Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

TARIKH 11 September 2001 adalah tarikh yang terpahat padanya tragedi menggemparkan seluruh dunia berikutan pengeboman menara berkembar World Trade Center (WTC), Amerika Syarikat. Kejadian yang menyebabkan kehilangan sebanyak 2,996 nyawa termasuk 19 pelaku ini antara menjadi titik kemuncak kepada Islamofobia, fobia kepada Islam apabila kejadian ini dikatakan akibat serangan pengganas beragama Islam iaitu al-Qaeda diketuai Osama bin Laden.

Kini genap 16 tahun semenjak kejadian pengeboman itu ternyata pandangan serong terhadap Islam tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ia semakin pudar. Perjalanan masa tidak menjadikan ia dilupakan. Bahkan, menjadi semakin kuat pada pandangan masyarakat dunia khasnya bukan Islam iaitu apabila tercetusnya beberapa siri pengeboman yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Islam.

Pada 13 dan 14 November 2015, dunia telah digemparkan dengan tembakan dan letupan yang berlaku di Paris melibatkan beberapa tempat seperti Stade de France, Rue Bichat, Rue Alibert dan Rue de la Fontaine-au Roi. Letupan didalangi militan Daesh yang mendakwa membawa slogan Islam ini mengorbankan 130 dan mencederakan 200 orang awam.

Pada 22 Mac lalu tercetus lagi siri serangan gempar di Westminster, London yang turut memalitkan nama Islam. Kejadian tercetus dengan rempuhan laluan pejalan kaki oleh kereta dipandu pelaku yang dikatakan membawa motif jihad Islamiyyah. Serangan turut melibatkan aksi tikam meng­akibatkan enam orang terbunuh termasuk pelaku sendiri dan mencederakan 49 orang awam.

Siri-siri serangan keganasan sehingga mengakibatkan kehilangan jiwa dan kecederaan orang tidak berdosa bukan ajaran yang dibawa oleh Islam. Pembunuhan atau keganasan adalah dilarang secara keras oleh Allah SWT. Ini boleh difahami melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” (Surah Al-Isra, 17:33)

Nabi Muhammad SAW turut menegaskan kedudukan jenayah bunuh sebagai salah satu dosa besar dan membawa kebinasaan kepada manusia. Mafhum hadis ini berbunyi:

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!” Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling dari me­dan perang, menuduh zina terhadap wanita-wanita merdeka yang menjaga kehormatan, yang beriman dan yang bersih daripada zina”. (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab al-Hudud, Bab Ramyi al-Muhsanat, Hadis No. 6857)

Bahkan, dalam ayat al-Quran yang lain, Allah telah memfirmankan pujian yang besar kepada manusia yang menjaga nyawa manusia yang lain. Firman ini bermaksud:

“... bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia de­ngan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya...” (Surah Al-Maaidah, 5:32)

Keganasan berbentuk pembunuhan dan pengeboman sehingga menyebabkan kematian insan-insan yang tidak berdosa menyalahi prinsip-prinsip asas yang dijunjung dalam al-Quran dan sunah seperti yang telah dinyatakan. Islam membenci dan menganggap perbuatan sebegini sebagai jenayah meskipun yang menerima akibat jenayah ini adalah bukan daripada kalangan bukan Islam. Kumpulan-kumpulan yang menyebabkan tragedi-tragedi berdarah seumpama ini semestinya tidak mewakili fahaman Islam yang dominan dan hakiki.

Fahaman tentang Islam itu seharusnya dipaksikan kepada sumber yang berautoriti. Apa yang boleh digambarkan secara asas ialah Islam merupakan agama yang mempromosikan keamanan dan keharmonian. Ini boleh difahami dengan kata akar perkataan Islam daripada kalimah iaitu salima yang bermaksud selamat, sejahtera dan aman.

Islam membuka pintu keharmonian kepada semua masyarakat berbilang agama untuk hidup bersama-sama de­ngan saling mengenali, saling memahami dan saling membantu dalam kehidupan. Ini boleh difahami melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain.” (Surah Al-Hujurat, 49:13)

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain