Ya, seperti mana janji menghadapkan ke muka pengadilan pihak yang mencuri duit negara menerusi 1MDB, dan bagaimana harta Jho Low disita melalui kapal layar mewah milik ahli perniagaan kontroversi itu, Equani­mity.

Demikianlah jua beberapa pembaharuan ke arah memberi Parlimen kuasa yang lebih substantif dalam mentadbir jabatan perkhidmatan awam dari mula.

Apa pun yang pasti rakyat sekarang lebih teruja dengan tumpuan utama kepada soal ‘periuk nasi’ yang Tumpang lalu boleh sebutkan di sini berada dalam susunan idealisme lebih tinggi dalam urusan pentadbiran negara.

Rakyat masih mahu melihat kebolehan kerajaan untuk mentadbir harga barang, turun harga minyak serta membasmi tol secara berperingkat - semua ini agak perlahan sedikit. Minyak tak naik, turun pun tidak - masih tergantung.

Soal pendidikan pula ‘kecoh’ sedikit. Pendidikan negara semacam tidak terkendali dengan baik disebabkan kecenderungan menterinya lebih ‘bersimpati’ dengan Sijil Pendidikan Bersama (UEC). Dasar-dasar penting pelajaran macam ‘tak nampak’. Tambah lagi apabila disatukan pula pengajian tinggi dan pendidikan rendah, kelihatannya ramai kurang confident.

Soal Rule of Law (Kedaulatan Undang-Undang) atau pentadbiran undang-undang negara bagaimanapun semakin meningkat. Ia petanda yang bagus. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempamerkan kepantasan bertindak. Jabatan kerajaan tidak lagi disertai pengamal politik. Macam duta-duta Kementerian Luar ter­dahulu yang dikatakan ‘dikacau’ dengan lantikan politik. Kini tidak lagi.

Begitupun ada tanggapan berlegar mengatakan ke­pentingan orang Me­layu khas­nya agak lemah diurus­kan dalam 100 hari ini. Susunan ke­pentingan orang Melayu yang da­hulunya dikait sama Islam ba­nyak pula hendak dihuraikan semula. Ti­dak sampai keteguhan buatnya. Adakah barangkali DAP dan PKR lebih kuat daripada parti Bersatu dan Amanah sehingga lebih mencorakkan ‘dentumannya’ sekarang?

Lantikan-lantikan yang dahulunya secara tradisional diisi orang Melayu, sekarang dimuatkan bukan Melayu. Senario ini tidak semestinya ti­­dak baik. Ada baik­nya juga kerana terdapat jurang me­lebar kemasukan ka­langan bukan Me­­layu yang belum mencapai 30 peratus. Sewaktu pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, bukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan antara 30 hingga 35 peratus. Sekarang, tak lebih lima peratus pun. Dan ini mungkin menjadi perhatian kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang agak terarah kemalaysiaan.

Walaupun ada baiknya trend ini, PH perlu juga berhati-hati. Kalau tidak dibuat pemerhatian yang betul, dikhuatiri kemelut dalam bentuk fizikal akan diterjemahkan oleh rakyat.

Cuma Tumpang lalu amati ada dua perkara yang agak perlihatkan kurang keberanian dalam 100 hari ini, yakni dalam meletakkan bahasa Melayu pada arasnya sehingga dikatakan ‘didolak-dalikkan’. Kedudukan bahasa Melayu agak longgar terutama apabila diuji oleh Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng dan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran - ma­sing-masing menerusi isu ke­nyataan Menteri Kewa­ngan dalam bahasa Mandarin dan orang Melayu kaum pendatang. Ini rumusan yang tidak harus dibuat seseorang menteri.

Dari segi perundangan, walaupun isu 1MDB mula ditadbir secara profesional, ada aspek lain lagi yang perlu difikirkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas. Kes rasuah melibatkan Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sudah tidak disebut lagi. Kalau tidak disusul, ia um­pama limau masam sebelah, manis sebelah. Ini bertentangan dengan Rule of Law.

Kerana itu polemik ini perlu cepat diatasi Peguam Negara. Kalau tidak, rakyat akan terkesan kes-kes yang banyak bersabit dengan kerajaan, yang tiba-tiba pula mahu dikemudiankan. Tentu pelik bukan?

Berkenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan 1 September ini, formulanya perlukan penjelasan lagi. Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di bawah pentadbiran terdahulu memanglah dikatakan tidak cantik, tidak lunak tersusun sehingga berlaku keterbakian yang tidak dilaksanakan oleh Perbendaharaan. Namun, diakui prinsip GST lebih jelas.

Mengapa SST disebut 10% (cukai jualan) + 6% (perkhidmatan)? Rakyat kurang faham kerana dalam fikiran mereka kena cukai 16%. Pengenaan cukai pada rakyat harus diperjelaskan dengan baik. Dalam keadaan sebegini, tempoh tiga bulan atau menghampiri baki 100 hari ini, piawaian pencapaiannya bolehlah Tumpang lalu letakkan dalam posisi 50:50.

Kalau boleh dalam tempoh beberapa bulan mendatang, pengkhususannya lebih jelas. Jika tidak, rakyat dari Felda, Felcra dan RISDA yang masih bergantung kepada komoditi akan merasakan mereka tidak diberi perhitungan sebaik-baiknya oleh kerajaan. Pe­kebun-pekebun kecil ini pernah terpaksa menanggung beban tambahan akibat daripada kejatuhan harga minyak sawit sehingga 20% dalam masa 10 hari pertama Jun lalu. Ini agak mencemaskan ekonomi orang kampung.

Tempoh 100 hari ini juga didakwa meresahkan dengan beberapa kerajaan negeri seperti Perak dan Melaka agak ketara sosialisme ‘sama rasa, sama pakai dan sama kuasa’ mereka. Yang seolah-olah kedirajaan dan ketidakdirajaan sama sahaja. Adakah akan timbul di Perak kelak suatu sistem pemberian tanah secara mendadak berbanding yang terdahulu? Jika benar, mengapa sehingga Pusat tidak dapat mengawasi kerajaan negeri? Di Melaka pula, teguran daripada Pusat macam tidak ada. Adakah ini disebabkan DAP dan PKR lebih kuat dari Bersatu? Walaupun mungkin dinafikan, Tumpang lalu khuatir himpitan dua parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam PH ini akan menjelmakan sejenis pentadbiran yang lemah buat kerajaan.

Dan menjelang 100 hari pentadbiran PH, Tumpang lalu fikir Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya menjadi Perdana Menteri kerana itulah persetujuan dalam rundingan asal kepemimpinan PH bersama Dr. Mahathir. Antaranya Dr. Mahathir akan memegang jawatan nombor satu itu sekurang-kurangnya dua tahun.

Dan Anwar sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya tidak tertanggung lagi untuk melangkah ma­suk ke Putrajaya. Lagipun adalah logik Anwar yang kini Presiden PKR beranggapan begitu kerana PKR merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak selain jentera PKR di bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR (termasuklah di Negeri Sembilan yang meskipun Menteri Besar dari PKR, ‘jarum­nya’ adalah DAP).

PH dalam ‘mengejar’ 100 hari masih perlu menempuh cabaran getir. Dr. Mahathir pun kelihatannya lebih lembut daripada Dr. Mahathir yang Tumpang lalu kenali, terutama di era 90-an.

Beliau meskipun seorang yang masih berbisa, tahan lasak dan amat dihormati rakyat dan dunia, namun keseluruhan survival masih banyak bergantung kepada parti yang diterajuinya dalam PH, Bersatu.