Kalau sebulan pukul rata ada 30 hari, ini bermakna hanya 120 hari sahaja skopnya.

Yang terjadi, pasti dalam tempoh singkat itu fitnah akan bermaharajalela. Putarannya macam roller coaster tadi. Akibatnya ialah pembunuhan karakter.

Di mana-mana negara pun, selagi namanya berebut kuasa dan jawatan, selagi itulah fitnah menjadi cabaran dan rintangannya.

Suatu ketika pada 2013, Pre­siden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono atau SBY mengakui sering menerima kritikan, bahkan difitnah. Sebagai presiden, SBY menilai hal itu suatu yang lumrah.

“Kerana saya pemimpin ya sudah menjadi takdir saya, nasib saya. Ada falsafah (mengatakan) tidak ada yang menyepak anjing mati. Jadi, kalau saya diserang ber­erti saya masih hidup. Ada yang mengatakan kalau anda tidak mahu diserang dikritik, dikecam, please say nothing, do nothing, be nothing. Sekali lagi yang penting jangan fitnah,” ujar SBY.

Sambung SBY lagi: “Jangan jadi lautan fitnah, namun lautan kebenaran. Saya menetapkan kebijakan tanggapan beragam, ada menolak ada menerima itulah demokrasi tapi ada barangnya, ucapan saya ditanggapi diserang tak apa-apa yang tidak tepat, saya tidak melakukan apa-apa tidak mengatakan apa-apa... (namun) saya diserang berhari-hari berminggu-minggu.

“Janganlah kita berikan tole­ransi kalau itu berupa fitnah, ke­rana fitnah lebih kejam daripada pembunuhan,” kata SBY.

Bukan sahaja UMNO, malah Pas turut mengingatkan semua ahli dan pimpinan parti itu untuk bersedia menghadapi gelombang fitnah yang dipercayai lebih dahsyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jika dibiarkan jenayah fitnah menguasai jiwa, ia akan terus melekat di hati seseorang.

Ada diceritakan, pada zaman dahulu ada seorang lelaki kaya pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba. Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba lelaki yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah.

Oleh sebab lelaki tersebut me­nganggap memfitnah itu suatu perkara yang ringan dan remeh, maka dia bersetuju membeli hamba lelaki itu. Setelah agak lama berada di rumah majikan­nya, hamba itu mulalah mereka cerita dengan berkata kepada isteri majikannya bahawa suaminya ingin berkahwin lagi.

Lalu hamba itu pun mencadangkan supaya isteri majikannya cepat-cepat menggagalkan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna, iaitu dengan mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya. Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau yang tajam agar tidak terasa sakit sewaktu suaminya tidur.

Oleh sebab si isteri ini benar-benar percaya lantas dia berusaha mendapatkan pisau yang tajam.

Kemudian hamba itu pergi memberitahu tuannya dengan berkata: “Isterimu akan membunuhmu sewaktu kamu sedang tidur. Oleh itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan tuan berpura-pura tidur.”

Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba si isteri datang membawa pisau yang tajam. Ketika si isteri memegang leher suaminya, si suami segera bangun dan merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. Maka pada keesokannya, keluarga si isteri menuntut bela atas kematian tersebut dengan berbunuh-bunuhan antara kedua-dua belah pihak.

Kisah ini memberi dua pengajaran penting. Pertama, jenayah fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat Melayu ketika ini tidak boleh dianggap suatu perkara yang ringan dan remeh.

Ia boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam masyarakat.

Kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita disampaikan oleh seseorang (Surah al-Hujurat, ayat 6). Hal ini semata-mata untuk mengelak daripada terlalu tergesa-gesa dalam membuat sesuatu keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita yang disebarkan.

Ia boleh menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman padahal ia tidak me­lakukan kesalahan pun. Sedangkan si fitnah pula disanjung. Ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Dalam tempoh 120 hari mendatang ini, maka sewajarnya tidak melekakan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk sentiasa bersiap-siaga.

Sayap-sayap parti komponen BN terutama pemudanya harus menggapai matlamat pucuk pimpinan untuk memperoleh kembali mandat rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersama rakan-rakan seperjuangannya daripada MCA, Senator Chong Sin Woon, C. Sivarraajh (MIC) serta Tan Keng Liang (Gerakan) harus lebih agresif menggerakkan anak buah masing-ma­sing menggalas cabaran getir ini.

Kalau benar vokal memperjuangkan hak kaum masing-ma­sing, maka BN harus sama dipertahankan demi hak perjuangan menyeluruh rakyat.

Mengapakah pembangkang yang kerap menabur fitnah terhadap kerajaan, tiba-tiba begitu senang sekali memohon maaf di mahkamah seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku?

Pada hal dalam dua tiga tahun sebelum maaf ‘dibacakan’ di mahkamah, kebinasaan imej dan reputasi telah pun berlaku.

Mengapa sebilangan sayap ka­nan BN ada ketikanya sekadar ‘tutup sebelah mata’ dan memekakkan telinga.

Ini selepas pelempar-pelempar fitnah daripada pembangkang termasuklah Rafizi Ramli selamba me­ngungkapkan seumpama ini: “Maaf aku fitnah kau, kosong-kosong ya.”

Jentera BN jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.6 juta ahli UMNO dan lebih sejuta ahli MCA, MIC serta Gerakan untuk menang PRU-14.

Jangan lupa, ahli DAP, PKR dan PAN tidak lebih 800,000 orang. Tetapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya umum berturut-turut.

Bahana apabila ‘fitnah, putar belit dan tohmahan’ dijadikan gong politik pembangkang, jangan pula membuatkan sayap-sayap komponen khuatir dan takut. Jadi segan dan mula tunduk pula.

Jangan lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik - ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Setiap ahli BN harus memikirkan hal ini. Bila kita kuat, orang segan.

Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur ber­denting-denting, tegang berjela-jela.’