Jengkel pasti tercetus di hati anda bila juruwang meletakkan wang di atas meja dan bukan ke tangan anda, walaupun anda sudah menghulurkan tangan menyambut wang.

Jengkel belum sampai ke tahap sakit hati kerana ramai juruwang sebegini sama ada di kedai makan, kedai runcit atau institusi kewangan. Tidak dapat hendak boikot sebab hari-hari kena berurusan di kaunter pembayaran. Satu-satunya juruwang yang dijamin menghulur terus ke tangan anda ialah di plaza tol.

Yang sakit hati ialah situasi menjengkelkan yang tidak dapat ditolong-tolong, seperti individu atau sekumpulan orang 'secara selamba’ bertanyakan status bujang anda semasa kenduri kawan, lengkap dengan analisis peribadi merangkumi usia anda, tempoh kerja, gaji dan kriteria calon suami/isteri.

Semua hal tersebut terus-menerus berlangsung walaupun riak wajah anda sudah jelas menggambarkan hampir menangis histeria. Istilah bahasa Inggeris untuk jengkel ialah irk, annoyed, irritated dan exasperated. Bahasa generasi hari ini ialah bengang atau 'kurreng’.

Berikut adalah senarai Merrepak mengenai perkara-perkara menjengkelkan yang kita hadapi sama ada secara suka rela atau terpaksa, sengaja atau spontan.

1 Orang yang beriya-iya angkat tangan untuk bersuara dalam mesyuarat, dan pernyataan yang diberikannya tergolong dalam kategori angkat bakul, mengampu atau semata-mata dungu.

2 Orang yang berapi-api berhujah memberi cadangan penambahbaikan organisasi hinggakan tiada siapa boleh mencelah menyoal atau pertikai. Untuk pelaksanaan, dia suruh orang lain buatkan. Dia dah beri bahagian dia iaitu menyumbang idea semata-mata.

3 Dalam pemilihan jawatankuasa, orang itu sudah isytihar tidak mahu dicalonkan semula. Masa pemilihan dia terima juga dengan alasan 'atas permintaan ramai’. Alahai, jawatan pengerusi kelab buku sahaja pun nak main politik.

Baru bertukar-tukar kad perniagaan, baca nama dan jawatan anda 12 saat dan terus menyoal berapa lama sudah berniaga, kenapa tidak berniaga guna Facebook dan sebagainya, berceramah kepada anda seolah-olah dia adalah hartawan bilionair yang telah berjaya dahulu dari anda.

Di datangi orang yang berimej warak, bersungguh-sungguh memberi kuliah halal haram kepada anda, yang sedang makan berseorangan di hujung restoran sambil membaca Facebook.

Anda bertubuh kecil, berpakaian biasa-biasa bukan glamor, dan orang asyik menyangka anda masih bersekolah dan melayan anda macam budak sekolah.

Orang depan kita semasa beratur di kaunter sama-sama menunggu lama. Tiba gilirannya, anda lega sebab tinggal dia seorang. Cuma anda tidak menduga dia teragak-agak memilih juadah. Hendak ayam sekotak atau burger berganda atau bubur sahaja. Masa beratur tadi tidak pula dia fikirkan pilihan.

Menunggu giliran di bank tidak perlu berdiri beratur seperti di restoran. Ambil nombor dan carilah tempat duduk. Masalahnya, ada bank sejak kita zaman remaja sehingga ada anak sekarang pun masih sangat perlahan perkhidmatannya.

Pada Disember lalu, heboh orang ramai dikerah ke bank untuk menukar kad ATM. Itu kad debit. Agar anda boleh guna kad tanpa bergantung kepada wang tunai semasa beli-belah. Cuma bila direnungkan, kad kredit boleh pula bank hantar terus ke rumah tanpa perlu kita ke bank. Aneh juga layanan.

10 Orang yang kelihatan segak, kemas dan mewah tanpa segan silu bertanya sama ada anda bersedia menerima komisen jika sudi membantunya. Istilah sebenar komisen tersebut ialah sogokan.

11 Tersekat dalam kesesakan teruk lalu lintas. Sebuah kereta dari kiri masih mahu mencelah-celah dan menekan hon. Waktu itu mungkin anda berdoa ada seseorang akan keluar dari kereta dan 'menanganinya’.

12 Di plaza tol, beberapa kereta terhenti disebabkan palang tidak naik. Mungkin kredit dalam Smartag tidak cukup atau alat Smartag rosak. Namun, tiada seorang petugas tol pun kelihatan untuk membantu kereta tersadai itu.

13 Berbalas hujah mengenai isu khusus menerusi media sosial. Dia dengan pendirian dia, anda pun dengan fahaman anda. Datang orang ketiga terus melabel anda menyebelahi puak lain. Orang keempat sudah melaporkan anda ke pihak berkuasa. Dia? Dia tiada siapa berani usik.

14 Orang yang memilih tempat duduk berdasar lokasi soket elektrik untuk memudahkan dia mengecas bateri telefon.

15 Orang yang kita pesan berulang kali agar fokus kepada pekerjaan, berterusan mencipta kecuaian demi kecuaian. Ini mendorong anda menyoal diri sendiri, salahkah cara pendidikan yang anda berikan atau orang itu memang bebal?

16 Orang yang setahun sekali pun jarang berkomunikasi dengan anda, tiba-tiba mengutus WhatsApp mengkritik kesalahan anda.

17 Orang ini mendakwa bertanggungjawab menyakinkan bosnya untuk melabur dalam syarikat anda, menghubungi anda atas satu urusan dengan mengungkit jasanya itu. Patut dia hubungi bos, bukan anda yang tidak tahu-menahu.

18 Orang yang pergi satu kursus tiga hari empat malam, kemudian mengadakan satu seminar empat hari lima malam, mendakwa dirinya adalah pakar.

19 Orang yang anda anggap sahabat lama, pernah menumpangkan dia tidur di bilik sewa, pernah beri bantuan semasa dia baru hendak bertapak, 10 tahun kemudian dia leave the group semata-mata bergaduh hal bola sepak.

20 Orang yang beriya-iya mahu menonjol sebagai seorang intelek, liberal dalam serba-serbi kehidupan agar mendapat LIKE dan SHARE daripada ramai orang.