Perubahan ini mungkin tiada siapa yang peduli kerana tidak ada yang kena bencana. Mungkin ramai tidak sedar tentang perubahan cuaca ini kerana suhu politik negara tidak henti dilanda taufan.

Sejak 9 Mei, era Malaysia Baharu bermula. Pemerintahan Kelantan tidak berubah. Putrajaya bersalin penghuni, dari biru tua berdacing kepada biru muda bermata. Mahu atau tidak, perubahan tersebut memberikan kesan yang besar kepada Kerajaan Pas Kelantan. Rakyat yakni majoriti pengundi yang memilih pemerintah negeri ini bimbang kerana Perdana Menteri Keempat kembali berkuasa. Mereka dibuai dengan persepsi lalu takut ‘dizalimi’ seperti dahulu.

Dan serentak dengan itu juga, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan Kelantan negeri tertinggi menerima peruntukan terbesar daripada Kerajaan Pusat. Tidak pelik langsung pendedahan Guan Eng itu kerana sudah lama Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa dan UMNO ‘geger’ hal ini. Memangnya DAP dan Pas tidak pernah molek sejak dulu walaupun pernah berpakat sekejap.

Maka didendangkan balik cerita seperti diawal Pas memerintah Kelantan pada tahun 1990. Diramalkan Pas tidak mampu bertahan lama kerana kantung perbendaharaan negeri sudah kering tetapi percayalah Pas akan terus bertahan untuk memerintah Kelantan dalam tempoh yang lebih lama, mungkin tiga penggal lagi.

Isu tekanan terhadap Islam dan Melayu akan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di negeri ini walaupun rakyatnya masih membasuh pakaian dengan air berwarna kuning dan bukit masih botak. Rakyat negeri Serambi Mekah ini tidak peduli dengan pembangunan atau ‘sekatan-sekatan’ yang dibina kerana ‘Islam’ adalah segala-galanya.

Pas sudah ada pengalaman memerintah walaupun tidak sealiran dengan Pusat sejak selepas merdeka lagi, sebelum direhatkan seketika dari tahun 1978 sehingga 1990, mereka tahu cara untuk terus hidup. Dan dalam keadaan Pakatan Harapan (PH) berkecamuk, Pas boleh menghulur kepala menawar sesuatu. King Maker.

Apatah lagi parti-parti lain yang ada di negeri ini masih belum dapat duduk dengan baik, masih terpinga-pinga walau sudah ada yang mendapat tampuk di Putrajaya seperti kijang mabuk lampu.

Musuh tradisi Pas yakni UMNO masih dalam proses pemulihan. Cabaran yang paling getir dihadapi UMNO ialah memastikan pemimpin mereka yang bimbang perut akan kosong dan peritnya tidak berkuasa pasti menyeberang ke padang hijau di Putrajaya. Manakala ahli yang merasa diri kecewa terpalit dengan kekotoran 1MDB akan menyertai parti yang dibibirnya sentiasa menyebut ayat al-Quran dan Hadis supaya tempat di ‘syurga’ terjamin.

Pun begitu, kecekalan anak jati Kelantan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk menarik kembali sokongan anak muda kepada UMNO harus dipuji. Beliau sentiasa bersemangat dan amat berhemah dalam menyantuni segala provokasi yang mendatang.

Cumanya, walau sibuk mana pun menjelajah ke seluruh negara jangan dilupa tempat jatuh lagi dikenang. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memerlukan bantuan apatah lagi disaat sukar apabila ditinggalkan mentornya, Mustapa Mohamed.

Dalam UMNO sedang lemas untuk muncul kembali, parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) juga berkecamuk. Menikam sesama sendiri seperti mahu merebut harta rampasan Perang Uhud. PKR ‘berkucah’ teruk kerana terkesan dengan pertembungan dua proksi di peringkat Pusat iaitu Kem Azmin Ali (AA) dan Rafizi Ramli (RR).

Parti Amanah Negara (Amanah) pula dilihat agak lenang. Namun pembawakan Islam oleh pimpinan parti itu di Pusat khususnya Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang memanggil seorang pondan she dan ‘berkanda beradinda’ dengan Nurul Izzah Anwar merencatkan rasa lunak rakyat negeri Serambi Mekah ini untuk bersama.

Dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih lagi perlahan. Ia masih jauh untuk mengambil alih tempat UMNO di negeri ini apatah lagi timbul cerita habis semua tender kantin dan dewan makan sekolah ‘dirembat’ oleh orang parti itu.

Tiada apa yang boleh diramalkan untuk negeri ini pada tahun 2019 kecuali berlaku perubahan di Putrajaya. Kota Darul Naim akan kekal begitu. UMNO masih mencari ruang untuk bernafas. PH pula tergantung tidak di awan, tidak di bumi Cik Siti Wan Kembang ini.

Bagi mereka yang mengharap kerjasama UMNO dan Pas lebih erat, mohon lebih banyak berdoa supaya apa yang dihajati itu menjadi kenyataan. Ini kerana Pas hanya berminat memindah penumpang dari kapal UMMO ke bahtera mereka.

Daripada semua ini, Pas kelihatan amat stabil berbanding parti lain kecuali DAP. Mungkinkah pertembungan selepas ini hanya di antara Pas dan DAP?

Apakah Kelantan akan menjadi kubu untuk Pas merangka segala strategi bagi berhadapan dengan DAP dalam suasana geopolitik negara yang baharu?

Semoga yang baik-baik untuk kita semua. Selamat Tahun Baharu Masihi 2019!