Melalui seni juga, ia turut mendidik sikap tahu menghargai, menghormati pendapat berbeza dan tersendiri, justeru banyak fenomena baharu akan hadir lewat karya-karya insan bernama anak seni. Pun begitu, realitinya, anak seni yang menjadi fenomena tidak akan hadir pada setiap zaman. Ia hanya lahir sekali-sekali dalam puluhan tahun. Neelofa Mohd. Noor pula merapati ke saf itu. Melihat bagaimana dia menerobos ke bidang seni, langsung terus ke dunia bisnes yang ‘gegak-gempita’, tidak salah untuk dikatakan wanita ini menepati ciri-ciri yang mendekati tahap untuk menjadi legenda besar pada masa depan.
Selama empat jam wartawan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin bercerita dengannya, banyak kisah menarik dikongsi. Pengakuan paling ‘panas menggelegak’ tahun depan, dia sedia untuk bernikah pada ketika usia beranjak ke angka 28. Ayuh! Ambil secangkir kopi panasmu, kita nikmati wawancara manis dengan wanita berdarah Melayu-Siam ini.

 

Mingguan: Sebagai artis paling dicari-cari sepanjang 2016 dengan kisah bisnes, cinta tak kesampaian, drama "berhantu"apakah Lofa merasakan anda memang di atas, berbanding jenama artis yang lain?

Neelofa: Artis paling popular dalam 2016, penghargaan itu datang oleh pihak lain. Bagi saya, demi Allah, tidak pernah anggap Neelofa itu sebesar itu, saya jalani saja kehidupan ini sebagaimana sepatutnya. Bagaimanapun, tidak dinafikan, kerana drama Suri Di Hati Mr. Pilot itu, saya lalui pengalaman baharu. Ia sesuatu yang ‘gila’ dan boleh dikatakan ‘menakutkan’ juga sebenarnya.

Menakutkan? Justifikasinya?

Neelofa: Sambutan terhadap drama itu membuatkan saya terkesima sampai sekarang, macam tak percaya. Bayangkan, mereka ada masa untuk buat macam-macam video, setiap hari ada saja yang mesej saya secara peribadi, semata-mata untuk memastikan Warda dan Ejaz itu bersatu di alam realiti. Cukup 'luar biasa' kebaikan peminat-peminat kami (dirinya dan Fattah Amin). Sampaikan, saya selalu ambil pendirian untuk tidak buat keputusan yang boleh membuatkan mereka sedih. Bayangkanlah, sampai ada peminat yang telah hantar mesej, mereka buat sembahyang hajat beramai-ramai supaya saya dan Fattah tidak bergaduh lagi. Sampai ke tahap itu.

Apabila anda berada dalam doa peminat, bukankah ia sesuatu yang mengesankan?

Neelofa: Ya, saya setuju, apabila anda ada dalam doa orang lain, ia sangat bermakna. Tetapi kita perlu tahu pada alam realitinya, ia tidak akan sama. Saya sendiri tidak pernah terfikir, sejauh itu penangan sebuah karya seni. Ia merubah diri saya juga untuk lebih memikirkan orang lain, berbanding diri sendiri dalam sesuatu hal.

Diukur dari 2010 hingga sekarang, hanya selepas enam tahun, nama Neelofa itu menjadi sebegini besar dan gah. Anda menguasai dengan jayanya, dunia seni dan juga perniagaan, apakah Lofa punya nama yang akan selamanya menghimpunkan rasa terhutang?

Neelofa: Selepas enam tahun dalam industri, pertamanya saya tidak akan lupa kepada Aziz M.Osman kerana dia ada keberanian untuk ambil orang baru macam saya berlakon (filem Azura, 2010). Nama dia akan sentiasa dalam ingatan. Keduanya, Erma Fatima yang ambil saya berlakon dalam drama Kasih Najihah walaupun drama itu hanya enam episod, ia membuatkan orang buka mata kepada Neelofa. Ketiganya, adalah team produksi Nona di TV3. Program ini memberi impak cukup besar dalam ia membuka profil baharu kerana saya pendatang seni ‘kecil’ yang diberi tugas mengacarakan program ‘besar’. Satu lagi, Hans Isaac. Saya perlu sebut nama dia sebab banyak sangat ilmu kehidupan yang dia beri.

Menarik! Tidak pernah Lofa bercerita sejauh ini tentang lelaki yang pernah menghuni hatimu itu.

Neelofa: Sekarang saya boleh cakap benda ini. Sama ada kenangan itu manis atau tidak, saya kena bagi kredit kepada dia. Banyak keputusan penting dalam hidup yang saya buat, bersandarkan kepada pengalaman hidup dia. Tidak salah untuk mengatakan, sebab dialah, saya jadi diri saya hari ni.

 

Sejujurnya, dengan Hans, berapa lama Lofa ‘berkawan’ rapat?

