan rakyat dan negara ini.

Oleh itu apabila kita me­langkah ke tahun 2018, banyak-banyaklah bermuhasabah. Berfikirlah de­ngan terbuka dan hati yang ikhlas. Ingatlah apa juga keputusan yang kita buat bakal menentukan masa depan anak cucu kita. Jangan biarkan kebencian melumuri hati sehingga kita menganggap tahun 2018 adalah tahun untuk melampiaskan de­n­dam hanya disebabkan kita terpengaruh dengan mainan politik kelompok yang tamak kuasa.

Percayalah mereka tidaklah sehebat mana. Sememangnya hak demokrasi mana-mana juga individu untuk menentukan siapa yang mereka mahukan tetapi ja­nganlah membuat keputusan yang akhirnya menjemput ‘petaka’ kepada bangsa, agama dan negara kita. SELAMAT TAHUN BAHARU 2018!