Keadaan itu juga sekali gus memberi isyarat kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan cukup-cukuplah menjadikan skandal 1MDB sebagai alasan untuk mengalih isu terhadap pelbagai janji yang tidak ditunaikan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Sekarang kes itu di peringkat mahkamah, biarlah mahkamah memutuskannya sama ada mereka bersalah atau tidak.

Oleh itu, impian Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang masuk politik untuk melihat Najib jatuh sudah menjadi kenyataan manakala Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak perlu lagi risau soal Rosmah bercakap dengan cermin atau tidak.

Sebaliknya kedua-dua mereka kini perlu memberi tumpuan untuk membantu kerajaan melunaskan janji-janji kepada rakyat. Isu 1MDB biarlah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menanganinya. Kedua-dua agensi penguat kuasa tersebut sudah menunjukkan kemampuan dan kesungguhan luar biasa dalam menyiasat kes berkenaan.

Apa yang rakyat mahu lihat sekarang adalah Pakatan Harapan bertindak benar-benar sebagai kerajaan iaitu membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat melalui pelbagai program serta projek.

Cukup-cukuplah bercakap soal kerajaan terdahulu. Kini Pakatan Harapan yang berkuasa lakukan tugas sebagai kerajaan. Dalam soal ini penulis tertarik dengan hujah Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa berbahas di DUN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Hujah-hujah beliau bukan sahaja bertepatan untuk kerajaan negeri tersebut sahaja tetapi juga kerajaan pusat. Antara lain beliau berhujah;

“Janganlah kita asyik menyalahkan orang itu tak betul, ini tak betul, saya tanya what you done so far, orang melihat dan nak lihat apa kita harus terus bercakap mengatakan orang itu dulu (salahkan kerajaan BN dahulu). (Bagaimana) sampai tiga empat tahun, akhirnya (bila) pilihan raya dan akhirnya siapa rugi? Negeri rugi, negara rugi, inilah yang saya minta kerajaan sedia ada... buatlah kerja.

“Saya ucap tahniah kepada Pakatan Harapan kerana sudah menjadi kerajaan Pakatan Harapan, uruslah kerajaan dengan baik, jangan kita cuai, jangan kita abai tanggungjawab, pada masa tunaikan janji-janji. Kalau tak boleh buat cakap tak boleh buat, sebab (sebelum ini) kerana terlampau berkobar-kobar (mahu) menang pilihan raya buatlah segala janji apa yang patut.”

“Lepas ni orang tak boleh salahkan UMNO lagi pasal GST, kerajaan sedia ada (bertanggungjawab). Orang tak boleh salahkan lagi hutang Felda sedia ada, kerajaan PH lah (bertanggungjawab), salah PTPTN tak dihapus, salah tol tak dihapuskan kerajaanlah (bertanggungjawab).”

Walaupun kenyataan itu dibuat dalam sidang DUN Negeri Sembilan tetapi ia turut relevan dengan kedudukan negara secara keseluruhan. Ini memandangkan selama ini sudah terbukti segala janji yang dilakukan tidak mampu ditunaikan.

Bagaimanapun kerajaan masih ada masa untuk melakukan pembaikan dan benar-benar menjadi kerajaan yang berwibawa serta bertanggungjawab. Memang hebat impian untuk mengembalikan semula Malaysia sebagai harimau Asia tetapi tunaikanlah dulu janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.

Pada masa sama bertindaklah sebagai sebuah kerajaan bukannya bersikap seperti pembangkang. Kerja pembangkang biarlah ia diuruskan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas. Tanggungjawab yang ada kepada kerajaan sekarang adalah menguruskan negara.

Kalau mahu berpolitik boleh sahaja tetapi tunggulah apabila gelanggang PRU-15 dibuka. Sekarang bukan musim pilihan raya, tetapi sekarang adalah masa untuk bersama-sama membangunkan negara.

Ketepikan pembezaan politik, hapuskan politik kebencian dan janganlah dilihat menjadikan kuasa yang dimiliki untuk membalas dendam. Jika sikap itu diteruskan yang akan rugi akhirnya seperti mana kata Mohamad Hasan ialah rakyat dan negara.

Bagi membolehkan kerajaan benar-benar berjaya, barisan Kabinet perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Janganlah melakukan tindakan atau membuat kenyataan yang menunjukkan mereka seolah-olah masih belum keluar dari jiwa pembangkang.

Terserahlah kepada kerajaan untuk menguruskan negara ini dengan sebaik-baiknya. Tindakan terus menguar-uarkan skandal 1MDB ke seluruh pelosok dunia dan mendakwa hutang negara kita mencecah trilion ringgit bukanlah sikap kerajaan yang baik, sebaliknya ini hanyalah alasan bagi menutup kelemahan.

Mereka perlu memahami, rakyat memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada PRU lalu kerana ingin melihat situasi negara jauh lebih baik berbanding ketika di bawah BN.

Mungkin dalam soal ini Maszlee boleh memainkan peranan supaya kerajaan Pakatan Harapan tidak jatuh manakala Nik Nazmi akan lebih rajin ‘mencerminkan diri’ untuk melihat sejauh mana parti beliau menunaikan janji.

Janganlah kita asyik menyalahkan orang itu tak betul, ini tak betul, saya tanya what you done so far, orang melihat dan nak lihat apa kita harus terus bercakap mengatakan orang itu dulu (salahkan kerajaan BN dahulu). (Bagaimana) sampai tiga empat tahun, akhirnya (bila) pilihan raya dan akhirnya siapa rugi? Negeri rugi, negara rugi, inilah yang saya minta kerajaan sedia ada... buatlah kerja.”