NEELOFA: Sekitar lima tahun juga sebenarnya hubungan kami, sampai ke hari ini pun kami masih bersahabat walaupun sudah 'putus.' Saya masih mahu jadi kawan dia kerana nilai yang ada dalam diri dia itu.

Sebenarnya, ada banyak benda yang akan membuatkan saya tak boleh lupakan dia, termasuk dalam satu kejadian, saya ingat ketika itu November 2011. Saya tewas dalam kesemua tiga kategori anugerah besar yang mempertandingkan nama saya. Sangat-sangat kecewa kerana waktu itu saya rasa sudah jatuh terlalu ke bawah walaupun langkah di bidang seni baru bermula. Dia nasihatkan saya begini “Lihat, orang akan memperkatakan tentang anugerah itu hanya hari ini. Esok orang akan melupakan. Apabila kamu membuka mata kamu esok hari, orang sudah melupakan kekalahan kamu itu. Jadi, tidak ada sebab untuk kamu terus kecewa, raikan hidup yang singkat ini.” Kata-kata dia itu membuatkan saya tersedar dengan pantas. Esoknya saya bangkit, bangun dan pantas berlari dan terus lupakan kekalahan itu. Sebab itu, saya tak akan mampu melupakan jasa dia dalam hidup ini.

Impian dan cita-cita 2017?

Neelofa: Tahun depan, impian besar saya ialah untuk berkahwin. Saya hendak settle down terus, ada keluarga sendiri. Jika selama ini, tidak pernah pasti, hati sekejap okay, sekejap tidak okay, sekarang saya boleh beritahu semua orang bahawa tahun depan impian saya adalah untuk mendirikan rumah tangga.

Sepertinya sudah bertemu dengan lelaki yang terbaik, kongsikan dengan pembaca Mingguan Malaysia.

Neelofa: Sehingga sekarang, saya tidak tahu siapakah jodoh itu. Apa yang saya boleh cakap, secara fizikal, emosi dan spiritual, saya sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri, untuk ada keluarga sendiri.

Konon belum ada calon, tetapi mahu mendirikan rumah tangga pada 2017, seriuskah ini?

Neelofa: Begini, jika tahun depan sudah jumpa dengan orang yang boleh buat saya ‘jatuh cinta’ dan ingin berkahwin dengannya, saya akan pilih dia sebagai suami. Ini soal jodoh, baru jumpa lima hari pun, jika Allah kata itu adalah jodoh kita, berkahwinlah saya. Siapa tahu?

Desas-desus mengatakan, kisah cinta Lofa dan Fattah Amin bagai 'bunga kembang tak jadi' kerana halangan keluarga. Saya beri peluang untuk Lofa jelaskan, sejauh mana kebenaran cerita itu?

Neelofa: Macam inilah, saya simpulkan tentang hal itu. Dalam keluarga, saya diibarat sebagai permata, dari kecil sampai ke hari ini. Contohnya, dalam bisnes, saya turut membantu famili, rezeki itu datang daripada Tuhan, atas nama saya. Sebab itu, famili mahu yang terbaik buat saya kerana mereka tahu saya sudah kerja dengan begitu kuat selama ini, siang malam. Mereka tahu, siapa yang layak untuk saya berkahwin.

Bagaimanapun, pada akhirnya, segala-galanya adalah tentang cinta. Saya akan berkahwin dengan lelaki yang saya sayang, yang saya cinta. Bukankah dalam banyak keadaan, cinta juga yang akan menang, saya percaya itu.

Memasuki usia 28 tahun, apakah Lofa berasa sudah terlalu ‘sunyi’ untuk sendirian lagi. Begitu?

Neelofa: Saya letakkan begini. Dalam keadaan sekarang, barangkali kamu boleh dapat apa saja yang kamu mahu, kamu sudah ada semua benda dalam hidup. Tetapi pada akhirnya, apabila kamu balik ke rumah, kamu ingin memeluk orang yang kamu sayang juga. Berkongsi segala cerita sepanjang hari kamu dengan dia, memeluk dia dan segala-galanya di bahu dia. Setiap yang dikenali, namakan saja siapa pun mereka, Marilyn Monroe sekali pun misalnya, akan ada satu bahagian dalam jiwanya yang sunyi. Sangat-sangat kosong! Saya tidak mahu berada dalam jiwa kosong yang sebegitu untuk sekian lama lagi. Jadi, masanya untuk saya punya ‘seseorang’.

Soalan ini klise, tetapi banyak yang mahu tahu, ciri lelaki yang akan jadi ‘pilot’ di hati Lofa?

Neelofa: Dia mampu jadi ketua yang baik, cintakan saya dan saya mencintai dirinya, keluarga pula memberikan restu. Itu sudah cukup. Apa pun, saya tidak melihat status orang, tidak juga dengan kerabat di raja misalnya. Saya akan berkahwin dengan lelaki yang saya cintai. Itu penting!