Ya, betul. Membaca. Aktiviti ini masih menjadi hobi yang popular, walaupun dihimpit keasyikan generasi milenials terhadap Facebook dan Instagram.

Secara khusus bagi mendatangkan kemengantukan, ada yang membaca novel. Ada yang memilih bahan ringan seperti majalah hiburan atau komik. Kebanyakan kita akan membaca menerusi gajet elektronik, termasuk saya.

Buku-buku tradisional yang saya beli beberapa tahun dahulu, ada sebilangan masih elok dalam balutan plastik. Terlupa.

Bahan bacaan kegemaran saya untuk meleraikan kekusutan minda ialah topik seperti UFO dan fakta-fakta luar biasa. Ia membawa pemikiran kita jauh daripada keletihan. Malah, boleh memberi ilmu tambahan yang boleh dijadikan bahan untuk kita sembang bersama sahabat di hujung minggu.

Berikut adalah fakta-fakta menarik yang menjadi pilihan Merrepak untuk dikongsi dengan anda:

1. Tetak dalam bahasa Melayu bermaksud perbuatan memotong, mencincang menggunakan benda tajam. Tetak dalam bahasa Melayu Sarawak bermaksud ketawa. Jadi jangan sebarang tetak di Sarawak untuk mengelak kena tetak.

2. Maharaja Rom Caracalla mengarahkan 20,000 penduduk Mesir dibunuh selepas mereka mengadakan satu pementasan yang menyindir keangkuhan baginda.

3. Begitu berkuasanya J.K Rowling yang menulis buku Harry Porter, beliau boleh masuk ke Universal Studio dan jika mendapati wujud benda yang tidak disukai atau tidak tepat, dia boleh mengarahkan ia diubah semula.

4. Samsung dikenali sebagai pengeluar produk elektronik terutama telefon pintar. Tahukah anda Samsung juga merupakan pengeluar senjata, yang menggunakan teknologi canggih untuk 'menyokong usaha keamanan dan keselamatan dunia’.

5. Perkataan 'robot’ berasal daripada bahasa Slavic 'robota’ bermaksud 'buruh abdi’ dan pertama kali digunakan dalam satu pementasan pada 1920.

6. Korea Selatan menyediakan talian khas 113 untuk rakyatnya melaporkan mengenai perisik asing.

7. Hidung manusia boleh 'mengingati’ 50,000 bau-bau berbeza.

8. Pencipta Rubik’s Cube, Erno Rubik mengambil masa sebulan untuk menyelesaikan susunan warna selepas menciptanya. Rekod dunia sekarang 5.55 saat.

9. Kicap berasal dari China iaitu air masin dari ikan jeruk dan herba dinamakan ‘ke-chiap’.

10. Expedia.com, Hotels.com, Hotwire.com, Trivago, Travelocity dan Orbitz kesemuanya dimiliki oleh syarikat yang sama, Expedia Inc.

11. Pounds merupakan istilah sukatan mengikut sistem kiraan British Imperial tetapi singkatannya amat mengelirukan iaitu 'Ibs’. Ia adalah singkatan 'libra’ dari bahasa Latin bermaksud pound.

12. Teknologi 'Bluetooth’ mendapat namanya daripada raja kurun ke-10, Raja Harald Bluetooth yang menyatukan Denmark dengan Norway – sama seperti teknologi tanpa wayar yang menggabungkan komputer dengan telefon pintar.

13. Perkataan Jurassic, yang lazimnya kita kaitkan dengan dinosaur, berasal daripada perkataan Celtic bermaksud 'hutan belantara’.

14. Mengikut kalendar Masihi, Februari pernah menjadi bulan terakhir dalam kalendar, itulah sebabnya hari dalam bulan itu paling pendek.

15. Jenama 'Hang Ten’ tiada kena mengena dengan Hang Tuah atau Hang Jebat. Sebaliknya ia bermaksud 'Tergantung 10’ iaitu peluncur ombak (surfer) meletakkan kesemua 10 jari kakinya pada sisi papan luncur semasa meluncur.

16. Dalam filem Hollywood, kita dengar istilah bucks diguna menggantikan dollars. Sama macam kita yang susah sangat hendak sebut Ringgit Malaysia dan menyebutnya 'Ar-Em’. Istilah Bucks berasal dari kurun ke-18 bermaksud kulit rusa, yang menjadi mata wang ketika itu.

17. Emoji’ tiada kaitan dengan perkataan emotion. Asalnya dari Jepun bermaksud gambar dan perwatakan iaitu e dan moji. Persamaan yang timbul adalah secara kebetulan.

18. Untuk menyatakan ketawa, biasa kita tulis 'hahaha’. Di Amerika Latin, ia ditulis 'jajaja’. Di Thailand '5555’ sebab angka 5 berbunyi 'ha’ dalam bahasa Siam. Jepun lagi rumit. Ia menggunakan 'www’. Ia bukan alamat web tetapi berasal daripada perkataan ketawa dalam bahasa Jepun, 'warai’.

19. Pada 1781, Los Angeles ditubuhkan. Nama asal yang diisytiharkan ialah El Pueblo de Nuestra Señora la Reina de los Ángeles del Río de Porciúncula. (Bandar Ratu Bidadari Sungai Porciúncula).

20. Pada Jun 2017, terdapat dua bilion pengguna aktif Facebook. Termasuk anda.